Jumaat lalu, saya tanya seorang sahabat. Apa perasaannya setelah mendengar pengumuman Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara bahawa Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos ini?
Dia jawab, “dah kena titah tiga kali baru dengar. Tapi syukurlah, perkara ini berakhir dengan baik.”
Saya tanya lagi, apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada perselisihan (konflik) antara istana dengan jemaah menteri selama ini? Sahabat saya itu menjawab, “ketegasan dan kesabaran istana selama ini berhasil. Itu satu kebijaksanaan.”
Mengikut laporan berita pada 30 Jun lalu, satu persidangan khas Parlimen akan diadakan sebelum 1 Ogos ini. Laporan itu memetik Tan Sri Dr. Rais Yatim (Yang Dipertua Dewan Negara) dan Datuk Azhar Azizan Harun (Speaker Dewan Rakyat) sebagai berkata, mereka akan segera kemukakan perkara itu kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataan mereka, mereka menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sambil menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen untuk mengadakan persidangan seperti yang dititahkan.
Mengikut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, YDPA bertitah, persidangan Parlimen itu nanti membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dibahaskan oleh semua ahli Parlimen yang hadir. Di akhir perbahasan, ahli Parlimen boleh menentukan hala tuju negara berikutnya sama ada tempoh darurat dilanjutkan, dan sama ada Ordinan Darurat dikekalkan atau dibatalkan.
Tersirat dalam titah YDPA minggu lalu itu satu mesej penting, iaitu manfaatkanlah sidang Parlimen ini untuk menyelesaikan isu negara dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat, dan jangan membazirkannya semata-mata untuk menukar kerajaan. Tangguhlah dahulu agenda kedua itu. Setelah masalah pandemik ini diselesaikan dan penderitaan rakyat berakhir, barulah bahaskan agenda kedua itu.
Pada 2 Julai lalu, laporan berita memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai berkata, Parlimen akan bersidang sebelum 1 Ogos ini. Beliau menambah, jemaah menteri akan memuktamadkan tarikh persidangan Parlimen pada 7 Julai (esok).
Kebelakangan ini timbul fenomena baharu, bendera putih dikibarkan di beberapa lokasi di seluruh negara. Malangnya, beberapa pihak menyifatkan perbuatan mengibarkan bendera putih itu sebagai salah dari segi hukum.
Bagi wartawan Frankie D’Cruz, apa yang berlaku sekarang menampilkan wajah baharu Malaysia – iaitu rakyat dalam kebuluran, lalu terpaksa mengibarkan bendera putih di hadapan rumah mereka untuk mendapatkan bantuan daripada orang awam.
D’Cruz melihat kibaran bendera putih itu sebagai isyarat rasa marah memuncak terhadap kerajaan sekarang (dari persepsi mereka) yang gagal menangani penularan Covid-19.
Tanda pagar lama #KitaJagaKita kini diikuti #BenderaPutih dan #RakyatJagaRakyat.
Heidy Quah, seorang pengasas sebuah badan amal, Refuge for the Refugees (RFTR), sering dihubungi ketua keluarga yang dalam kesusahan. Menurutnya, ramai yang meminta bantuan daripadanya menceritakan tentang kehabisan wang, tidak mampu membeli makanan seperti beras, susu untuk anak-anak kecil dan barang keperluan seharian.
Terbaharu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan, empat kes bunuh diri berlaku setiap hari sepanjang tiga bulan pertama tahun ini dengan 336 kes dilaporkan kepada polis.
Beliau menjelaskan, orang yang terpisah daripada jaringan sokongan dan berada dalam keadaan kemurungan berisiko tinggi melakukan bunuh diri. Penularan di media sosial foto kes-kes bunuh diri boleh menyebabkan copycat suicides dan sepatutnya dihentikan.
Akhbar New York Times melaporkan, pada akhir Mei lalu, Malaysia merekodkan tahap jangkitan Covid-19 per kapita paling tinggi di Asia. Kata akhbar itu lagi, pada 2020, negara kita merekodkan 113,000 kes sahaja tetapi dalam lima bulan pertama 2021, kita merekodkan lebih 550,000 kes (iaitu lima kali ganda).
Peningkatan kes ini berpunca daripada tiga kesilapan, kata akhbar itu lagi. Pertama, kelemahan kerajaan mengendalikan program pemberian vaksin apabila sistem pendaftaran dalam talian gagal. Kedua, ramai melanggar prosedur operasi standard (SOP) menjelang musim Hari Raya Aidilfitri, dan ketiga, penularan varian baharu Covid-19.
Data berikut menjawab soalan sama ada kita berjaya atau gagal membendung penularan pandemik. Mulai awal tahun ini, jumlah kematian keseluruhannya seperti berikut – Februari 1,130 kes, Mac (1,272), April (1,506), Mei (2,796) dan Jun (sehingga 28 Jun lalu) mencecah 5,001 kes.
Tinjauan di portal rasmi Kementerian Kesihatan pada 3 Julai lalu menunjukkan data berikut – jumlah keseluruhan kes 772,607, kes baharu 6,658, kes kematian baharu 107, dan kematian 5,434. Soalannya, apakah angka-angka ini akan terus meningkat dalam bulan ini?
Kesimpulannya, tugas utama ahli-ahli Parlimen kita apabila mereka bersidang nanti adalah mencari jalan paling berkesan untuk membanteras pandemik. Kita selamatkan dahulu nyawa rakyat sebelum menumpukan fikiran kepada isu ekonomi negara dan pertukaran kerajaan.
Ambil serius titah raja. Kita selamatkan rakyat kita.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis khbar.











