MUKADIMAH
Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang sama fungsi dengan Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1969 bagi menyelesaikan empat krisis utama sedang dihadapi negara iaitu kesihatan, ekonomi, politik dan sosial ekoran penularan Covid-19.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, meskipun konsep kedua-duanya sama, namun tanggungjawab dan pendekatan MPN berbeza dengan Mageran yang ditubuhkan kerana masalah politik ketika itu dan pengisytiharan darurat berikutan peristiwa 13 Mei 1969.
Jelasnya, penubuhan MPN yang dianggotai pakar-pakar dalam pelbagai bidang amat diperlukan ketika ini memandangkan langkah dan pendekatan oleh kerajaan bagi mengekang pandemik sejak Mac tahun lalu dilihat kurang berkesan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, Dr. Mahathir memberi penjelasan kenapa MPN amat diperlukan ketika ini menerusi aplikasi Zoom, kelmarin.
UTUSAN: Ramai mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan (lockdown) yang dilaksanakan sekarang tidak berkesan. Komen Tun?
DR. MAHATHIR: Ya. Kita lihat tiada pengurangan pun dari segi jumlah kes baharu Covid-19. Demikian juga jumlah kematian, sekarang sudah melebihi 5,000. Kita pun sedar ada kes bunuh diri dalam kalangan rakyat sebab tidak tahan dengan tekanan. Dan ramai juga orang kelaparan, tiada makanan, tiada pendapatan. Semua ini masalah yang perlu kita tangani.
Kerajaan kata, kurung di rumah. Kurung di rumah pun tidak berkesan, masih tinggi (kes baharu). Sudah kurung 28 hari, lebih empat minggu tapi angka tidak turun-turun juga. Sebab tiada satu usaha untuk menentukan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepanjang masa. Kalau ada SOP tapi cuma nak harap kena denda sahaja, nak bubuh dalam jel (jika langgar), ia tidak berkesan. Ini tidak selesaikan masalah.
Saya nampak SOP tidak dihiraukan pada masa-masa tertentu. Melainkan kalau ada orang ditugaskan khusus untuk SOP dipatuhi. Kalau tidak, nak harap diri sendiri patuh SOP sepanjang masa, susah. Kita kena tentukan orang ramai faham apa yang mereka lakukan adalah salah atau betul (ikut SOP).
Umpamanya, saya lihat pekerja kilang, mereka tidak patuh penjarakan fizikal. Duduk dekat-dekat dalam bas kilang. Bas kilang pun kita tidak tahu ada buat sanitasi atau tidak. Yang duduk dalam bas, kena asingkan. Jarak satu meter tidak cukup, perlu duduk lebih jauh. Kalau bas boleh muatkan 40 penumpang, mungkin kita bawa 10 pekerja sahaja. Memang ini akan timbulkan masalah (kepada majikan) tapi kena pastikan ia dipatuhi.
Kemudian kita lihat bila bas kilang sampai di tempat kerja, keluar beramai-ramai, jalan dekat-dekat. Pada masa itu akan ada jangkitan. Semasa bekerja, sama ada duduk berasingan atau tidak tapi ada waktu-waktunya mesti duduk berdekatan. Ini membolehkan jangkitan berlaku. Masa balik pun begitu juga. Tidak asingkan diri, dalam bas pun macam itu juga.
Kadang-kadang kontraktor sediakan dorm. Tapi adakah mereka (pekerja) pisahkan diri, jarakkan diri daripada rakan-rakan?
Sekarang saya diberitahu ada varian baharu, Delta. Virus ini bukan sahaja boleh disebarkan semasa batuk atau bersin tetapi juga melalui udara merebak kepada orang di sekeliling kita, lebih mudah berjangkit. Ini semua mesti diambil kira.
Apa dilihat bila kerajaan hadapi masalah, yang diputuskan tambah lagi 14 hari (PKP). Bila habis 14 hari, kes masih naik, tambah lagi 14 hari.
Kata orang putih, more all the same thing. Ini menunjukkan kita tiada idea macam mana nak perkuat pelaksanaan SOP.
Kenapa perlu MPN?
Kita kena ada sebuah badan yang berwibawa, mempunyai pengalaman, cekap dalam bidang tertentu. MPN dianggotai pakar-pakar dalam menangani wabak, ekonomi, sosial, politik. Dan mereka perlu diberi kuasa yang lebih daripada kuasa yang ada pada Kabinet.
Kabinet terdiri daripada orang politik. Mereka bukan pakar. Mereka tidak pernah tangani banyak masalah, cuma tahu berkenaan politik sahaja, siapa yang nak jadi perdana menteri, siapa yang tidak.
Berkenaan Covid-19, kita kena ada orang yang faham tentang sakit yang disebabkan oleh virus. Macam mana nak sekat daripada merebak. Sebab itu MPN lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripada Kabinet.
Ia akan diberi kuasa penuh untuk melakukan tindakan-tindakan yang boleh mengurangkan penularan Covid-19 seterusnya memulihkan semula ekonomi, sosial dan politik negara. Bagaimana caranya, akan dibincangkan oleh pakar-pakar ini berkenaan sesuatu masalah. Tapi cadangan ini dibuat awal lagi sedangkan tempoh darurat tinggal sebulan sahaja lagi nak tamat. Cara mana nak adakan usaha ini? Boleh ditentukan kalau Kabinet sanggup beri kuasa kepada MPN.
Bagaimana MPN boleh selesaikan krisis negara?
Kita ada satu jadual. Jadual tidak boleh ditentukan oleh virus. Jadi, jadual sahaja tidak mencukupi. Banyak lagi perlu dilakukan. Ini boleh dibincang oleh MPN, apa lagi yang boleh dilakukan, apa cara baharu.
China umpamanya, ada 1.4 bilion penduduk. Tapi mereka tiada masalah, ekonomi mereka sudah berjalan. Kita boleh belajar daripada mereka. Kalau boleh, laksanakan di sini, kita buat.
Di Eropah, sukan bola sepak misalnya. Kita lihat sekarang ramai boleh ke stadium. Duduk di bangku, ribuan penonton, ada yang tidak pakai pelitup muka. Mereka nampak sudah pulih. Kena belajar apa yang mereka lakukan untuk kurangkan bilangan kes (Covid-19). Walaupun ramai penduduk tapi kes baharu kurang.
Di Amerika Syarikat, United Kingdom pun sama. Tapi kita masih tidak nampak bagaimana boleh kurangkan kes baharu di sini.
Siapa anggota MPN?
Saya sudah kenal pasti beberapa orang. Tapi untuk pilih siapa menganggotai badan ini, kena ada satu panel yang tahu latar belakang calon-calon, pencapaian mereka, pengalaman mereka dan kita pilih orang itulah. Pakar-pakar ini kemudian duduk berbincang. Mungkin dapatkan satu pendekatan baharu, umpamanya nak kurangkan kes baharu Covid-19. Saya yakin ada.
Saya sendiri pun ada sedikit sebanyak idea macam mana nak kurangkan wabak. Saya biasa suarakan idea dan nampak kerajaan pun gunakannya. Contohnya, tempat vaksin buat satu tempat, kemudian daftar. Kalau orang tidak boleh datang, kena ada unit bergerak. Itu nampak sudah ada. Tapi nampak tidak diselenggara dengan baik kerana terlalu banyak birokrasi.
Maknanya Tun akan ketuai MPN?
Ya, kalau tiada orang lain. Saya bukan nak puji diri, saya pernah 22 tahun jadi perdana menteri. Banyak masalah yang saya terpaksa tangani, kita berjaya. Adalah sikit pengalaman.
Kalau kita ambil orang yang tiada pengalaman, mungkin dia tidak tahu, mana boleh buat dan mana tidak boleh buat.
Tun akan buat sesi penerangan pasal MPN?
Saya sudah cakap tapi tidak ramai faham secara terperinci
Cuma yang mereka tahu…oh, ini macam Mageran. Itu sahaja.
Kita kena tahu isi kandungan MPN, macam mana kita nak buat. Ini kita boleh terangkan sedikit sebanyak kepada orang ramai. Tapi nak terangkan secara terperinci tiap-tiap satu apa nak dilakukan, orang ramai akan bosan nak dengar.
Berapa segera perlu ditubuhkan MPN?
Ini suatu benda yang cemas, urgent. Kena buat cepat.
Ramai mati, bunuh diri. Penderitaan rakyat memang teruk. Mereka tidak cukup makan, tiada pendapatan. Macam-macam masalah, dengan tension yang mereka lalui.
Banyak masalah sosial berlaku. Perceraian suami isteri meningkat. Kadang-kadang perkelahian dalam keluarga.
Kesedihan rakyat melihat ahli keluarga sakit. Sukar bernafas. Tidak dapat masuk hospital sebab tiada katil kosong, mereka duduk di rumah. Jadi tambah teruk hingga tidak bernyawa. Tidak cukup oksigen, mati.
Kalau mati bukan macam dahulu. Dahulu boleh mandi, solat jenazah. Sekarang nak pergi dekat pun tidak boleh. Nak tengok muka pun tidak boleh. Amat sedih lihat orang hilang ahli keluarga mereka.










