BARU-BARU ini, tular rakaman suara di media sosial tentang individu bernama Mak Teh yang jelas sekali cuba menakut-nakutkan dan mempengaruhi orang ramai supaya menolak suntikan vaksin Covid-19. Dakwa Mak Teh dalam loghat orang Kedah yang kononnya dari Sungai Petani, vaksin tidak diuji di makmal dan ada kandungan racun sehingga menyebabkan 40 jururawat yang disuntik maut.
Ini merupakan satu dakyah paling mengarut tatkala Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan bertungkus lumus membantu rakyat sepenuh jiwa raga mereka untuk menghentikan pandemik itu. Di kala masih ramai masyarakat menolak vaksin atas pelbagai alasan, impak daripada penyebaran video itu boleh memburukkan lagi keadaan.
Sesuatu yang dikesali apabila ada yang terpengaruh dengan Mak Teh dan menolak vaksin dengan tidak hadir pada janji temu ditetapkan untuk suntikan.
Di Kedah sendiri, terdapat 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi temu janji melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dikesan tidak hadir sejak 19 April lalu.
Ketika ini tidak diketahui identiti Mak Teh sebenarnya walaupun hakikat tindak tanduknya itu menyamai kriteria seorang antivaksin. Perlu untuk memahami bahawa keraguan tentang vaksin dan anti terhadap vaksin adalah dua perkara berbeza.
Barangkali Mak Teh tergolong dalam kelompok ini yang ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan beberapa faktor. Pertama, dia berusaha mencetuskan fahaman bahawa Covid-19 bukan sesuatu yang bahaya, oleh itu vaksin tidak diperlukan.
Kedua, dia mendakwa kelompok barisan hadapan dan mereka yang menyokong vaksin tidak boleh dipercayai. Ketiga, vaksin adalah berisiko dan membawa kesan bahaya.
Kemunculan golongan ini boleh menghalang usaha kerajaan untuk mencapai kekebalan kelompok melalui program vaksinasi.
Tidak kira siapakah sebenarnya Mak Teh ini, banyak yang barangkali bersetuju bahawa wanita sebenarnya mampu berperanan dengan baik bagi menggalakkan penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat tidak kira apa statusnya daripada seorang suri rumah hinggalah wanita berkerjaya. Terus terang, mereka mampu menjadi kumpulan sokongan terbaik untuk memujuk atau mempengaruhi sekurang-kurangnya ahli keluarga untuk menerima suntikan vaksin. Apatah lagi dengan kuasa ‘membawang’ yang sering kali dikaitkan dengan wanita.
Apa yang perlu mereka lakukan, halakan kuasa ‘membawang’ di media sosial dengan mengajak orang ramai mempercayai vaksin adalah antara langkah terbaik untuk menghapuskan pandemik. Tentu sahaja ketika ini kita berharap tiada lagi kelompok wanita seperti Mak Teh memandangkan kesannya amat buruk.
Selain itu, menjenamakan gelaran Mak Teh iaitu panggilan untuk mak saudara daripada susunan anak kelima atau keempat dalam keluarga sebagai antivaksin sangat tidak berasas. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.











