Walaupun bilangan sektor ekonomi yang dibenarkan untuk beroperasi pada ketika ini sangat terhad dengan proses pemantauan ketat, namun kes baharu wabak Covid-19 membabitkan kluster tempat kerja tetap tinggi dan membimbangkan. Ini sekali gus menunjukkan masih terdapat dalam kalangan majikan dan pekerja yang memandang remeh keperluan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Justeru, kita berharap di samping pemantauan pihak berkuasa, majikan dan pekerja sendiri perlu lebih bertanggungjawab agar dapat membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini di tempat kerja dan juga dalam komuniti secara keseluruhannya.
Misalnya, data kluster baharu yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan pada setiap hari masih menunjukkan lebih 60 peratus melibatkan tempat kerja. Setakat kelmarin, daripada 22 kluster baharu, 14 kluster melibatkan tempat kerja (63 peratus). Umumnya, kluster tempat kerja banyak membabitkan sektor perkilangan, pasar raya, ladang ternak, syarikat perkhidmatan dan syarikat pembersihan.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara penuh bermula awal bulan ini sehingga 19 Jun lalu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 510 buah kilang di negara ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 113 buah kilang diarahkan tutup kerana didapati melanggar SOP diwartakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Situasi ini membuktikan masih ramai dalam kalangan majikan dan pekerja degil dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan sekali gus menyumbang kepada kewujudan kluster baharu. Harus diingat, kita masih di ‘medan perang’ di mana bilangan kes dan kematian semakin naik dan terus membimbangkan. Justeru, tidak boleh ada sebarang ruang lagi yang boleh mencetuskan kluster baharu sehingga boleh mengganggu proses kawalan penularan wabak yang sedang giat dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Bagi membantu majikan dan pekerja mengekang kluster tempat kerja, pihak berkuasa mengeluarkan peraturan dan arahan kerja yang lengkap dalam soal bekerja di pejabat termasuk SOP baharu dikenali Safe@Work kerana sedar tempat kerja boleh menjadi pusat penularan wabak yang sangat signifikan. Hal ini kerana risiko penularan wabak di tempat kerja boleh berlaku dengan mudah disebabkan beberapa faktor, antaranya ruang pejabat sempit, keadaan sesak dengan bilangan pekerja yang ramai, kurang pengudaraan serta kelemahan dan kecuaian dalam pematuhan SOP oleh majikan dan pekerja.
BEKERJA DARI RUMAH
Oleh itu majikan dan pekerja perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan tiada lagi kluster baharu di tempat kerja. Dalam hal ini, sudah tentu majikan perlu memainkan peranan lebih besar. Paling penting, majikan perlu mengawal jumlah pekerja dengan menyediakan peluang dan kemudahan untuk pekerja bekerja dari rumah serta hanya hadir ke pejabat secara bergilir mengikut ketetapan 20 peratus untuk sektor awam dan 60 peratus untuk sektor swasta. Dalam hal ini, majikan juga perlu memastikan bilangan yang hadir itu sesuai dengan mengambil kira keluasan tempat kerja supaya tidak berlaku elemen kesesakan. Ingat, jangan sesekali memaksa bilangan yang melebihi daripada kadar hadir bekerja secara fizikal ke pejabat.
Majikan juga perlu memenuhi keperluan serta mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika menguruskan pekerja yang hadir ke tempat kerja. Ia perlu merangkumi situasi keselamatan di tempat tinggal pekerja, tempat kerja dan juga kenderaan pekerja. Majikan perlu memberi perhatian serius dalam soal protokol pemeriksaan kesihatan pekerja secara menyeluruh di samping sering mengadakan taklimat pematuhan SOP kepada semua pekerja terutama pekerja asing. Taklimat ini perlu memberi peringatan dan penjelasan terperinci tentang keperluan penjarakan fizikal dan langkah kawalan kendiri, tatacara etika di kawasan awam seperti ruang makan serta keperluan melaksanakan proses sanitasi termasuk kenderaan pekerja dengan kerap.
Dalam hal ini, majikan juga perlu menyediakan kemudahan dan peralatan perlindungan diri sewajarnya kepada semua pekerja yang banyak berurusan secara bersemuka dengan pelanggan kerana pendedahan sebegini boleh meningkatkan risiko jangkitan virus. Ringkasnya, majikan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat kepada pekerja. Ini adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua majikan demi memastikan tiada lagi kluster baharu di tempat kerja.
Pada masa sama, para pekerja juga perlu memikul tanggungjawab dan berpegang teguh kepada slogan #KitaJagaKita. Harus diingat, majikan boleh menyediakan pelbagai garis panduan serta kemudahan yang diperlukan, namun pada akhirnya semuanya terserah kepada individu pekerja itu sendiri, iaitu sejauh mana kita mampu mematuhi SOP ditetapkan. Ironinya, pekerja bukan saja bertanggungjawab kepada majikan tetapi juga kepada diri dan keluarga dengan memastikan menutup segala ruang yang boleh meningkatkan risiko jangkitan melalui kluster baharu.
Antara langkah wajib pekerja ialah memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, elak berhimpun dengan rakan sekerja baik ketika bekerja atau waktu rehat dan makan. Di samping itu perlu amalkan etika batuk dan bersin yang betul dan amalkan penjarakan fizikal dalam semua urusan.
Tuntasnya, cukuplah kluster baharu yang ada. Marilah kita membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian penularan wabak di tempat kerja. Sedarlah, kerjasama erat antara majikan dan pekerja boleh membantu mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan selesa.
Penulis ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.










