Kita akan tewas jika terus ‘langgar’ - Utusan Malaysia

Kita akan tewas jika terus ‘langgar’

PENUTUPAN premis perniagaan untuk satu tempoh yang terlalu panjang bukan sahaja menyebabkan peniaga terkesan, malah pekerja mereka turut merasakan keperitan terutama jika dibuang kerja atau dipotong gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengumuman seorang pengerusi badan korporat diberhentikan serta-merta ekoran perlanggaran dua buah gerabak pengangkutan ringan (LRT) minggu lalu membawa 1,001 peringatan tentang kepemimpinan. Suatu isu yang hangat diperkatakan sejak beberapa lama, namun tidak mudah diselesaikan apatah lagi dalam krisis pandemik ini.

Sebelum itu pun sudah ada pelbagai kajian antarabangsa berwibawa yang menonjolkan kepemimpinan dewasa ini sudah merosot. Keseluruhannya dipenuhi dengan ketamakan, kepincangan serta keremehan khususnya dalam dunia perniagaan dan korporat, ditambah dengan kerakusan kuasa dan kegilaan kebendaan.

Bekas Ketua Polis Negara pernah mengeluh akan apa yang didakwanya sebagai campur tangan luar dalam usaha menyusun pengambilalihan kepemimpinan. Ini bukan perkhabaran baharu mahupun tertumpu kepada mana-mana satu organisasi sahaja. Maka tidak hairanlah pelbagai isu ‘perlanggaran’ berlaku sama ada nyata ataupun maya, yang dirancang atau terlanjur.

Dalam dunia siber, pelbagai celoteh dapat diperhatikan melibatkan manusia berparas cantik tetapi berperangai hodoh. Bercakap tidak serupa bikin. Membuka aib sendiri di khalayak ramai tanpa segan silu berselindung di balik kejayaan yang meragukan. Anehnya, mereka masih boleh tersenyum di muka pengadilan seolah-olah segala-galanya lumrah sahaja. Walaupun dijatuhkan hukuman tetapi belum lagi insaf, malah kesilapan sama terus diulang beberapa kali tanpa rasa bersalah. Ini dikatakan langkah penting untuk meraih populariti atau dagangan.

Ia disokong pula dengan kefahaman hidup yang apa sahaja kini boleh dijual beli termasuk maruah dan jati diri. Suatu tanggapan songsang yang boleh mengundang wabak pandemik untuk bermaharajalela, tidak kira apa juga bentuk prosedur operasi standard (SOP) yang diusulkan.

Pokoknya, selagi tidak ada keinsafan hasil daripada keangkuhan serta ego diri, selagi itu pandemik akan terus meratah bangkai-bangkai hidup yang rata-rata degil sifatnya. Contoh terkini adalah negara India yang sudah pun menunjukkan teladan paling buruk dalam menangani Covid-19 berbanding negara-negara lain.

MENGEMIS

India pernah mendabik dada di Forum Ekonomi Sedunia Davos pada awal tahun ini, namun kini terpaksa mengemis belas kasihan untuk menyelamatkan jutaan nyawa rakyatnya yang cukup terancam.

Apakah kita masih degil dan belum insaf apabila para pemimpin terus ‘berlanggaran’ dalam hal mengurus amanah rakyat yang semakin genting dalam soal hidup dan mati mereka? Adapun ramai dalam kalangan mereka terus ‘bergeseran’ di khalayak umum atau di ruang kayangan masing-masing. Pelitup muka terabai sambil lewa dan memudahkan lagi rantaian virus merebak pantas, meragut lebih banyak nyawa dalam bilangan ribuan seharian.

Kemelut di India sudah mula terbayang dan amat menggusarkan. Pilihan yang tinggal hanyalah penutupan penuh (lockdown) seluruh negara apabila kawalan ketat SOP tidak berkesan sepenuhnya. Apa lagi gagal mengubah tabiat untuk menzahirkan #kitajagakita.

Semuanya berbalik kepada soal kepemimpinan rapuh yang mengakibatkan pelbagai bentuk ‘perlanggaran’, sekali gus mengempur prinsip #kitajagakita. Dengan kata lain, ia melemahkan strategi memerangi pandemik segala macam – menabur fitnah melalui berita palsu, amalan saling mengait antara satu sama lain, tidak tulus dan telus, berburuk sangka, ego dan pelbagai lagi.

Setiap satu memberi kemenangan mudah kepada Covid-19 serta kabilahnya seperti yang dialami sekarang. Pastinya tidak akan ada apa-apa vaksin atau suntikan bagi mengekang puluhan pandemik rekaan manusia yang tidak berhemah secara jujur dan mulia.

Lantaran itu, kita akan tewas dalam menundukkan musuh yang tidak nampak ini, terutamanya musuh tabiat kesumat diri sendiri. Hatta, gagal merapatkan saf untuk membentengi segala muslihat diri daripada terjerumus ke dalam kancah kehinaan yang memecahkan kesatuan mutlak #kitajagakita.

Pendek kata, walaupun kemenangan dalam genggaman sendiri, kita wajar mempereratkan satu angkatan fisabilillah untuk menjiwai SOP. Yakni mengelakkan apa sahaja bentuk ‘perlanggaran’ berdasarkan kepemimpinan kendiri yang tulen dan berdisiplin.

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN