‘Ibu, kenapa orang dewasa ganas bila bergaduh?’ - Utusan Malaysia

‘Ibu, kenapa orang dewasa ganas bila bergaduh?’

Paparan berita menunjukkan kanak-kanak seusia penulis kehilangan tempat tinggal amat menyayat hati. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedang para jemaah khusyuk beribadah, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi tembakan. Suasana berubah menjadi tegang dan kelam kabut. Serangan oleh polis Israel ke atas masjid di Baitulmuqaddis Timur ketika solat tarawih itu mengakibatkan ramai rakyat Palestin tercedera.

Sekali lagi pertumpahan darah berlaku di bumi Palestin menjelang hari-hari terakhir Ramadan. Siri serangan bertali arus yang dilancarkan oleh tentera Israel daripada pelbagai arah mengorbankan ramai orang awam termasuk kanak-kanak di Gaza.

Peristiwa hitam ini mengingatkan saya kepada persoalan yang bermain di minda sewaktu pertama kali menonton kesan peperangan di televisyen. Bagi diri saya yang ketika itu berumur empat tahun dan belum tahu erti peperangan, apa yang ditonton begitu mengejutkan.

Paparan berita menunjukkan kanak-kanak seusia saya kehilangan tempat tinggal amat menyayat hati. Saya hiba membayangkan mereka mungkin kelaparan serta hilang barang permainan dan buku-buku yang disayangi. Lebih menyedihkan apabila melihat ramai kanak-kanak cedera dan terkorban.

Saya juga amat kesal apabila memikirkan haiwan serta tumbuh-tumbuhan juga menerima kesan buruk akibat peperangan. Saya bertanya kepada ibu, kenapa orang dewasa yang sepatutnya lebih bijak berbanding kanak-kanak sanggup bertindak ganas ketika ‘bergaduh’?

Sejak 73 tahun lalu, rakyat Palestin banyak menderita. Mereka kehilangan tanah, harta benda serta insan-insan tersayang akibat pergolakan yang belum ada penghujungnya.

IKTIBAR

Justeru, kita yang hidup aman di bumi berdaulat harus mengambil iktibar daripada sejarah hitam yang berlaku di sana. Selamilah rentetan sejarah yang membawa kepada peristiwa tragik Hari Nakbah dan jadikan ia satu pengajaran yang berguna buat kita semua. Jangan sampai kita terlalu leka serta mengambil mudah soal keamanan dan kedaulatan negara.

Hayatilah dari mana asal usul kita serta sejarah agar timbul rasa sayang dan bangga terhadap negara sendiri. Penghayatan serta pemahaman terhadap sejarah akan menjadikan kita lebih peka dan sentiasa berwaspada dalam setiap aspek kehidupan. Lihatlah pelbagai pergolakan yang berlaku di serata pelosok dunia akibat kejahilan dan kealpaan rakyatnya. Kita harus sedar, kemakmuran yang kita nikmati sekarang boleh hilang dalam sekelip mata jika lalai dan tidak berhati-hati.

Rakyat Malaysia sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin. Semoga Allah SWT merahmati serta melindungi kita semua.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×