MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang mengenali Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing sebagai tokoh pendidikan dan usahawan dengan mengasaskan Universiti Limkokwing (dahulunya Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan kemudiannya berpindah di kampus baharu di Cyberjaya.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu kepakarannya sebagai pakar komunikasi strategik menyebabkan beliau pernah menjadi individu bertuah yang dapat bekerja bersama-sama ikon antiaparteid, mendiang Nelson Mandela. Perkara itu diceritakan sendiri oleh Kok Wing dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia pada 2013.
Walaupun kisah lama, tetapi itu adalah sejarah yang sepatutnya diketahui kita.
Semuanya bermula apabila beliau diarahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu Mandela dan partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen pada pilihan raya demokratik negara itu yang pertama dari penghujung 1993 sehingga awal 1994.
Menurut Kok Wing, pengalaman pasukan Malaysia yang diketuainya berkempen di segenap ceruk negara itu selama enam bulan sehingga ANC menang dengan majoriti 62 peratus undi memang cukup mencabar. Ini kerana mereka terpaksa mengambil risiko berikutan pada masa itu kejadian letupan bom masih berlaku. Akhirnya, hasil kerja keras pasukannya berkempen dan sumbangan dana daripada Malaysia membolehkan Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.
“Sudah tiba masanya rakyat mengetahui perkara sebenar apabila Malaysia khususnya Dr. Mahathir bersungguh-sungguh membantu Mandela atas semangat setiakawan dan antiaparteid yang cukup hebat.
“Sebenarnya Mandela amat mengharapkan bantuan daripada Malaysia. Beliau lebih percayakan negara ini dan tahu kita akan memberi sokongan sepenuhnya,” kata Kok Wing dalam temu bual tersebut.
Oleh kerana ANC dipimpin oleh bekas pejuang pembebasan yang tidak berpengalaman langsung berkempen ketika pilihan raya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pasukan dari Malaysia untuk mengurus dan menjalankan kempen. Satu slogan khas untuk ANC juga dicipta oleh pasukan diketuai Kok Wing bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka, A better life for all.
Bagi menjadikan slogan berkenaan signifikan, gambar kanak-kanak pelbagai warna kulit dan keturunan bersama Mandela dijadikan poster kempen yang amat menarik.
Mesejnya cukup jelas, iaitu untuk perdamaian, kesatuan dan perpaduan. Gambar tersebut dirakam oleh jurugambar dari Malaysia dan membawa maksud reconciliation (perdamaian).
Pada mulanya, pemimpin-pemimpin ANC tidak bersetuju dan menyifatkan poster kempen yang dibuat Kok Wing seperti bijirin sarapan pagi, terlalu banyak bertolak ansur dengan pihak yang telah lama menindas orang kulit hitam. Namun, Mandela menjelaskan kepada mereka bahawa Kok Wing datang dari negara (Malaysia) yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Jadi, Kok Wing tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama.
Semua bahan kempen seperti poster, risalah, papan iklan dan sepanduk dicetak di Malaysia dan kemudian dihantar ke Afrika Selatan menggunakan kapal. Ini kerana beliau mahu memastikan bahan-bahan kempen dapat disiapkan seterusnya diagih-agihkan ke seluruh Afrika Selatan. Sekiranya dicetak di sana, beliau bimbang ia tidak dapat disiapkan pada waktunya.
Semalam, Kok Wing meninggal dunia pada usia 75 tahun. Mendiang sebelum ini dimasukkan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya, minggu lalu.
Mendiang terkenal sebagai pengasas Universiti Limkokwing yang ditubuhkan sebagai kolej pada 1991 dan kini mempunyai cawangan di beberapa negara.
Ia menjadi antara kolej swasta pertama yang diiktiraf di Malaysia dan diangkat sebagai universiti pada 2007.










