Vaksin melebar jurang negara kaya, miskin - Utusan Malaysia

Vaksin melebar jurang negara kaya, miskin

PPV wajar mempunyai sistem pengurusan yang teratur bagi memudahkan pemberian vaksin dilaksanakan- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada Mac 2020, Amerika Syarikat (AS) memeterai perjanjian prapembelian dengan AstraZeneca bernilai AS$1.2 bilion (RM4.92 bilion) untuk mempercepat proses penghasilan vaksin Covid-19. Sebagai imbalan, AstraZeneca menjanjikan AS sebanyak 300 juta dos sekiranya vaksin tersebut berjaya melepasi ujian keselamatan dan keberkesanan. Pada awal bulan sama, United Kingdom (UK) memeterai perjanjian prapembelian dengan syarikat sama untuk memperoleh 100 juta dos vaksin.

Pada 2020, negara-negara kaya seperti AS, Kanada, Kesatuan Eropah, UK, Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut memeterai perjanjian prapembelian serupa. Dana berbilion ini kemudiannya membantu mempercepat proses penghasilan vaksin Covid-19 juga merupakan vaksin terpantas yang berjaya dihasilkan dalam sejarah perubatan dunia.

Malangnya, perjanjian prapembelian sebegini telah menentukan giliran negara yang menerima bekalan vaksin. Menjelang Januari lalu, sebanyak 96 peratus vaksin Pfizer-BioNTech yang bakal dihasilkan sepanjang tahun ini telah pun habis ditempah. Negara-negara kaya yang hanya mempunyai 16 peratus daripada jumlah penduduk dunia telah membeli 60 peratus daripada vaksin dihasilkan.

Penghasilan vaksin perlu melalui beberapa proses iaitu pembangunan, pembuatan, ujian keselamatan dan keberkesanan serta pengagihan. Secara umum, negara-negara kaya memeterai perjanjian prapembelian dengan pembangun dan pengedar vaksin pada peringkat yang lebih awal iaitu pembuatan.

RISIKO

Bagaimanapun, perjanjian prapembelian ini tidak memberi sebarang jaminan ke atas keberkesanan mahupun diluluskan oleh pihak berwajib. Malah, sekiranya vaksin yang dihasilkan didapati tidak berkesan, perjanjian bernilai bilion dolar ini akan dikira sebagai kos hangus.

Untuk mengurus risiko ini, negara-negara kaya memeterai beberapa perjanjian prapembelian dengan pembekal berbeza. Misalnya, setakat April lalu, Kanada memeterai perjanjian prapembelian dengan lapan pengeluar bagi membeli 404 juta dos, cukup untuk memvaksinkan 38 juta rakyat mereka sebanyak 10 kali.

Meskipun begitu, negara-negara miskin tidak mampu untuk mengambil risiko sama dan hanya mampu menunggu sehingga penghasilan vaksin berada di peringkat akhir, iaitu pengagihan. Alhasil, negara-negara miskin terpaksa ‘beratur’ di penghujung barisan.

Sebagai contoh, Peru memeterai perjanjian prapembelian dengan AstraZeneca namun tidak akan menerima penghantaran sulungnya sehingga September 2021. Begitu juga negara-negara miskin seperti Zambia, Bolivia, Tajikistan, dan Nepal.

Alhasil, jurang vaksinasi ini juga akan menyebabkan penurunan ketara kes Covid-19 dalam kalangan negara-negara kaya menjelang tahun depan sekali gus membolehkan mereka untuk kembali menjalani hidup seperti biasa. Malah, menurut sesetengah pakar ekonomi, kebanyakan negara miskin hanya mampu untuk memulakan program vaksinasi secara meluas pada 2023.

COVAX

Terdapat pelbagai cara untuk mengimbangi kesenjangan ini. Salah satunya ialah melalui pembelian secara konsortium yang dikenali sebagai COVAX. Inisiatif ini diterajui oleh tiga badan kesihatan dunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tujuan utama penubuhan konsortium ini ialah untuk menyalurkan vaksin kepada 92 negara miskin dan membangun yang tidak mampu untuk membuat perjanjian prapembelian secara mandiri.

Namun, terdapat satu lagi cara yang lebih manusiawi yakni pendermaan vaksin. Contoh terbaik ialah Norway yang telah membeli stok vaksin tiga kali ganda daripada keperluan rakyat mereka. Sebagai permulaan, Norway mendermakan sebanyak 25 juta dos vaksin bernilai NOK1.3 bilion (RM6.4bilion).

Menurut Menteri Pembangunan Antarabangsa Norway, Dag-Inge Ulstein, proses pengagihan vaksin ini juga bakal menatijahkan situasi menang-menang kerana menurut beliau, proses vaksinasi yang hanya tertumpu kepada negara kaya pada akhirnya tidak akan menguntungkan mana-mana negara.

Sungguhpun begitu, isu ketidaksamaan vaksin ini sebenarnya jauh melangkaui perjanjian prapembelian. Pada setiap peringkat rantaian bekalan, dari kapasiti penghasilan vaksin dan infrastruktur rangkaian sejuk yang terhad sehinggalah isu hak milik intelektual vaksin, sistem sedia ada ini jauh panggang daripada api.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada jurang ini akan melebar, mahu pun sebaliknya.

Dr. Mohd. Zaidi Md. Zabri ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan dan Perbankan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN