Tiada alasan, tolong duduk rumah! - Utusan Malaysia

Tiada alasan, tolong duduk rumah!

Dalam keadaan penularan wabak Covid-19 semakin sukar dikawal, rumah adalah tempat yang paling selamat. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peningkatan drastik jumlah kes baharu wabak Covid-19 terus meresahkan rakyat. Rekod kematian yang tinggi turut membimbangkan semua, ditambah pula pandangan pakar kesihatan bahawa kes baharu serta kadar kematian dijangka terus meningkat dalam tempoh masa terdekat. Maka dalam situasi kritikal dan genting ini, pilihan terbaik yang kita ada ialah melaksanakan sekatan pergerakan kendiri atau amalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri.

Amalan PKP kendiri ini dilihat sangat penting dan boleh memberi impak yang besar kerana kunci utama kejayaan memerangi penularan wabak ini sebenarnya terletak pada diri kita sendiri, iaitu sejauh mana kita mampu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini termasuklah tinggal di rumah dan hanya keluar untuk urusan yang penting.

Ironinya, kita perlu akui dalam keadaan penularan wabak semakin sukar dikawal, rumah adalah tempat yang paling selamat. Perlu diingat, walaupun kita mematuhi semua SOP ketika berada di luar rumah, namun jika orang lain yang berhampiran dengan kita tidak mematuhinya dengan betul, kita tetap berisiko tinggi untuk dijangkiti. Justeru, pilihan terbaik pada ketika ini ialah duduk di rumah dan mengurangkan pergerakan serta aktiviti di luar rumah.

Dalam konteks ini, pedulikan apa status kawalan yang dikenakan oleh kerajaan, sama ada PKP penuh, PKP Bersyarat (PKPB) mahupun PKP Diperketatkan (PKPD).

Sebaliknya, apa yang penting sekarang ialah sejauh mana kita bertindak agresif dan proaktif untuk melindungi diri dan keluarga melalui sekatan pergerakan kendiri yang lebih serius dan ketat. Hal ini penting kerana selama ini, baik ketika PKP mahupun PKPB, kita masih terlalu bebas bergerak dan berada di luar rumah dengan bermacam-macam alasan untuk pelbagai aktiviti termasuk yang kurang penting.

Dalam hal ini, kita juga perlu sedar betapa barisan petugas hadapan semakin penat, manakala penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga dilaporkan semakin kritikal dan terhad. Justeru, rakyat perlu memikul tanggungjawab yang lebih untuk membantu memerangi wabak ini.

Maka sudah tiba masanya kita menyahut seruan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan segera PKP kendiri bagi memutuskan rantaian penularan wabak.

Antara nasihat KKM untuk mengurangkan aktiviti luar rumah ialah merancang jadual pembelian barangan keperluan isi rumah. Dicadangkan hanya ketua keluarga pergi ke pasar atau kedai berkaitan untuk membeli segala keperluan dan itupun seminggu sekali sahaja.

SUSAH

Ini satu langkah yang dilihat cukup penting kerana pasar adalah antara lokasi yang sesak dan sempit sekali gus menjadi tempat cukup berisiko tinggi untuk dijangkiti virus.

Hal ini kerana pasar dikenal pasti antara lokasi cukup susah dan sukar untuk amalkan penjarakan sosial yang dianjurkan. Jadi, elaklah untuk kerap berkunjung ke pasar, sebaliknya merancang dan mematuhi jadual seperti seminggu sekali atau bila benar-benar perlu sahaja.

Pada masa sama, kita juga seboleh-bolehnya dianjurkan untuk menggunakan kemudahan urus niaga jual beli secara dalam talian. Pelbagai platform dalam talian yang menyediakan kemudahan ini wajar dioptimumkan supaya kita tidak perlu keluar rumah dan membeli di kedai secara fizikal. Ironinya, lagi kurang kontak fizikal, lagi efektif usaha kita memerangi penularan wabak.

Bagi umat Islam pula, aktiviti solat berjemaah lima waktu juga wajar dilaksanakan di rumah bersama ahli keluarga. Walaupun kita sangat dituntut berjemaah di masjid, namun pada ketika musim wabak ini eloklah kita mematuhi nasihat pihak berkuasa. Tindakan seperti segelintir penduduk yang sanggup solat berjemaah di surau dalam gelap dan menyorokkan selipar bagi mengelak dihidu pihak berkuasa tidak sepatutnya berlaku.

Dalam konteks ini, eloklah kita menghayati nasihat Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menegaskan, dalam keadaan negara diserang wabak, tiga prinsip yang perlu difahami umat Islam ialah keperluan mentaati pemerintah, mengelak daripada memudaratkan diri atau orang lain dan tidak menyembunyikan perkara bahaya dengan alasan untuk amal ibadat atau kebaikan. Ringkasnya, memang betul kita mahu mendapatkan pahala berjemaah di masjid atau surau, namun mudaratnya terbukti membawa musibah lebih besar.

Di samping itu, kita juga dianjurkan mengisi tangki minyak kenderaan dengan penuh supaya turut dapat mengurangkan keperluan untuk kerap keluar rumah pergi ke stesen minyak. Selain itu, anggota masyarakat juga perlu sedar, ini bukan masa yang terbaik untuk kita menerima tetamu ataupun mengadakan sebarang program atau majlis melibatkan aktiviti perkumpulan ahli keluarga dari lokasi lain walaupun atas dasar mengeratkan hubungan silaturahim. Hentikanlah aktiviti sosial seperti ini buat sementara waktu sehingga ancaman wabak ini reda.

Tuntasnya, inilah masa untuk kita memikul tanggungjawab melindungi diri dan keluarga dengan lebih tertib dan berdisiplin. Sedarlah ancaman wabak ini semakin serius.

Jadi, pilihan terbaik sekarang ialah laksana segera PKP kendiri dan tolong duduk rumah!

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN