Solat tarawih berbumbungkan langit - Utusan Malaysia

Solat tarawih berbumbungkan langit

Sebahagian pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Michigan, Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjalani ibadah puasa di bumi asing bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan kesabaran dan kecekalan berhadapan dengan suasana sambutan berbeza, berjauhan daripada keluarga dan waktu berpuasa yang lebih panjang. Dugaan lebih berat buat mereka yang berpuasa di negara bukan Islam. Namun walau apa pun berlaku, itu semua bukan halangan atau alasan untuk tidak menjalani ibadah yang mulia ini.

Baru-baru ini, saya berjaya menghubungi seorang pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS), Mas Syuhada Shaik Abdul Razak.

Menurut Mas Syuhada, 21, Islam merupakan agama ketiga terbesar di AS. Jumlah umat Islam sekitar 1.1 peratus daripada keseluruhan lebih 331 juta populasi negara itu. Terdapat kira-kira tiga hingga empat juta orang Islam menetap di AS.

DJ KHALED

Menurut pelajar tahun dua jurusan ekonomi di Universiti Michigan ini, terdapat ramai orang Islam yang berkecimpung dalam bidang profesional, pengurusan dan teknikal terutama industri teknologi maklumat, pendidikan, perubatan, undang-undang dan korporat.

Antara tokoh terkenal dalam sejarah AS yang beragama Islam ialah Muhammad Ali dan Mike Tyson. Kedua-duanya merupakan legenda dan juara tinju dunia. Tidak dilupakan juga, DJ Khaled, pemuzik rap yang menerima pencalonan anugerah Grammy pada 2016.

“Umat Islam di sini disambut baik oleh penduduk beragama lain sama seperti di Malaysia. Kami bebas melakukan ibadah dan mengunjungi masjid.

“Terdapat lebih 2,000 masjid di seluruh AS. Masjid terbesar ialah Masjid Pusat Islam Amerika yang terletak di Dearborn, Michigan, sekitar 45 minit perjalanan dari tempat tinggal saya.

“Terdapat asimilasi kaum antara orang Islam dan bukan Islam yang dapat dilihat dalam kelas dan di tempat kerja. Mereka sentiasa memberikan kelonggaran untuk umat Islam beribadah,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Mungkin ada pembaca berasa agak aneh atau terkejut dengan cerita yang dikongsikan Mas Syuhada kerana realitinya cukup berbeza tatkala kita membaca laporan-laporan berita yang kurang enak tentang layanan terhadap umat Islam di AS. Namun, mereka yang berada di sana sahaja dapat melihat dan merasai kehidupan sebenar.

Mas Syuhada yang sudah menetap di Ann Arbor, Michigan kira-kira dua tahun mempunyai banyak cerita menarik yang ingin dikongsikan.

“Tahun ini, Ramadan disambut pada musim bunga. Jadi, umat Islam berpuasa selama 16 hingga 17 jam. Tidaklah seperti musim panas yang boleh menjangkau sehingga 19 jam,” katanya.

DINGIN

Di Michigan, suhu musim bunga ialah antara 10°Celcius hingga 25° Celcius, sangat selesa walaupun kadang-kadang sedikit dingin. Makan sahur dilakukan secara bersendirian di kediaman masing-masing atau bersama rakan serumah sekitar pukul 4.30 pagi sementara iftar antara 8.30 hingga 9 malam. Begitu meriah dapat meraikan bersama kawan-kawan dan komuniti pelajar Muslim di sana.

Menurutnya lagi, bulan Ramadan yang tiba seiring dengan peperiksaan akhir semester menjadikan pelajar-pelajar Islam sedikit sibuk menumpukan perhatian kepada pelajaran. Namun, sekali-sekala mereka bertukar juadah dan solat tarawih berjemaah jika berkesempatan.

“Tidak ada bazar Ramadan seperti di Malaysia, namun ada jamuan berbuka puasa di masjid.

“Solat tarawih diadakan di luar bangunan, berbumbungkan langit disebabkan pandemik. Michigan memang terkenal dengan cuaca sejuknya dan kadang-kadang ibadah tarawih terpaksa dibatalkan kerana faktor cuaca yang tidak sesuai seperti salji dan hujan,” ujarnya.

Baru-baru ini, laman Facebook Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia ada berkongsi kisah menarik tentang Presiden Jefferson yang mengadakan makan malam bagi utusan Muslim pertama ke AS, Sidi Soliman Mellimelli pada 1805 di Rumah Putih. Mellimelli mewakili Bey of Tunis (monarki Tunisia) dalam menjaga hubungan politik dengan AS melihatkan ketegangan yang berterusan waktu itu. Presiden Jefferson dikatakan menyesuaikan waktu makan malamnya demi menghormati tetamu Muslimnya yang sedang berpuasa. Sikap diplomasi dalam pemerintahan Jefferson telah menjernihkan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Kini, terdapat beberapa perwakilan Muslim dalam pemerintahan kerajaan AS seperti Ilhan Omar dari Minnesota dan Rashida Tlaib dari Michigan. Mereka merupakan perwakilan Islam yang terpilih dalam Dewan Perwakilan AS yang memegang jawatan setaraf ahli Parlimen di Malaysia.

PALESTIN

Sebelum menjadi ahli politik, Ilhan ialah seorang pendidik nutrisi komuniti manakala Rashida merupakan seorang peguam. Ilhan dilahirkan di Somalia dan berhijrah ke AS pada usia 13 tahun. Rashida dilahirkan di AS. Ibu bapanya berhijrah dari Palestin. Ilhan dan Rashida mencipta sejarah sebagai dua orang wanita Muslim pertama yang dilantik untuk memegang jawatan itu.

Pada 27 April lalu, Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menyertai komuniti Masjid Jamek mengedarkan paket makanan kepada golongan memerlukan. Bahkan beberapa hari lalu juga, Duta Besar AS ke negarai ini, McFeeters mengadakan majlis iftar di kediamannya. Sokongan dan bantuan pihak AS ini perlu dipuji dan kita berharap hubungan umat Islam dan masyarakat antarabangsa dapat dipulihkan dengan sikap toleransi, tolong menolong dan hormat menghormati.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN