Dalam bidang kewartawanan khususnya Amerika Syarikat (AS), sudah menjadi ‘rahsia terbuka’ bahawa para wartawan sering dikaitkan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Hal ini mendapat perhatian anggota Senat AS, apabila pada 1996 satu jawata kuasa ditubuhkan, bernama Select Commitee on Intelligence of The United States Senate, bertujuan menyelidik kegiatan CIA yang menggunakan wartawan bagi mendapatkan maklumat.
Persoalannya, apa yang ada pada wartawan, sehingga sering dianggap sebagai ‘mata dan telinga’ pihak perisikan?
Persoalan lebih holistik, di manakah ‘kesenian’ kedua-dua bidang ini bertembung, dan jika ada, bagaimana teknik menajamkan lagi kemahiran tersebut?
SENI KOMUNIKASI, PERSONALITI
Mendepani persoalan bagi subjek yang menarik ini, Mingguan Malaysia mendapatkan pandangan bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail.
Dalam pertemuan lebih satu jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau yang kini Pengasas Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia berkata, kedua-dua bidang kewartawanan dan perisikan, berkongsi beberapa kemahiran seni dan keupayaan psikologi yang hampir sama.
“Pertama sekali, kedua-dua bidang amat menitik beratkan fakta dan maklumat. Kalau dalam kewartawanan, ia berkaitan dengan kemahiran dan daya kesenian kamu mengorek satu-satu maklumat, berlandaskan kepada persoalan penting khususnya ‘why’, ‘who’, ‘where’, ‘what’ dan ‘how’.
“Pada masa sama, para wartawan juga lazimnya berpersonaliti menarik dan meyakinkan, di samping mempunyai seni dan kemahiran komunikasi yang bagus. Ini penting dalam bidang tugas kamu,” katanya.
Menjelaskan lanjut beliau berkata, antara tips menajamkan kemahiran dan daya kesenian khususnya dalam aspek komunikasi dan pembinaan personaliti itu, termasuk pengalaman bertugas di samping membaca banyak bahan rujukan.
DUA KAEDAH RISIK
Dalam konteks perisikan, beliau berkongsi maklumat, bahawa ada dua kaedah perisikan yang popular.
“Pertama adalah kaedah terbuka, atau overt manakala kedua adalah tertutup. Ini bermaksud mendapatkan data dan maklumat secara sulit (covert), yang lazimnya menggunakan gajet elektronik selain mendapatkan dari sumber,” katanya.
Menjelaskan lanjut beliau berkata, dalam bidang perisikan data dan maklumat dikelaskan sebagai A1 sehingga F6.
“A1 dirujuk sebagai maklumat yang tepat dan sahih, manakala F6 pula maklumat yang dilaporkan, namun masih memerlukan kajian susulan,” jelasnya.
PROSES MENDAPATKAN MAKLUMAT
Katanya, bagi seseorang wartawan, antara kemahiran seni yang boleh diasah termasuk komunikasi, membina personaliti yang menarik agar mudah mendekati orang lain, serta seni memujuk rayu atau ‘art of persuasion’.
Semua ini, katanya dirangkumkan dalam proses yang diaplikasi oleh perisik, dikenali sebagai kitaran perisikan (intelligence cycle).
“Pertama kita mesti tahu apakah keperluan penting dalam maklumat itu. Kemudian, kita mesti ada rancangan. Seterusnya, kita buat pengumpulan maklumat.
“Selepas itu, bila kita sudah kumpul maklumat, kita buat analisis. Proses selanjutnya, kita buat penaksiran dan penilaian. Akhir sekali, kita pergi kepada fasa dissemination (penghebahan), itu yang penting,” katanya.
WARTAWAN MATA, TELINGA PERISIK
Menjelaskan lanjut, katanya proses tersebut hakikatnya mirip proses dalam satu-satu bilik berita juga. Maka tidak menghairankan apabila beliau berkata, wartawan adalah sumber paling baik untuk mendapatkan maklumat.
“Wartawan adalah sumber maklumat terbaik bagi agensi perisikan. Sebabnya, kamu semua sudah buat separuh kerja kami (tertawa). Setengah dari kerja kami kamu semua dah buat.
“Macam kita buat analisis tentang keadaan keselamatan sesebuah negara, kita baca dari laporan dan berita oleh wartawan. Daripada situ, kita boleh bertindak dan buat analisis susulan,” katanya.
DAYA IMAGINASI
HARUS TINGGI
Pada masa sama, Mohd. Salleh berkata kedua-dua bidang, khususnya perisikan, harus menitik beratkan daya imaginasi dan inovasi yang tinggi.
Memberi contoh, beliau berkata daya imaginasi sewaktu bertugas dahulu, dapat dilihat melalui strategi menakutkan pihak musuh sewaktu negara nyaris diheret ke kancah konfrontasi.
“Masa kita ada konflik dengan sebuah negara jiran, pada waktu itu pasukan askar mereka sudah sedia hendak berperang dengan kita. Ketika itu ada selisih faham, sebab mereka sudah bina sebuah struktur tengah laut. Mereka hendak cari pasal dengan kita. (Kita) hantar orang ke pelabuhan, pantau orang mereka keluar masuk. Dan memang betul, kapal perang mereka keluar masuk.
“Lepas itu kita usulkan, hantar kita punya fighter aircraft. Hari-hari kita hantar sampai mereka panik. Kata mereka, “eh Malaysia pun berani juga, bertaring juga rupanya”. Mereka ingat, bila hantar kapal perang, kita diam?
“Ini satu lagi kerja risik, kita sudah nampak ada isu, kita dah nampak ini berpotensi jadi satu konflik berlarutan, jadi kita kena ada daya imaginasi untuk bentangkan pelan tindakan efektif,” katanya menamatkan perbualan. – Mingguan Malaysia










