Selain vaksin, rakyat mahu maklumat tepat - Utusan Malaysia

Selain vaksin, rakyat mahu maklumat tepat

Salah satu cara untuk menjadikan mesej lebih jelas adalah dengan mempamerkan statistik kadar vaksinasi harian secara langsung. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 telah membawa kepada situasi yang gelap dan mengundang keresahan, menimbulkan kekeliruan, percanggahan dan kekecohan dalam negara kita.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seakan siri mimpi ngeri yang berulang dan membawa ketakutan, kegelisahan serta menjejaskan kehidupan dan mata pencarian kita. Namun, dalam kesamaran ini, apakah yang boleh menyelamatkan kita? Kita memerlukan maklumat yang sahih, telus dan tepat pada masanya.

Maklumat atau informasi amat penting pada masa ini untuk memberi penjelasan dan membantu masyarakat memahami situasi sebenar. Sebarang maklumat yang disalurkan oleh kerajaan setakat ini hanya diberi secara berterusan. Namun, apa yang rakyat mahu adalah maklumat yang jelas. Contohnya, bagi mencapai imuniti berkelompok, Kementerian Kesihatan menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk divaksinasi menjelang akhir tahun ini.

Mesej ini seharusnya disampaikan secara menyeluruh, dari atas sampai ke bawah. Salah satu cara untuk menjadikan mesej ini lebih jelas adalah dengan mempamerkan statistik kadar vaksinasi harian secara langsung serta garis masa pembekalan vaksin. Maklumat ini boleh diintegrasikan dalam aplikasi MySejahtera dan seterusnya membolehkan rakyat memahami kedudukan negara dalam usaha menangani wabak Covid-19.

Setakat mana status kita dalam mencapai sasaran 70 peratus imuniti berkelompok? Apakah halangannya? Adakah ia disebabkan masalah pembelian ataupun keengganan rakyat untuk menerima suntikan vaksin? Mungkinkah juga disebabkan kedua-dua faktor ini? Atau adakah wujudnya masalah-masalah lain? Maklumat seperti ini mampu memberi satu pandangan yang komprehensif. Lebih ramai yang memahami situasi dengan jelas, maka lebih ramai juga yang berupaya terlibat dalam membantu menyelesaikan permasalahan.

Maklumat jelas juga membolehkan kita membuat pengurusan yang lebih baik. Menjelang setahun sejak Covid-19 dikesan di dalam negara, kita masih lagi bergelut dengan cabaran-cabaran yang wujud dalam krisis kesihatan ini. Cabaran di sektor ekonomi telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Sudah tiga kali PKP dilaksanakan, namun prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat untuk memastikan keselamatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara pulih dilihat hanya menguntungkan pihak swasta. Jaringan sudah sedia ada. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah pun berkolaborasi dengan pihak berkepentingan daripada kesatuan pekerja, diplomatik dan dewan perdagangan antarabangsa berkenaan.

JUJUR

Oleh itu, mengapa kita masih menghadapi masalah yang sama, iaitu menutup ekonomi demi melindungi rakyat, atau untuk mengutamakan mata pencarian? Masalah ini boleh diselesaikan dengan maklumat yang tepat. Apakah batas-batas yang kita perlu ada sebelum melaksanakan SOP yang lebih ketat? Tidak dinafikan kerajaan sudah mempelajari banyak perkara sepanjang tahun lepas tetapi untuk betul-betul menghalang pandemik ini daripada menjejaskan ekonomi kita dengan teruk, kita memerlukan akses kepada maklumat yang jelas. Sekiranya kita memiliki maklumat ini, kita boleh merangka tindak balas yang menjamin kesihatan rakyat dan menjaga sumber ekonomi.

Maklumat yang jelas juga membantu kita bersikap jujur dan bertanggungjawab. Keyakinan tinggi adalah faktor utama dalam menangani Covid-19. Kita telah melihat sendiri bagaimana pemimpin negara mencapai kejayaan pada tahun lepas apabila penularan wabak berjaya dikawal dengan baik, malah ada juga beberapa hari di mana kes baharu harian positif Covid-19 mencatatkan satu angka sahaja.

Masa itu merupakan peluang bagi kerajaan mengukuhkan asas bagi mengekalkan keyakinan rakyat. Kita hidup dalam era di mana kejujuran dan kebertanggungjawaban kerajaan adalah sifat utama yang diperlukan oleh rakyat. Memang wujud segelintir pihak yang akan berhujah kononnya rakyat tidak berminat untuk mengetahui semua perincian dalam apa-apa bentuk maklumat. Namun, kekurangan maklumat akan mewujudkan persekitaran yang negatif.

Oleh itu, kita harus menangani maklumat yang salah dan berita tidak benar dengan menggunakan fakta. Apabila mereka yang memiliki kredibiliti gagal menyampaikan maklumat dengan jelas, maka pada masa itulah orang-orang yang berniat jahat akan mula menyebarkan maklumat tidak sahih. Dalam era ini, penyebaran maklumat berlaku dengan amat pantas. Sekiranya kerajaan mahu mengekalkan kelebihannya, mereka perlu pantas mengekang penularan berita palsu dan mengambil inisiatif dengan merekrut kerjasama rakyat untuk mengatasi pandemik ini.

Ini adalah era di mana maklumat di hujung jari. Kita mempunyai akses kepada semua pengetahuan melalui digital. Secara logik, ini bermaksud kita pasti akan berjaya menangani pandemik ini. Namun begitu, jumlah kes positif baharu kini sudah mencecah 7,000 kes.

Nampaknya kita masih belum menang dan perjalanan dalam pertempuran ini masih lagi jauh. Adakah kita sekadar melihat peningkatan jumlah kes saban hari? Adakah lebih ramai lagi yang akan jatuh sakit, meninggal dunia? Ini semua di luar kawalan kita.

Apa yang boleh dibuat oleh kerajaan adalah menyediakan maklumat strategik untuk membolehkan kita semua memainkan peranan masing-masing dan membuat keputusan terbaik berdasarkan maklumat diberi. Inilah kuasanya, iaitu maklumat jelas. Melalui maklumat yang jelas, kita pasti berjaya.

PENULIS ialah Pengerusi Biro Penerangan MCA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN