SETIAP kali Ramadan, jiwa Nurhana Mohd. Hayat, 12, tersentuh semasa berbuka puasa dan bersahur.
Dahulu, ada ibu dan bapa bersama-sama menikmati juadah. Tapi kini hanya dia dan ibunya sejak bapanya, Mohd. Hayat Abdul Rahim meninggal dunia pada 2018 akibat sakit jantung.
“Begitu juga sewaktu saya sakit. Nak ke hospital, bapa turut menemani saya. Tetapi apa boleh buat, bapa pergi selama-lamanya tiga tahun lalu semasa saya berusia hampir 10 tahun.
“Saya sedar saya tidak secergas seperti kanak-kanak lain, tetapi arwah bapa dan ibu banyak beri semangat,” katanya.
Kehidupan Nurhana tidak seperti kanak-kanak seusianya kerana masanya banyak dihabiskan dengan berulang-alik ke hospital menerima rawatan sejak berusia satu tahun lagi.
Pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, Tanjong Karang , Selangor itu tidak boleh lewat menerima rawatan. Jika lewat, badannya menjadi pucat lesu serta tidak bermaya.
Ibunya, Salmah Mastor, 52, berkata, anaknya perlu menerima rawatan setiap empat minggu di Hospital Sungai Buloh dan mendapatkan bekalan darah B positif.
TALASEMIA
“Selepas berjumpa doktor, keesokannya atau selang beberapa hari Nurhana perlu mejalani pemindahan darah.
“Setiap empat minggu kami perlu berulang-alik sebanyak dua kali ke Hospital Sungai Buloh. Itulah rutin Nurhana dan setiap kali ke hospital, dia terpaksa tinggalkan pelajarannya di sekolah,” katanya.
Nurhana disahkan menghidap talasemia sejak berusia satu setengah tahun dan mula menerima rawatan di Hospital Sungai Petani, Kedah, kemudian berpindah ke Hospital Tanjong Karang dan kini Hospital Sungai Buloh.
Salmah yang merupakan ibu tunggal dan suri rumah risau dengan kos perjalanan berulang-alik dari rumah ke hospital yang berjumlah RM200 kerana terpaksa menggunakan kenderaan e-hailing. Jika dua kali ke hospital dalam tempoh empat minggu setiap bulan, RM400 perlu disediakan untuk membayar tambang kenderaan.
Pendapatan tetapnya hanyalah daripada pencen arwah suami. Bagaimanapun, bebannya sedikit berkurangan kerana pihak zakat menampung separuh daripada jumlah RM400 itu.
Sementara itu, Nurhana memberitahu, dia memasang impian untuk menjadi seorang doktor bagi membantu orang lain yang memerlukan.
“Mungkin setelah melihat bapa meninggal dunia dan saya sendiri berulang-alik ke hospital serta banyak berjumpa doktor.
“Bapa pesan, sedekahkan al-Fatihah dan setiap selepas solat saya akan berbuat demikian. Sekarang tinggal saya bersama ibu sahaja. Harapan saya kalau besar nanti dapatlah saya membantu ibu,” ujarnya.
PENULIS ialah pelajar latihan industri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Utusan Malaysia.










