Keputusan kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 7 Jun ini susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 mula menarik perhatian khalayak. Hal ini kerana walaupun dari segi kesihatan dan keselamatan, ia penting dan wajar. Namun, kesan ekonomi yang dibawa bersama mula membimbangkan. Rakyat mula menghitung bagaimana hendak meneruskan kelangsungan hidup dalam situasi yang cukup kritikal seperti ini.
Jujurnya, rakyat masih belum pulih sepenuhnya kesan daripada pelaksanaan PKP pada tahun lalu. Walaupun semua sektor ekonomi dibenarkan terus beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, namun larangan merentas daerah dan negeri serta tidak dibenarkan makan di kedai terus mencetuskan panik dalam kalangan anggota masyarakat yang terlibat dalam sektor ekonomi berkaitan. Para pengusaha pelancongan termasuk hotel misalnya, terjejas teruk apabila aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan.
Pada hakikatnya, rakyat memahami dilema kerajaan yang terpaksa membuat keputusan untuk sekali lagi melaksanakan PKP. Peningkatan mendadak kes baharu sejak kebelakangan ini terus menjadi saksi betapa kealpaan anggota masyarakat dalam mematuhi SOP yang ditetapkan mula menghukum kita. Jadi, mahu tidak mahu kita tiada pilihan selain menguatkuasakan semula SOP yang lebih ketat dan tegas supaya dapat segera membendung penularan wabak.
Namun, dalam kita menyokong langkah kerajaan ini, besarlah harapan agar kerajaan akan terus membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup mengharungi detik yang sangat sukar seperti ini. Ringkasnya, penguatkuasaan PKP ini perlu diseimbangkan dengan pelbagai inisiatif tambahan untuk meringankan beban kewangan rakyat.
WANG TUNAI
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan beberapa siri pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan terkini pada Mac lalu, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa). Ironinya, bantuan dan inisiatif seperti Geran Khas Prihatin (GKP), Program Subsidi Upah (PSU), bantuan kepada kontraktor G1 hingga G4 serta bantuan tunai melalui skim Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) telah banyak membantu memulihkan tahap kehidupan serta kewangan rakyat.
Justeru, di samping kita mengharapkan inisiatif yang diumumkan melalui semua pakej rangsangan tersebut disegerakan, besarlah juga harapan agar kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya satu lagi pakej rangsangan baharu supaya rakyat boleh meneruskan kelangsungan hidup pada fasa berikutnya.
Hal ini dilihat sangat perlu kerana pertumbuhan ekonomi yang sangat perlahan menyebabkan kedudukan kewangan atau wang tunai di tangan untuk rakyat belanjakan juga semakin terjejas. Ini ditambah dengan senario pasaran kerjaya yang turut bergerak pada kadar yang sangat perlahan dan sederhana dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) terutamanya yang bekerja sendiri, dari kelompok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta yang terlibat dalam industri yang terkesan langsung akibat PKP seperti pelancongan, perhotelan dan pengusaha kantin, bas dan van sekolah dilihat antara kategori anggota masyarakat yang semakin tersepit untuk meneruskan kelangsungan hidup.
MORATORIUM
Justeru, golongan ini mengharapkan ihsan dan bantuan berterusan daripada kerajaan demi kelangsungan hidup masing-masing. Antara bantuan yang diharapkan ialah pelaksanaan semula program moratorium secara automatik kepada semua peminjam, sama seperti yang telah dilaksanakan selama enam bulan pada tahun lepas. Hakikatnya, moratorium bersasar bukan jalan penyelesaian terbaik dalam situasi getir seperti ini sebaliknya rakyat dari semua kategori mengharapkan moratorium automatik secara menyeluruh.
Maka rakyat mengharapkan kerajaan segera mengeluarkan arahan pelaksanaan program moratorium secara menyeluruh. Dengan ini, buat seketika rakyat tidak perlu memikirkan soal bayaran balik pinjaman, sebaliknya ansuran pinjaman yang ada itu boleh digunakan untuk kelangsungan hidup di samping membantu merancakkan semula ekonomi domestik. Justeru, besarlah harapan kita agar kerajaan boleh melaksanakan semula moratorium secara menyeluruh bermula Jun hingga Disember ini.
Di samping itu, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk meningkatkan lagi kadar BPR kepada kelompok yang terjejas secara langsung akibat PKP ini. Kelompok isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah serta yang hilang pendapatan secara total wajar diberi keutamaan kerana mereka merupakan kelompok terkesan yang sedang menanggung beban kewangan cukup serius.
Pada masa sama, bagi meredakan keresahan rakyat tentang jaminan pekerjaan, tempoh masa pelaksanaan PSU 3.0 juga wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini. Dengan ini, kita bukan sahaja dapat membantu majikan untuk meneruskan operasi termasuk ketika pasca PKP, tetapi lebih penting lagi dapat mengelak pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.
Tuntasnya, rakyat faham dan akur dengan pelaksanaan PKP kerana bukan sahaja kes wabak semakin naik tetapi ancaman varian yang disifatkan lebih ganas, iaitu varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India cukup membimbangkan. Cuma rakyat meletakkan harapan yang tinggi agar PKP ini turut disusuli dengan pelbagai bantuan demi kelangsungan hidup rakyat.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










