Pulaukan sekolah perilaku biadab - Utusan Malaysia

Pulaukan sekolah perilaku biadab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETULKAH tindakan memprotes kejadian gangguan seksual dengan mempengaruhi murid-murid memulaukan sekolah? Apakah mesej yang hendak disampaikan kepada pihak berkuasa, masyarakat dan dalam lingkungan murid sendiri dengan tindakan berkenaan?

Ternyata ia lebih menunjukkan kebiadaban, memberi reaksi yang berlebihan dengan cara yang tidak murni kepada murid. Pada waktu yang sama menunjukkan sikap yang tidak meraikan peraturan. Sengaja tidak hadir adalah melanggar peraturan sekolah.

Difahamkan tindakan beberapa kumpulan aktivis itu sebagai reaksi terhadap ‘jenaka rogol’ yang didedahkan oleh seorang murid baru-baru ini. Murid itu mendakwa dia menjadi mangsa gurunya. Rasanya tidak ada sesiapa atau mana-mana pihak yang mempertahankan perbuatan yang tidak bermoral yang didakwa itu.

Banyak juga yang marah dengan kejadian tersebut. Tetapi mereka lebih waras dan menyerahkan kepada pihak berkuasa. Terlalu berlebihan dalam memberi reaksi pun tidak ada gunanya, malah boleh merumitkan keadaan. Maknanya orang lain yang tidak meloncat bukan bermakna tidak ada reaksi.

Pihak berkuasa mengambil tindakan pantas dan menyiasat kejadian itu. Malah dalam kalangan masyarakat juga tidak ada yang menyokong corak jenaka berkenaan. Maka yang didakwa berlaku itu diambil perhatian serius oleh pelbagai pihak dalam masyarakat.

Malah tidak ada pula pihak yang cuba menutup atau melindungi dakwaan murid berkenaan. Maknanya kalau benar, ini satu jenayah. Apabila menjadi perlakuan jenayah biarlah pihak berkuasa menggunakan peruntukkan undang-undang yang ada.

Jadi kenapa beberapa kumpulan aktivis yang bergabung di bawah Nationwide School Walkout Day (NWSD) Alliance memberikan reaksi yang berlebihan? Mengapa terloncat-loncat seolah-olah kejadian yang didakwa berlaku menjadi satu fenomena di negara ini?

Kalau alasan NWSD gangguan seksual atau rogol sudah menjadi satu fenomena, itu salah. Ini sengaja memberikan gambaran yang boleh mencetus kegusaran kepada penjaga dan ibu bapa. Kalau tindakan itu bukan untuk menggambarkan satu fenomena, kenapa berlebih-lebih memberi reaksi?

Kita bimbang apabila air keruh muncullah pihak yang menanguk di situ atau menahan bubu di pergentingan. Mengambil kesempatan untuk tujuan lain yang tidak nampak. Banyak persoalan apabila melihat reaksi yang berlebihan, kononnya prihatin.

Sebenarnya kita pun tidak tahu siapakah yang berada dalam kumpulan-kumpulan aktivis ini? Aksinya berlebihan hingga menimbulkan persoalan – apakah agenda sebenar mengajak murid-murid memulaukan sekolah?

Sekolah adalah institusi ilmu yang tidak boleh dipulaukan walau atas apa alasan sekalipun. Kalau dilakukan ini satu perbuatan biadab seolah-olah mengajak murid dan sekelian guru bertindak bertentangan dengan nilai sewajarnya.

Mempengaruhi mana-mana pihak menjurus perbuatan biadab adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan. Memulaukan sekolah adalah perbuatan tidak sopan dan bertentangan dengan nilai-nilai kesusilaan.

Sebenarnya siapa yang memerlukan siapa? Sekolah memerlukan murid atau murid yang memerlukan sekolah sebagai tempat menuntut ilmu dan perkukuhkan sahsiah diri? Oleh hal yang demikian, mengajak murid memulaukan institusi ilmu adalah suatu yang merosakkan.

Perlu diingat, walaupun merancang memulaukan sekolah hanya sehari pada 6 atau 7 Mei lalu, tetapi ini satu permulaan yang akan membawa pada siri protes yang lebih buruk. Tambahan pula ini bukan cara kita menyelesaikan sesuatu masalah. Mogok atau protes tidak sesuai disogok kepada murid.

Di Barat, The National School Walkout adalah memulaukan sekolah kerana protes syarat pemilikan senjata api yang longgar di Amerika Syarikat (AS). Pemilikan senjata api yang bebas menyebabkan 20 orang ditembak mati di Marjory Stoneman Douglas, Parkland pada 20 April 2018.

Tragedi tembak di sekolah bukan pertama kali berlaku malah beberapa kali dan semuanya disebabkan syarat pemilikan senjata api yang longgar. Ini barulah boleh dianggap satu fenomena dan tujuan protes amat jelas untuk keselamatan murid serta orang awam.

Sudah tentu NSWD di AS itu tidak boleh diambil bulat-bulat kemudian meletakkan dalam situasi yang sangat berbeza di negara ini. Di sana mereka memprotes dasar kerajaan terhadap pemilikan senjata api. Tentulah sangat tidak wajar untuk diaplikasi bagi memprotes satu kes ‘jenaka rogol.’

Maka protes NSWD di negara ini lebih memporak perandakan institusi pendidikan. Kemudian memberikan persepsi yang buruk dengan tindakan yang melampaui. Tentulah amat tidak wajar mengajar murid memprotes institusi tempat menuntut ilmu.

Menentang dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beberapa kumpulan aktivis ini bukan bermakna kita bersetuju, atau selari dengan pelakuan yang didakwa itu. Maknanya orang lain pun prihatin juga tetapi caranya tidak gopoh sekaligus menimbulkan persoalan.

Kelihatannya tindakan kumpulan aktivis ini menjurus membudayakan gerakan yang melanggar disiplin. Keluarga dan dalam kalangan ibu bapa jangan bertolak ansur dengan kumpulan berkenaan. Ini menjejaskan masa depan anak-anak apabila mereka dicorakkan sedemikian.

Ini juga boleh membuka ruang melahirkan generasi muda yang biadab dan berkecenderungan mencabar undang-undang dan peraturan. Apakah ini maksud terlindung daripada penganjuran NWSD? Apakah sengaja memberi gambaran bahawa keselamatan di sekolah berada pada tahap sangat genting?

Jarum-jarum nakal dari luar sekolah ini akan menjejaskan persekitaran harmoni yang sedia wujud antara guru dan murid. Keharmonian mesti dipupuk bukan dihancurkan dengan prasangka pihak yang berkepentingan. Keharmonian penting untuk memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Maka, protes memulaukan sekolah ini mesti direnung secara tersurat dan tersirat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN