Sejak akhir-akhir ini, kes-kes rasuah melibatkan jutaan ringgit kian menjadi-jadi. Antaranya kartel tender projek kerajaan, tuntutan palsu kontrak pembekalan makanan, kartel daging dan banyak lagi. Masalah ini seolah-olah tiada pengakhirannya, malahan sindiket rasuah terancang kini semakin licik dan cekap sehinggakan jenayah ini tidak dapat dihidu walaupun setelah sekian lama dijalankan.
Di manakah silapnya? Apakah yang boleh dilakukan bagi menangani isu rasuah terancang ini? Mereka seakan-akan tidak gentar dengan undang-undang dan hukuman yang bakal dikenakan. Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memerangi rasuah termasuklah pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari 2019, yang merupakan satu pelan bagi merealisasikan aspirasi Malaysia untuk dikenali kerana integriti dan bukan kerana rasuah.
Sudah pasti ramai tertanya-tanya sama ada objektif utama pelan ini boleh dicapai menjelang 2023. Yang pasti, kejayaan kepada pelan ini terletak di bahu komitmen semua rakyat dan agensi terutama yang menjadi peneraju utama.
Pelan jangka panjang ini merupakan dokumen utama kerajaan yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah. NACP adalah pelan pertama yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.
Tidak dinafikan, pelancaran NACP sedikit sebanyak memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2019. Namun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama. Pada 2020, Malaysia menduduki tangga ke-57 iaitu jatuh enam anak tangga dari tahun sebelumnya dengan skor sebanyak 51 per 100. Penurunan skor ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Apa yang lebih penting adalah komitmen semua pihak untuk melaksanakan 115 inisiatif yang termaktub di dalam NACP serta mengukur dan melaporkan tahap keberkesanan inisiatif yang telah dilaksanakan. Tidak mustahil kartel-kartel rasuah serta penjenayah kolar putih akan menemui jalan buntu juga akhirnya nanti.
KOMBINASI OACP, ABMS
Salah satu inisiatif penting yang digariskan dalam NACP adalah keperluan untuk setiap agensi kerajaan membangunkan dan menggubal Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing. OACP merupakan dokumen dasar dan pelan strategik antirasuah di peringkat organisasi yang bertujuan menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi.
Lebih menarik, pembangunan OACP tidak terhad kepada agensi kerajaan sahaja tetapi syarikat milik kerajaan (SOE), syarikat terhad menurut jaminan (CLBG) serta sektor swasta juga tidak terlepas disarankan membangunkan pelan ini.
OACP juga menyediakan satu platform yang komprehensif dan sistematik dalam menangani isu rasuah dengan mekanisme pelaporan kepada pengurusan tertinggi organisasi secara berkala.
OACP juga meliputi isu-isu dalaman organisasi berkaitan kelemahan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang harus ditangani serta melibatkan semua bidang dan aktiviti yang ada di dalam organisasi. Antara keperluan penting dalam membangunkan OACP adalah mempersiapkan organisasi komersial supaya mempunyai tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Bukan itu sahaja, OACP dapat memastikan pembangunan organisasi yang lestari dan bebas rasuah dengan mengambil kira situasi kini dan masa hadapan.
Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) pada Mac lalu menyatakan, “membangunkan dan memiliki dokumen OACP adalah satu usaha penting. Bagaimanapun, dokumen ini hanya akan berjaya dan ‘bernyawa’ sekiranya didukung sokongan serta komitmen tinggi semua pihak dalam organisasi berkenaan.” Kenyataan ini sama sekali berasas dan harus diingati oleh semua agensi yang telah dan akan membangunkan pelan ini. Organisasi bukan sahaja berjaya membangunkan OACP malah lebih berjaya dan cemerlang sekiranya dapat melaksanakan inisiatif yang telah dirancang serta dapat mewujudkan transformasi budaya governans, integriti dan antirasuah yang lebih mantap.
Selain sokongan semua pihak, satu sistem pengurusan yang kukuh dan menyeluruh juga perlu dibangunkan bagi merealisasikan pelan-pelan yang termaktub di dalam OACP. Salah satu sistem pengurusan yang lengkap dan menyeluruh ialah MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang juga merupakan sistem bertaraf antarabangsa.
KPI
Secara ringkasnya, ABMS adalah satu sistem yang menggunakan pendekatan pencegahan awal dengan mengenal pasti risiko-risiko rasuah di sesebuah organisasi berdasarkan fungsi-fungsi sesebuah jabatan, unit mahupun bahagian yang sama sekali akan menutup ruang dan peluang rasuah. Pensijilan ABMS ini tidak menjamin unsur rasuah akan bebas sepenuhnya kerana rasuah membabitkan faktor manusia. Namun, apa yang boleh dikatakan dengan adanya sistem pengurusan adalah menjadi semakin sukar untuk amalan rasuah dilakukan.
Kombinasi kedua-dua elemen ini diyakini dapat membanteras rasuah di segenap agensi dengan lebih sistematik dan menyeluruh. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali juga telah menyeru semua agensi kerajaan untuk membangunkan OACP dan ABMS, dan ia dijadikan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) bagi 2021. Usaha ini pasti akan membuahkan hasil seandainya lebih banyak agensi kerajaan dan swasta menyahut seruan ini.
Kedua-dua elemen ini adalah evolusi dalam memerangi rasuah di Malaysia yang selari dengan evolusi jenayah rasuah yang dilihat semakin sofistikated saban hari. Pendekatan lama atau biasa sudah tidak memadai dan boleh dibaca oleh perasuah-perasuah di luar sana. Oleh itu, tidak ada salahnya menggunakan pendekatan yang lebih sistematik dalam menangani rasuah malahan ia akan memantapkan lagi sistem kawalan kendiri.
Masih banyak agensi belum membangunkan OACP dan ABMS. Jangan berlengah lagi, mulakan langkah pertama. Jika tidak pasti dari mana hendak bermula, Institut Integriti Malaysia (IIM) sentiasa bersedia untuk membantu. Apa yang penting adalah tindakan. Jika tiada sebarang tindakan proaktif diambil, perasuah akan terus bebas merencanakan aktiviti yang boleh memusnahkan negara.
Namun, apa jua pelan yang dirancang dan apa jua sistem yang dibangunkan, ia memerlukan komitmen semua pihak bagi melaksanakannya. Tanpa pelaksanaan, pelan menjadi sia-sia, sistem akan tergendala, rasuah akan berleluasa semula dan terus bermaharajalela!
PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).










