Pembela pendidikan anak Pahang - Utusan Malaysia

Pembela pendidikan anak Pahang

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah) menerima replika cek dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan Yayasan Pahang untuk Anak-Anak Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBANYAK RM1.35 bilion! Inilah nilai yang telah kerajaan negeri Pahang belanjakan menerusi Yayasan Pahang (YP), demi pendidikan anak negeri sejak 1983 hinggalah sekarang. Seramai 1.74 juta pelajar kesemuanya tanpa mengira latar kaum, agama mahupun pegangan fahaman politik keluarga mendapat manfaat daripada perbelanjaan yang besar ini.

Bagi tiga tahun terakhir iaitu 2020, 2019 dan 2018 di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, nilai perbelanjaannya ialah RM191.7 juta, dimanfaat oleh 391,424 pelajar.

Sasaran yang ditetapkan oleh Wan Rosdy untuk 2021, YP akan berbelanja RM65 juta lagi yang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 135,000 pelajar di seluruh negeri itu.

Nilai-nilai perbelanjaan ini adalah secara berterusan meningkat dari setahun ke setahun, membuktikan besarnya tahap kepedulian kerajaan negeri terhadap pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga yang memerlukan.

Ini berlaku sejak penubuhan YP oleh Menteri Besar, Datuk Seri Najib Tun Razak (1982-1986), disusuli Tun Mohd. Khalil Yaakob (1986-1999) dan Datuk Seri Adnan Yaakob (1999-2018) sehinggalah Wan Rosdy. Menteri Besar seperti mana termaktub dalam enakmen berkaitan dan secara tradisinya adalah juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YP. Masing-masing dengan style dan pendekatan tersendiri bagi menjayakan aspek pendidikan golongan sasaran.

Secara fizikal, YP turut menjadi kebanggaan susulan terbina dan tersergam bangunan enam tingkat bernilai RM35 juta dengan perbelanjaan sendiri di Tanjung Lumpur, Kuantan. Kos ini termasuk pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bersebelahan yang keseluruhannya dikenali Kompleks YP. Kompleks ini dirasmikan oleh Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada Jun 2007 atau selepas 24 tahun baginda merasmikan penubuhan YP pada 29 September 1983. Ketika itu hanya terletak dan beroperasi di Tingkat 19, Kompleks Teruntum di pusat bandar Kuantan.

Malah secara fizikal juga, YP turut mengeluarkan perbelanjaan sendiri kira-kira RM106 juta bagi membina, menyiap dan mula beroperasinya sebuah institusi pendidikan pada 2017 yang boleh menampung sehingga 2,000 pelajar dalam kawasan kompleks sama dan kini dikenali Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).

Sasaran YP dalam menyalurkan bantuan pendidikan antara lain untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam kalangan pelajar berusia antara 17 dan 23 tahun, memperoleh pendidikan peringkat tertiary atau pengajian tinggi.

Selain bantuan pendidikan yang turut diberikan di peringkat sekolah, sasarannya juga ialah bagi melaksanakan program-program kecemerlangan pendidikan bagi menambah-ramaikan anak-anak negeri melanjutkan pengajian ke menara gading. Seterusnya, YP juga berusaha untuk menyeimbangkan antara pemberian bantuan kewangan di bawah program-program berasaskan akademik dan kemahiran diri.

Oleh itu, pelbagai program bantuan pendidikan diperkenal dan dilaksanakannya seperti Biasiswa Sekolah Rendah (BSR), Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan (BKS). Di bawah Biasiswa Pengajian Tinggi pula meliputi Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB), Biasiswa Tahfiz Profesional (BTP), Biasiswa Anak Yatim dan Skim Pelajar Cemerlang.

Program-program lain bagi mengiktiraf pencapaian pendidikan pelajar sebagai daya penggalak serta yang melibatkan ekonomi dan kemasyarakatan turut YP laksanakan secara konsisten. Ia termasuk Anugerah Kecemerlangan Akademik, Dermasiswa Pelajar Miskin, Geran Pra Siswazah dan Pasca Siswazah, Program Pembangunan Mahasiswa menerusi penubuhan Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) dan Program Pengajian Islam Tafaqquh Fiddin.

Demi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar, beberapa lagi program dilaksanakan seperti Jawab Untuk Jaya (JUJ), Projek Intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI), Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS) dan Program Peningkatan Pendidikan Khas (PrKasih).

Oleh itu, tidak menghairankanlah apabila YP sendiri memenangi banyak anugerah sama ada peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa dengan terbaharu penerima People’s Choice Stevie Awards 2020 dan pada 2017, Best Social Services in Asia Pacific dan APBEST Social Responsibility Driver of the year daripada APBEST Hong Kong.

“Semua kebaikan oleh YP dan kejayaan ini sebenarnya yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, melainkan… semuanya adalah dirancang. Kalau tidak rancang, YP tidak akan jadi berjaya macam ini,” seperti mana kata Adnan pada program Hadiah Kecemerlangan Pendidikan YP pada 15 Mei 2017.

“Bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada 1983, kini YP berjaya mendapatkan sumber pendapatannya sendiri untuk diagihkan kepada anak-anak Pahang,” kata Wan Rosdy pula pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan YP untuk Anak-Anak Pahang, 10 Mac lalu.

Seperti mana kita ‘angkat tabik’ kepada kepemimpinan tertinggi YP terdahulu, Najib, Mohd. Khalil dan Adnan serta barisan pengurusannya, sama juga kita berikan kepada kepemimpinan sekarang diterajui Wan Rosdy dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Nawawi.

Semoga dengan ini, YP yang genap 38 tahun penubuhannya September ini akan dapat terus dimantap dan digerakkan demi membela pendidikan anak negeri terutamanya dalam kalangan mereka daripada keluarga yang memerlukan.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN