Moral Israel yang rosak - Utusan Malaysia

Moral Israel yang rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUSUHAN maut yang berlaku di Baitulmaqdis ketika umat Islam mahu bertarawih dan serangan bertalu-talu ke atas Semenanjung Gaza menjelang Aidilfitri menunjukkan betapa rejim Zionis Israel sentiasa mencari ruang untuk menindas penduduk Palestin.
Daripada tindakan rejim tidak berperikemanusiaan itu jelas kepada kita bahawa mereka memang tidak peduli akan nyawa rakyat Palestin, menunjukkan mereka angkuh pada kekuasaan yang ada dan langsung tiada sifat kemanusiaan.
Kerana sikap angkuh itu mereka telah mengetepikan isu moral dengan bertindak sewenang-wenangnya di luar batas kemanusiaan ketika seluruh dunia berusaha untuk mencari keamanan di bumi Palestin.
Walaupun realitinya dunia seolah-olah sudah melupakan kepada perjuangan rakyat Palestin, tetapi itu tidak bermakna Israel boleh bertindak secara semberono menghalang hak mereka di bumi Baitulmaqdis apatah lagi menyekat mereka daripada beribadat di masjid suci itu.
Ketika mereka menuduh para pejuang Hamas sebagai pengganas, mereka sendiri bertindak sebagai pengganas dengan menjarah dan menyekat hak penduduk-penduduk Palestin.
Menggunakan alasan serangan roket daripada pihak Hamas untuk bertindak ganas, kumpulan Zionis ini lupa bahawa roket-roket Hamas itu adalah tindakan terhadap perbuatan zalim mereka ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat terutama Baitulmaqdis.
Malah masyarakat antarbangsa yang pro kepada Israel ini lebih bersifat menutup sebelah mata dan membenarkan kumpulan fanatik Zionis menggunakan keganasan untuk menindas kumpulan yang lemah.
Israel itu sendiri dibina atas sifat keganasan dan ditadbir oleh para pengganas yang tidak berhati perut sejak sekian lama. Sebab itu dari hari ke hari tahun ke tahun, isu Palestin tidak pernah selesai.
Ketika ia kelihatan sudah reda timbul keganasan baharu yang mengorbankan ratusan nyawa di pihak Palestin. Setiap kali sengketa timbul hanya pihak Palestin yang akan ditimpa korban yang dahsyat dan kemusnahan teruk.
Semua tahu kewujudan Israel itu sendiri didokong oleh keganasan dan penindasan. Sebab itu mereka terus menjarah tanah-tanah penduduk Palestin untuk membuka penempatan haram.
Dunia sudah lama meminggirkan penduduk Palestin. Kalau ada yang bangkit menyokong sekalipun hanya negara kecil seperti Malaysia yang tiada kekuatan ekonomi dan apatah lagi tentera.
Negara-negara Arab dan Amerika Syarikat (AS) menggunakan Palestin untuk kepentingan mereka. Arab menggunakan Palestin untuk memperlihatkan kononnya mereka berjuang menegakkan Islam.
Apa yang dilakukan oleh pemimpin negara Arab hanyalah untuk mendapatkan publisiti di rangkaian-rangkaian televisyen antarabangsa. Tidak lebih daripada itu.
Sama juga dengan AS. Negara kuasa besar itu akan menggunakan alasan pengganas dan keganasan untuk menghalalkan tindakan Israel walaupun ibu segala keganasan di dunia sebenarnya berbenih di bumi Israel.
Kalau negara-negara yang ada kuasa untuk mengugut seperti Arab bertindak acuh tidak acuh, apa yang mampu dilakukan oleh negara-negara kecil lain? Mereka hanya setakat mampu bersimpati jika lebih-lebih mereka bimbang akan terkena sindrom leftisme. Iaitu sindrom takut terpinggir atau dipulaukan. Kalau mereka ‘bersentuh’ dengan Palestin maka mereka akan dijangkiti penyakit leftisme yang dahsyat.
Maka demi survival mereka hanya berdiam sendiri. Jika ada simpati sekalipun hanya sekelumit sahaja yang dizahirkan. Tidak memberi apa-apa kesan kepada persepsi dunia yang lain terhadap Palestin.
Ini adalah wabak yang ada hampir di semua negara di dunia ini apabila membicarakan isu Palestin. Sebab itu, walaupun ribuan nyawa penduduk Palestin menjadi taruhan, walau ratusan kali peristiwa Sabra dan Shatila berulang, nasib rakyat Palestin tetap sama. Pandangan terhadap mereka tetap sama.
Ia juga wabak yang menjelaskan lagi akan ketidakadilan yang sudah jadi monumental kepada rakyat Palestin. Semua pihak hanya mencari alasan kepada masalah ini dan bukannya menyelesaikannya.
Ini adalah kesinambungan dari apa yang digambarkan oleh Rashid Khalidi dari Universiti Columbia sebagai “Perang Seratus Tahun di Palestin.”
Khalidi dengan tepat menunjukkan bahawa konflik Israel-Palestin mempunyai dua aspek: Ini adalah konflik dua pihak yang mengakui diri mereka sebagai bangsa. Tetapi itu juga merupakan sebahagian dari sejarah panjang penjajahan peneroka di mana populasi “pribumi” dipindahkan.
Inilah sebabnya mengapa bumi Israel itu ada ibu segala pengganas kerana ia dibina daripada keganasan yang tidak pernah ada penghujungnya.
Apa yang tidak pernah dilakukan oleh Israel terhadap Palestin? Perampasan harta benda, penciptaan warganegara kelas dua, mengepung wilayah Gaza hingga tidak boleh berhubung dengan negara luar, menindas, membunuh kanak-kanak dan wanita serta segala macam bentuk penjarahan.
Keganasan yang dilakukan oleh Israel adalah keganasan yang dibenarkan atau keganasan yang dibiarkan oleh majoriti masyarakat dunia demi mempertahankan sebuah kerajaan yang berdiri atas kuasa ketenteraan semata-mata.
Kejadian-kejadian yang mengarah pada rusuhan di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini dapat dilihat sebagai sebahagian dari pola panjang untuk mendorong orang Palestin dari wilayah yang ingin dituntut oleh Israel bangkit menentang supaya mereka boleh digelar pengganas.
Peter Beinart bekas editor New York Times melihat peristiwa baru-baru ini sebagai satu rantaian panjang yang bermula dengan peristiwa Nakba pada 1947 (malapetaka, seperti yang disebut oleh orang Palestin), ketika lebih dari setengah juta penduduk Palestin diusir.
Pengusiran etnik gaya abad ke-19 itu sepatutnya tidak mungkin dilakukan, tetapi Israel telah menggunakan seribu satu pembohongan, dakyah dan keganasan untuk mengusir penduduk Palestin dari tanah dan rumah mereka.
Israel seboleh mungkin mahu mengurangkan kehadiran warga Palestin di Baitulmaqdis timur. Dan sekali dunia hanya akan memerhatikan dari jauh apa yang berlaku. Mungkin sekali-sekali disokong oleh tunjuk perasaan dan proses anti-Israel di sana-sini, tetapi nasib rakyat Palestin tetap sama. Tidak berubah.
Israel dengan imej moral dan kemanusiaannya yang rosak tetap akan dibiarkan bertindak secara berleluasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN