SELEPAS hampir sebulan mendirikan rumah tangga, saya dan isteri bercadang menyewa sebuah rumah pangsa di pinggir bandar. Sebelum ini saya tinggal di rumah mertua, tetapi lama-kelamaan rasa kurang selesa pula, maklumlah adik ipar yang masih bujang pun tinggal di situ. Jadi lebih baiklah saya dan isteri bina keluarga, tinggal berasingan.
Melalui seorang teman saya akhirnya diberitahu ada sebuah rumah pangsa untuk disewa. Kawasannya pun tidak jauh dari tempat kerja saya dan isteri di kawasan perindustrian Mak Mandin, lantas saya menghubungi tuan rumah tersebut.
Sebaik menelefonnya kami berbual panjang. Rupa-rupanya tuan rumah tersebut tinggal di Kuala Lumpur. Katanya, saya dan isteri boleh masuk bila-bila masa kerana penyewa lama sudah keluar dua minggu lepas.
Setelah mendepositkan duit bayaran sewa ke akaunnya, keesokannya seorang lelaki datang berjumpa saya menyerahkan kunci rumah. Katanya. dia ialah kenalan tuan rumah dan dialah yang menguruskan penyewa yang ingin masuk dan keluar rumah berkenaan. Saya hanya tersengih faham.
Pada hari pertama kami berpindah segala-galanya nampak baik. Walaupun tidak banyak perabot, tetapi kami amat berpuas hati. Maklumlah, lama kelamaan nanti bolehlah kami tambah sedikit demi sedikit mana yang perlu.
Cuma yang saya musykil apabila lelaki tersebut beritahu, penyewa lama hanya menyewa seminggu sahaja sebelum pindah keluar. Memang aneh dan pelik. Tetapi saya fikir positif, mungkin penyewa tersebut ada alasan sendiri.
Sedang saya mengemas di dapur, tiba-tiba isteri yang sedang menyapu di bawah katil dalam bilik memanggil saya. Dia menunjukkan sesuatu di tangannya ketika itu.
“Izah jumpa ini di bawah katil. Apa agaknya ya?” tanyanya pada saya.
Saya mengambil kotak kecil dari tangannya. Bila saya buka di dalamnya terdapat senaskhah surah yasin kecil serta satu bunjut kecil kain berwarna kuning yang diikat kemas.
Saya dan isteri berpandangan. Lantas saya tutup kembali kotak tersebut dan letakkan di atas peti sejuk di dapur. Fikir saya mungkin ia kepunyaan penyewa lama yang telah berpindah sebelum ini.
Malam pertama bermalam di rumah baharu sudah ada perkara pelik berlaku. Sebaik sahaja ingin melelapkan mata tiba-tiba terdengar bunyi kaca jatuh berderai di dapur. Bergegas kami bangun memeriksa.
Sampai sahaja di dapur kami berpandangan. Kelihatan cermin kecil yang diletak isteri siang tadi jatuh berkecai. Pelik juga kerana setahu saya cermin tersebut di letak atas kabinet. Takkan dilanggar tikus pula.
Kami berdua lantas mengutip kaca bertaburan serta menyapu sehingga bersih. Takut pula kalau ada saki baki kaca tertinggal nanti.
Malam kedua pula sedang tidur lena tiba-tiba dari pintu yang terbuka saya terlihat kelibat isteri di ruang tamu. Terus sahaja saya bangun dan menuju ke arahnya.
“Eh, kenapa tak tidur lagi? Kan sudah lewat malam ni,” tanya saya sambil menggosok mata yang mengantuk.
Isteri tidak menjawab. Dia terus berjalan dan menuju ke tandas yang terletak di dapur. Saya garu kepala kehairanan. Lantas masuk semula ke bilik untuk sambung tidur. Fikir saya mungkin dia ingin membuang air.
Namun sebaik ingin merebahkan badan di katil, darah serta-merta tersirap. Jantung berdebar kencang. Saya lihat isteri ada di sebelah sedang lena tidur. Saya tergamam.
Saya tarik selimut dan berselubung. Sehingga pagi saya tidak dapat melelapkan mata. Fikiran masih dihantui kejadian yang berlaku itu. Tidak tahu macam mana ingin saya jelaskan kepada isteri.
Keesokannya ketika ingin keluar ke pekan membeli barang dapur, jiran sebelah rumah menyapa.
“Hang baru pindah masuk ke?” tanya wanita separuh umur yang memperkenalkan dirinya sebagai Mak Jah.
Saya mengangguk sambil tersenyum.
“Kalau iya pun hang baru pindah janganlah bertukang sampai lewat malam. Hang paku dinding itu kuat sangat. Mak Jah hendak tidur pun tak senang,” katanya sambil membetulkan tudung yang dipakainya.
Saya terdiam. Tidak tahu bagaimana ingin jelaskan keadaan sebenar. Memang rasa pelik bila dia berkata begitu. Setahu saya tidak pernah sekalipun kami memaku atau bertukang sehingga lewat malam.
Sejak terjadinya beberapa kejadian di luar jangkaan, saya ambil keputusan untuk berterus terang dengan isteri. Saya ceritakan segala apa yang berlaku, tetapi isteri langsung tidak terkejut. Wajahnya biasa sahaja. Seolah sudah bersedia dengan setiap apa yang ingin saya ceritakan.
“Sebenarnya kalau abang hendak tahu Izah pun ada cerita nak sembang dengan abang ini. Senja kelmarin sewaktu Izah sedang tunggu abang balik kerja, tiba-tiba Izah dengar ada bunyi pelik dekat dapur,” katanya memulakan perbualan.
“Izah terus pergi ke dapur, ingatkan ada tikus ke kucing ke. Sampai di dapur Izah terkejut. Abang tahu tak apa Izah nampak?” tanyanya padaku.
Saya menggelengkan kepala. Rasa ingin tahu terus memuncak.
“Izah nampak kotak kayu yang abang letak atas peti sejuk hari itu dah jatuh ke bawah. Yang Izah pelik kenapa kotak itu saja yang jatuh, benda-benda lain semua elok saja,” kata isteri bersungguh.
Saya terdiam. Tak tahu apa jawapan yang perlu diberi kepada isteri ketika itu. Saya mula mengelamun dan memikirkan perkara-perkara yang kurang baik. Entah-entah perkara sebeginilah yang menyebabkan penyewa sebelum ini hanya bertahan seminggu sahaja.
Bagaimanapun saya tidak menceritakan kepada isteri tentang perkara yang terjadi malam tadi ketika mana ternampak kelibatnya di ruang tamu. Saya risau kalau dia takut dan fikir yang bukan-bukan. Perkara tersebut biarlah saya simpan sendiri.
Malam itu kami ambil keputusan untuk bermalam di rumah mertua. Kami tidak ceritakan apa yang berlaku, tetapi kami sudah rancang untuk cari rumah sewa baharu menjelang esok.
Kami sepakat tidak mahu lagi tinggal di situ. Kalau dua hari menginap pun sudah bermacam-macam perkara pelik berlaku, tidak mustahil akan terjadi pula pelbagai perkara pelik lain di malam-malam mendatang.
Saya fikir semua yang berlaku ini mesti ada kaitan dengan kotak kayu yang berisi surah yasin dan kain bunjut berwarna kuning itu. Cuma saya masih belum tahu apa rahsia sebenarnya. – Mingguan Malaysia










