SELEPAS ramai menanti keputusan mengenai rentas negeri dan daerah, akhirnya kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti tersebut di seluruh negara.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pada awalnya dikenakan di beberapa negeri terutama di negeri-negeri yang berlaku peningkatan kes drastik seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, akhirnya merebak ke seluruh negara kerana berlaku peningkatan kes dari sehari ke sehari.
Oleh hal demikian, aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan kerana kebanyakan negeri masih mengalami kes Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dengan mudah sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak diberi perhatian sewajarnya.
Hari Raya Aidilfitri kali ini merupakan hari raya kali kedua bagi kebanyakan warga kota tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung dan begitulah sebaliknya. Pengumuman yang dilakukan minggu lepas mengenai hal tersebut diiringi rasa kecewa oleh kebanyakan mereka yang berhijrah tetapi sebenarnya mesti dijadikan satu pengalaman, pengajaran dan pendidikan agar wabak ini dapat dibendung sepenuhnya.
Apa-apa pun, kampung akan sunyi sekali lagi seperti hari raya tahun lepas. Di anak tangga rumah, orang tua kembali menunggu anak, cucu dan menantu yang tak kunjung sampai. Kesudahannya, tidak akan kelihatan sekali lagi anak cucu di halaman rumah pada malam raya bermain bunga api yang menambah ceria malam raya.
Tidak kelihatan lagi anak, cucu, menantu, berpakaian sedondon dengan tema masing-masing mengitari kampung halaman seperti sebelumnya. Semuanya berubah. Raya seperti bukan raya. Yang bezanya cuma di corong-corong radio, kaca televisyen dan pembesar suara masjid dan surau kedengaran takbir sayu membelah angkasa.
Bagi warga kampung pula, mereka tidak menjadi sesibuk mana menyediakan juadah seperti selalu. Semangat berhari raya turut menjadi pudar. Masak ala kadar sahaja.
Cukup untuk siapa yang ada di rumah atau anak, cucu dan menantu yang tinggal sekampung. Anak-anak kecil pula tidak bertandang beraya seperti selalu. Poket pula tidaklah sendat dengan duit raya seperti yang selalu diperoleh sehingga penat mengira dua, tiga kali.
OP SELAMAT
Senario hari raya nanti tentunya berubah dan tidak seperti selalu. Biasanya, Lembah Klang sahaja menyaksikan tumpuan penghijrah dari seluruh pelosok tanah air terutama dari utara, selatan dan Pantai Timur. Mereka inilah yang selalunya bergerak pulang ke kampung halaman dan menyesakkan jalan-jalan dan lebuh raya di seluruh negara sehingga ada yang mengambil masa berbelas-belas jam lamanya untuk tiba di kampung. Tahun ini, semua ini tidak akan berlaku lagi. Jalan-jalan dan lebuh raya akan lengang seperti tahun lepas. Maka sudah tentunya kampung yang sudah sedia lengang akan tetap menjadi lengang dan bandar serta pekan yang agak padat dengan penduduknya tetap dalam situasi sama.
Operasi (Op) Selamat tidak perlu lagi. Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu lagi hendak mencatat berapa yang meninggal dunia dan berapa jumlah kemalangan setiap hari sepanjang dua minggu operasi tersebut berlangsung. Bagaimanapun, PDRM tidak boleh lepas tangan kerana mereka ada Op Rentas yang perlu mengendalikan individu atau kumpulan tertentu yang mahu merentas negeri dan daerah untuk pulang ke tempat asal atas pelbagai alasan termasuk yang tidak boleh diterima.
Oleh hal demikian, PDRM tidak boleh tidur lena juga demi tanggungjawab menjaga keselamatan dan mengawal pergerakan orang ramai, apatah lagi bagi mereka yang ‘degil’ ingin pulang ke kampung dengan pelbagai kaedah dan alasan.
JUADAH
Apa-apa pun, semua ni mesti ditelan dengan penuh kerelaan. Dalam soal ini, kedua-dua pihak mesti mempunyai rasa tanggungjawab dan kesedaran tinggi terhadap apa yang sudah ditetapkan oleh pemerintah.
Bagi yang tidak boleh pulang beraya bersama keluarga, berayalah seperti tahun lepas. Sambutlah bersama keluarga di bandar walaupun dalam jumlah yang sedikit.
Sedialah juadah berhari raya ala kadar atau sekadar mampu untuk makan bersama keluarga. Di kampung pula, berayalah bersama keluarga masing-masing atau dengan jiran terdekat dengan mengikut ketetapan yang sudah dikenakan.
Hubungan dengan anak, cucu serta menantu masih boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah kerana zaman sudah canggih. Ucaplah selamat hari raya dan bermaaf-maafanlah menerusi dalam talian. Tentu makna hari raya tetap terisi dan tidak kosong begitu sahaja.
Hari raya tahun lepas, kita berharap hari raya kali ini dapat disambut seperti biasa tetapi apa yang diharap-harapkan tidak menjadi kenyataan. Pelbagai pengalaman sudah kita rasai dan lalui dengan pelbagai langkah mengekang Covid-19 tetapi pelbagai bentuk kelalaian yang dilakukan sepanjang pandemik ini menjadikan kita terpaksa lebih lama menanggungnya.
Tahun ini, kita tentunya membuka harapan baharu agar dapat merayakan semula perayaan-perayaan penting semua kaum dalam situasi yang sama sebelum ini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










