Ulama tersohor tasawuf, al-Imam al-Ghazali pernah memberikan formula dalam mencari malam al-qadr kepada umat Islam. Menurut beliau, jika kita mula puasa Ramadan pada hari Isnin, ada kemungkinan lailatulqadar berlaku pada malam 21 Ramadan.
Tahun ini 1442 Hijrah, kita menyambut Ramadan pada Selasa iaitu bersamaan 13 April. Formula Imam Ghazali menyebut, jika mula puasa pada Selasa, maka mengikut pengalaman beliau, lailatulqadar jatuh pada malam 27 Ramadan iaitu esok, Sabtu.
Sememangnya, tarikh sebenar malam al-qadr dirahsiakan oleh Allah SWT. Ia supaya umat Nabi Muhammad SAW berusaha mencarinya dengan melakukan pelbagai amal ibadat.
Di dalam kitab Fath al-Bari ada disebutkan tentang 46 pandangan ulama mengenai bilakah berlakunya malam al-qadr. Bagaimanapun, dikhabarkan sepanjang hayat baginda SAW berpuasa di Madinah selama sembilan tahun, malam al-qadr berlaku pada malam ke-27 sebanyak empat kali.
Ada juga berlaku pada malam 21, 23 dan 29. Malah ada juga berlaku pada malam genap iaitu malam ke-24. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah malam lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.” (Lihat Jami’ al-Saghir)
Namun, yang masyhur adalah hadis daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatul qadr pada 10 terakhir dari bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah Nabi SAW turut memberi petunjuk yang lebih terperinci tentang lailatulqadar sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: “Carilah malam al-qadar pada malam ganjil di 10 malam terakhir bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yang lebih penting bukanlah tentang bila malam al-qadr itu berlaku. Sebaliknya, apakah persiapan kita untuk mencarinya agar beroleh pahala beribadat melebihi 1,000 bulan atau 83 tahun empat bulan?
Antara amalan Nabi SAW ialah solat malam dan membangunkan keluarga untuk solat. Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah r.a: “Nabi SAW apabila memasuki 10 akhir (dari bulan antara amalan yang dicontohkan oleh baginda SAW adalah mengetatkan kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengetatkan kain adalah kiasan bagi berjimak dan mukadimah jimak. Ini kerana perkataan-perkataan Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dengan bahasa yang sopan.
Kedua, membanyakkan berdoa. Antara doa yang sabit dalam hadis Nabi Muhammad SAW adalah sebagaimana diajarkan kepada isteri baginda SAW, Aisyah r.a iaitu: “Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa fa’fu’annii (Ya Allah sesungguhnya Engkau bersifat Pengampun, Engkau suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.)” (Riwayat Tirmidzi)
Ketiga, membanyakkan membaca al-Quran. Satu huruf yang dibaca diganjari 10 kebaikan (pahala). Ia dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf dari kitab Allah, dia mendapat satu kebaikan dengan huruf itu, dan satu kebaikan dilipatgandakan menjadi 10. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi)
Keempat, bagi orang lelaki dianjurkan untuk beriktikaf. Iktikaf adalah berada dalam masjid dengan syarat-syarat tertentu dengan niat semata-mata beribadah untuk Allah SWT. Iktikaf adalah saat untuk lebih mendekatkan diri pada Allah SWT dengan melakukan pelbagai ibadah.
Antara isu yang sering dibahaskan adalah bagaimana wanita yang haid boleh beramal dalam 10 terakhir Ramadan seterusnya mencari malam al-qadr. Sebabnya, wanita begini tidak boleh solat dan puasa.
Ulama berbeza pandangan sama ada wanita yang haid boleh membaca al-Quran atau tidak. Ada yang mengharamkan dan ada yang mengharuskan.
Bagaimanapun, membaca al-Quran dalam bentuk zikir atau doa tidaklah dilarang ke atas wanita yang haid. Contohnya, membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah dan membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran.
Justeru, bagi wanita yang haid disarankan melakukan perkara-perkara berikut:
Banyakkan Sedekah
Amalan sedekah mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT.
Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah dalam Ramadan dengan kadar yang termampu waima hanya RM1 setiap malam.
Banyakkan doa dan zikir
Bagi wanita yang haid, dianjurkan membaca doa-doa dan juga zikir-zikir dalam Ramadan. Antaranya seperti yang dianjurkan kepada Aisyah r.a: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi SAW: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau Maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku.’’
Memberi makan orang berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan berbuka puasa. Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” (Riwayat Al-Tirmidzi)
Dalam zaman yang serba canggih ini, amat mudah untuk bersedekah walaupun tanpa bertemu secara fizikal. Boleh sahaja kita membeli secara dalam talian dan dihantar ke rumah saudara mara atau jiran tetangga untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Memetik Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan: Amalan Wanita Haid di bulan Ramadan, kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.’’ (Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.” (al-An’am: 160)










