Kuasa huruf besar - Utusan Malaysia

Kuasa huruf besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak sekolah rendah, malah sejak tadika, kita diajar membezakan antara tulisan huruf besar dan huruf kecil. Sedikit demi sedikit, kita dibimbing tentang hukum bahasa dan perihal syarat-syarat dalam penggunaan huruf besar dan huruf kecil.

Sekiranya direnung kembali, apa-apa yang kita pelajari sejak sekolah rendah menjadi pegangan dan amalan sehingga sekarang. Kita secara spontan tahu bila perlu menggunakan huruf besar dan bila pula huruf kecil dibenarkan.

Bagi kanak-kanak yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), mereka akan belajar bahawa ada hukum bahasa yang sedikit berbeza antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris dengan bahasa Tamil dan Mandarin (Cina).

Tulisan Tamil (serta bahasa-bahasa India lain) dan Cina (serta Jepun, Korea dan sebagainya) tidak memiliki hukum huruf kecil dan besar. Begitu juga apabila kita menulis menggunakan tulisan Jawi atau Arab. Namun begitu, bahasa kebangsaan negara kita dirumikan sepenuhnya susulan usul yang diluluskan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada 1956 tanpa meminggirkan tulisan Jawi yang terus dimartabatkan sehingga kini.

Rata-rata masyarakat pelbagai kaum, agama, latar belakang dan pendidikan tahu perkara asas mengenai hukum berkaitan penggunaan huruf besar dan huruf kecil dalam penulisan bahasa kebangsaan (selain bahasa Inggeris). Sama ada disedari atau tidak, kita dibimbing tentang ‘kuasa’ yang dimiliki huruf besar.

Hukum paling asas dan paling mudah adalah memulakan ayat dengan huruf besar. Selepas itu, guru dengan penuh dedikasi mengajar kita tentang hukum kata nama am dan kata nama khas. Kita mula tahu huruf besar digunakan apabila melibatkan kata nama khas.

Saya percaya, kita dapat membayangkan pengalaman membuat latihan semasa sekolah rendah. Pada waktu itu, kita mungkin mengambil mudah tetapi kini kita sedar betapa huruf besar ada ‘kuasa’ menyampaikan maksud khusus dalam penulisan. Sama ada penulisan ilmiah, esei dan rencana atau sekadar komunikasi menerusi surat, e-mel dan WhatsApp, huruf besar ada kuasa tertentu.

Secara mudah, kata nama am digunakan apabila merujuk kepada benda, perkara atau konsep yang bersifat umum. Kalau merujuk buku tatabahasa, tentu akan ditemui pembahagian dan huraian yang lebih terperinci. Namun, secara umum, kata nama am ditulis menggunakan huruf kecil kecuali jika memulakan ayat.

Dalam budaya berkomunikasi, aspek kesopanan berbahasa juga penting. Sekiranya kita gagal mematuhi hukum huruf besar dan huruf kecil, boleh sahaja dianggap biadab.

Maka kita perlu membudayakan amalan menghormati penggunaan huruf besar bagi kata nama khas.

Sekadar contoh mudah, ‘batang berjuntai’ dan ‘Batang Berjuntai’ tentu membawa makna dan konotasi yang amat berbeza. Begitu juga dengan nama orang iaitu ‘Abu Bakar’ yang perlu dibezakan dengan ‘abu bakar.’

Contoh lain ialah ‘Zaitun’ iaitu suatu jenama produk yang amat popular pada masa lalu. Apabila ditulis ‘zaitun’ maka merujuk kepada sejenis tumbuhan yang buahnya dibuat minyak. Tentulah juga ‘Kancil’ (kereta) dan ‘kancil’ (binatang) berbeza, walaupun Sang Kancil dikenali sebagai nama khas bagi watak binatang dalam cerita rakyat.

Sudah semakin jelas penggunaan huruf besar dan huruf kecil yang mungkin kita pandang ringan khususnya dalam kiriman mesej dan penulisan di media sosial, sebenarnya mampu memberi impak besar dari sudut keberkesanan komunikasi.

Negeri Perak pada suatu masa dahulu kaya dengan hasil bijih timah, bukannya perak. Perhatikan perbezaan antara ‘Perak’ dan ‘perak.’ Begitu juga jika kita merujuk makna ‘Melayu’ dan ‘melayu’ dalam kamus. Kesilapan huruf besar dan kecil boleh mengundang sengketa.

Dalam arena politik pula, kita biasa dengan nama Bersatu yang merupakan singkatan lazim bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Tentu sahaja ada beza antara ‘Bersatu’ sebagai kata nama khas yang ditulis dengan huruf besar dan ‘bersatu’ sebagai kata nama am.

Contoh lain untuk membantu pemahaman ialah ‘Gerakan’ yang sudah biasa kita gunakan apabila merujuk kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Sekali lagi, ada perbezaan yang nyata antara kata nama khas ‘Gerakan’ dengan kata nama am ‘gerakan.’

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diperkenalkan sebaik sahaja Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan Inggeris pada 1957. Ejaan lama ‘Agong’ terus dikekalkan walaupun sistem ejaan baharu (1972) menggantikan O dengan U.

Apabila mahu merujuk kepada ketua negara yang dihormati itu, kita secara automatik menulis ‘Agong’ dengan huruf besar. Kita tidak sesekali mempersoalkan atau mempertikai adakah ia nama am atau nama khas. Kita juga tidak menulis ‘mesyuarat agong’ apabila mengadakan mesyuarat agung. Kata ‘Agong’ digunakan khusus bagi ketua negara.

Walaupun Agong merupakan ketua agama Islam, penganut semua agama di Malaysia menumpukan taat setia kepada baginda. Maka, setiap orang pasti menulis ‘Agong’ dengan huruf besar dalam semua urusan.

Begitulah juga halnya dengan kata ‘Tuhan’ yang digunakan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Prinsip pertama Rukun Negara menyentuh tentang kepercayaan kepada Tuhan. Lagu Negaraku pula menyebut tentang ‘rahmat bahagia Tuhan kurniakan.’

Kita sebagai rakyat Malaysia menyedari kuasa huruf besar. Sama ada ‘Agong’ atau ‘Tuhan,’ kita sentiasa menggunakan huruf besar tanpa mengira kaum, agama, latar budayawan dan ideologi politik.

PENULIS ialah Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN