Kita ada 3 juta penagih dadah? - Utusan Malaysia

Kita ada 3 juta penagih dadah?

Hampir setiap hari kita didedahkan dengan laporan rampasan dan tangkapan kes-kes dadah di seluruh negara. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramalan setiap keluarga di negara ini bakal mempunyai seorang yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah menjelang 2029 cukup membimbangkan. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kajian Institut Keselamatan Awam (IPSOM) bersama Universiti Teknologi Malaysia mendapati, dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara bakal merekodkan seramai 2.5 juta penagih. Justeru, semua pihak perlu memandang serius ancaman najis dadah ini sekali gus perangi habis-habisan agar ia tidak menghancurkan rakyat dan negara kelak.

Gejala penyalahgunaan dadah yang semakin serius dilaporkan berlaku secara berkumpulan dengan nisbah penagih dadah dalam komuniti kini adalah 1:7 orang yang bermaksud jumlah sebenar penagih sudah lebih tiga juta. Unjuran ancaman dadah ini adalah berdasarkan situasi semasa yang dipenuhi lambakan bahan terlarang diseludup masuk selain dadah yang dihasilkan oleh sindiket tempatan. Ironinya, hampir setiap hari kita didedahkan dengan laporan rampasan dan tangkapan di seluruh negara yang jelas kelihatan tidak akan berakhir begitu mudah.

Dalam hal ini, kita dapat melihat komitmen dan kesungguhan JSJN apabila sebanyak 41,150 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM3.5 bilion berjaya dirampas dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 hingga Mac lalu. Pada masa sama, tahun lalu, JSJN juga berjaya menumpaskan 305 sindiket manakala untuk tahun ini sebanyak 89 sindiket.

Ini wajar diiktiraf sebagai satu kejayaan besar tatkala JSJN berhadapan dengan masalah kekurangan anggota untuk memperhebatkan lagi operasi.

Secara umumnya, walaupun dadah bukan masalah baharu di negara kita dan juga pelbagai langkah pencegahan diambil selama ini, namun rampasan dan tangkapan yang semakin bertambah menunjukkan masalah dadah masih tidak dapat ditangani sepenuhnya. Ternyata sindiket dadah semakin licik sehingga mampu mengaburi mata semua orang.

INOVASI

Misalnya, para pengedar melakukan ‘inovasi’ dengan menggunakan segala kemahiran dan kreativiti yang ada untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan bahan terlarang ini di mana penjualan pelbagai jenis dadah yang dijadikan produk-produk makanan tertentu dilihat mampu mengelirukan semua pihak. Tidak cukup dengan itu, strategi pemasaran dan kaedah pengedaran atau penjualan juga dilihat semakin canggih dan menggunakan teknologi terkini. Ini termasuklah menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Wechat secara meluas untuk membuat promosi dan menjalankan urusan jual beli secara dalam talian.

Persekitaran seperti ini semakin menyukarkan kerja pihak berkuasa untuk memerangi dadah. Mana mungkin kita dapat memantau dan mengenal pasti segala urus niaga dan operasi yang dilakukan dalam media sosial. Namun, kita tetap perlu melakukan sesuatu secara serius supaya dapat membanteras pengedaran dadah di negara ini sekali gus memerangi dadah habis-habisan. Dalam konteks ini, semua pihak perlu memainkan peranan supaya dapat sama-sama berganding bahu kerana tugas membanteras najis dadah tidak boleh disandarkan pada pihak berkuasa semata-mata.

Misalnya, masyarakat di pelbagai peringkat perlu turut melibatkan diri. Saya berpandangan, masyarakat boleh memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Antaranya, kita mohon setiap organisasi baik kerajaan mahupun swasta melaksanakan program memerangi dadah secara serius, berkala dan konsisten di organisasi masing-masing bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan warga kerja tentang bahaya najis dadah. Ia sama seperti apa yang biasa dilakukan di sekolah setiap tahun dengan mengadakan program antidadah secara konsisten bagi menyedarkan anak-anak kita.

FELDA

Perkara sama juga wajar dilaksanakan di peringkat kampung dan taman perumahan serta di kawasan Felda di seluruh negara. Anggota masyarakat baik di bandar mahupun luar bandar perlu memandang serius ancaman dadah ini. Pemimpin masyarakat seperti ketua kampung, pengerusi persatuan penduduk serta jawatan kuasa Rukun Tetangga wajar memikul tanggungjawab untuk mengadakan program pencegahan di samping memastikan ahli tidak terlibat dengan dadah. Golongan belia terutamanya perlu diberi perhatian yang khusus supaya mereka tidak mudah terjebak dengan najis dadah.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif dengan sentiasa mengingatkan anak-anak dan anggota keluarga tentang bahaya dan kesan najis dadah.

Hal ini penting kerana segala-galanya bermula dari rumah. Tiada gunanya kita melaksanakan pelbagai program kesedaran di luar tetapi di rumah sendiri ada masalah sehingga bukan sahaja anak-anak malah ibu bapa turut terjebak dalam pelbagai masalah sosial termasuk najis dadah. Ini bukan sahaja akan merosakkan masa depan anak-anak tetapi turut akan menghancurkan masa depan negara dan keseluruhan institusi kekeluargaan di negara kita.

Dadah boleh menjadi ibu segala masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat dan negara kita. Masyarakat perlu sedar, dadah bukan ‘ubat’ yang mampu menyelesaikan semua masalah yang kita hadapi. Justeru, kita harap semua pihak akan memainkan secara aktif di peringkat masing-masing bagi memastikan najis dadah ini dapat diperangi habis-habisan. Dadah masih musuh nombor satu negara. Jom! Perangi dadah habis-habisan.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN