Hala tuju PH selepas Ketetapan PD? - Utusan Malaysia

Hala tuju PH selepas Ketetapan PD?

Apa yang lebih mustahak buat Pakatan Harapan (PH) adalah menolak pandangan politik lama dalam gabungan sendiri. – FACEBOOK PH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tarikh 9 Mei meru­pakan hari penting buat politik negara selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan sekali gus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) sebagai parti kerajaan selama enam dekad.

Namun, Malaysia Baharu yang diidamkan musnah selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintah dengan cara yang didakwa tidak berintegriti.

Ramai yang memper­soalkan, apakah hala tuju PH selepas semua ini berlaku? Ada sesetengah pihak merasakan PH sudah hilang fokus dalam menyusun perpaduan dan gerak kerja. PH masih kelihatan longgar apabila pendirian mereka seperti hilang taring dan tidak menjentik sanubari rakyat sepenuhnya meskipun PN telah menunjukkan prestasi buruk di Putrajaya.

Pada 9 April lalu, setelah selesai pemukiman PH di Port Dickson, mereka membuat Ketetapan Port Dickson yang menyatakan komitmen untuk menempuh pilihan raya akan datang di bawah sebuah ‘khemah besar’ secara bersama.

Ketetapan ini sekurang-kurangnya dapat meredakan kebimbangan rakyat akan masa depan PH yang penuh dengan tanda tanya selepas Langkah Sheraton. Selain itu. PH bersetuju mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan individu yang bertanggungjawab mengemudi PH dalam pilihan raya akan datang.

Persoalannya, apakah hala tuju PH selepas Ketetapan Port Dickson?

TIGA FOKUS UTAMA

Ada tiga fokus utama PH yang perlu dilakukan segera selepas Ketetapan Port Dickson. Pertama, calon perdana menteri perlu membina pasukan, bukan individu semata-mata. Meskipun calon perdana menteri itu penting, tetapi rakyat kini lebih mengutamakan pasukan yang menyokong kepimpinan perdana menteri untuk menerajui negara. Hakikatnya, dalam demokrasi berparlimen Westminster, kekuatan perdana menteri terletak kepada kekuatan barisan Kabinetnya dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Justeru, amat wajar PH mengangkat nama-nama seperti Dr. Dzulkefly Ahmad, Yeo Bee Yin dan Saifuddin Nasution yang telah menunjukkan prestasi baik semasa menerajui Putrajaya. Pendekatan ini lebih berkesan untuk membina keyakinan rakyat melihat PH bersedia menerajui Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

Kedua, PH perlu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan pendekatan yang realistik dan berpandukan prestasi. Secara asasnya, PH perlu menang lebih 100 kerusi Parlimen di Semenanjung untuk membentuk Kerajaan Persekutuan berbanding 98 kerusi pada PRU-14. Rundingan kerusi antara parti PH perlu pendekatan saksama dan kemampuan parti memenangkan kawasan tersebut berbanding status quo atas kapasiti parti asal.

Kerusi-kerusi yang dibawa lari oleh bekas wakil rakyat PH ke PN perlu dirunding secara terbuka dengan semua parti PH dengan meletakkan calon dan parti yang mampu memenangkan kerusi tersebut. Kaedah-kaedah ini akan memberi penanda aras penting buat rakyat melihat iltizam politik PH yang berani berubah dalam rundingan agihan kerusi berdasarkan fakta dan prestasi, bukan parti semata-mata.

Ketiga, penting juga buat PH merangka dasar ekonomi yang dipersetujui bersama. PH harus menggunakan penga­laman mentadbir sebaiknya dalam menawarkan dasar yang lebih realistik dan bukan sekadar baik di atas kertas.

Pengumuman sembilan jawatankuasa oleh PH pada 9 Mei lalu untuk meneliti dan menyediakan dasar adalah satu langkah yang positif. Cuma, sejauh manakah semua jawatankuasa ini akan memberi impak yang besar kepada imej PH? Sejauh manakah ia mampu memberi tawaran terbaik buat rakyat?

Penyelarasan dasar ini akan menunjukkan sisi positif PH menawarkan idea yang mampu mengatasi cabaran dihadapi rakyat dan negara. Sikap ketagihan membuat manifesto yang tebal-tebal tetapi tidak dibaca dan difahami oleh rakyat secara menyeluruh perlu dilupakan PH.

Fokus kepada mempromosi dasar-dasar penting seperti peluang pekerjaan, pendapatan setimpal, tawaran pendidikan terbaik, kesihatan untuk semua dan pembangunan negara pascapandemik Covid-19 dengan menggunakan pelbagai platform untuk berinteraksi bersama rakyat lebih berkesan untuk PH.

JANGAN IKUT RENTAK LAWAN

Apa yang lebih mustahak buat PH adalah menolak pandangan politik lama dalam gabungan sendiri. PKR tidak seharusnya cuba menjadi ‘abang besar’ untuk menggantikan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hanya berkhidmat untuk orang Melayu. DAP tidak boleh dilihat sebagai parti menggantikan MCA, MIC dan Gerakan. Parti Amanah Negara (Amanah) pula tidak seharusnya bercita-cita menggantikan Pas.

Penting PH kembali kepada pangkuan rakyat, mendakap dan merasai denyut nadi rakyat yang sebenar. Amat rugi sekiranya PH masih tidak ke hadapan dalam memperjuangkan nasib rakyat ketika ini.

PH perlu bersedia masuk gelanggang PRU-15 sebagai kerajaan menunggu (government in waiting). Seluruh pemimpin PH harus mempunyai pemikiran inklusif dan berjiwa besar untuk menerima perubahan politik yang begitu mencabar kali ini.

Tiada jalan mudah buat PH untuk kembali ke Putrajaya. Tetapi jika PH berani berubah dan mengambil pendekatan yang lebih berkesan demi meyakinkan rakyat, maka usaha mendapatkan mandat rakyat bertambah cerah.

Semoga Ketetapan Port Dickson ini membuka jalan PH mendapat semula mandat rakyat pada PRU-15 untuk meneruskan agenda perubahan yang belum dilunaskan sepenuhnya.

PENULIS ialah Koordinator Penyelidik di Research For Social Advancement (REFSA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN