Sambil negara menyambut Hari Guru baru-baru ini, sewajarnya kita mengimbau kembali apa yang dialami oleh ramai warga pendidik pada tahun lalu.
Ramai guru pasti bersetuju bahawa memang berat memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik pada 2020. Kami terkapai-kapai menyempurnakan tugas, dibelenggu pelbagai persoalan dan perasaan bimbang. Bagaimana untuk mengadakan kelas secara maya? Bagaimana dengan pelajar yang tiada capaian internet?
Bagaimana jika sekolah membuat keputusan untuk tidak dibuka lagi?
Kami mungkin tidak mempunyai segala maklumat, tetapi kami sentiasa sanggup melakukan apa sahaja untuk menyesuaikan diri dan memberi inspirasi kepada pelajar di bilik darjah. Jika anda salah seorang daripada guru yang menghadapi cabaran dalam realiti baharu yang sukar diterima ketika itu, rencana ini untuk anda.
Menjadi pendidik dalam suasana pandemik
Bagi diri saya, salah satu cabaran paling besar ialah membahagikan masa antara mengajar, berhubung dengan pelajar, tugas pentadbiran dan menjaga diri sendiri. Bagi sesetengah guru, mereka juga perlu menjaga anak kecil masing-masing di rumah.
Memenuhi keperluan pelajar, keluarga dan rakan, sambil menjadi guru dalam suasana pandemik ternyata memerlukan usaha yang sungguh luar biasa. Hakikatnya, langkah menjaga kesejahteraan diri sendiri adalah amat penting lebih-lebih lagi untuk menjadi seorang pendidik yang berkesan. Saya perlu belajar untuk mengawal emosi dan menjaga kesihatan mental sebelum saya boleh mempelajari cara menjaga pelajar dan guru lain.
Keadaan ini juga membuatkan saya sedar betapa pentingnya peranan kami sebagai pendidik untuk menyediakan peralatan yang sesuai dan sokongan berterusan kepada pelajar yang turut menghadapi tahun luar biasa ini. Di kemuncak pandemik tahun lepas, ramai pelajar menghadapi masalah pembelajaran dalam talian kerana sambungan internet kurang baik dan ketiadaan peranti elektronik. Malah, lebih satu pertiga atau 36.7 peratus daripada pelajar di negara ini langsung tiada capaian kepada peralatan elektronik, manakala yang lain tidak dapat hadir ke kelas kerana perlu membantu keluarga mencari nafkah semasa pandemik.
Kesannya ialah mereka rasa tertekan, kurang bersemangat, keseorangan dan buntu. Sebagai pekerja barisan hadapan dalam sistem pendidikan, guru merasakan mereka perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan pelajar dengan bersikap prihatin sebagai individu dan insan dan bukan hanya sebagai pelajar. Akhirnya, ini akan membantu mendorong dan menarik minat pelajar dalam mata pelajaran yang diajar, tanpa mengira kaedah pengajaran.
Walaupun saya sendiri mengalami masalah untuk beralih kepada struktur pendidikan baharu, saya juga mendapati pendidikan ialah komunikasi dua hala di mana guru juga merupakan pelajar yang perlu belajar. Mempelajari cara baharu untuk berhubung dengan pelajar dan mendalami semula sesuatu topik menerusi pelbagai bahan pengajaran sebenarnya membuka hati dan minda golongan pendidik dan pada masa sama, mereka menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab dan kegembiraan.
Saya juga amat kagum dengan kesediaan guru-guru senior belajar mengguna pakai teknologi semasa mengajar kerana pandemik membuka peluang kepada warga pendidik dan pelajar untuk meningkatkan kemahiran teknologi maklumat (IT) masing-masing.
Bagaimana memastikan pembelajaran untuk masa depan?
Menyediakan pendidikan yang sedia untuk masa depan bermula dengan diri kita sendiri. Sebagai masyarakat yang semakin maju, kita perlu mengubah ketetapan minda terhadap pendidikan dan memainkan peranan untuk memberi lebih penekanan kepada kemahiran hidup. Sejak dari mula lagi, pendidik dilihat sebagai tonggak untuk membina generasi yang bingkas dan perkasa. Murid datang ke sekolah kerana ia merupakan tempat yang selamat bagi mereka untuk belajar, membuat kesilapan dan mula sekali lagi.
Dalam dunia pandemik hari ini, sesungguhnya guru perlu menyokong dan mendorong satu sama lain dan bekerjasama menggabungkan sumber dan kepakaran untuk menambah baik pengalaman pelajar dalam proses pembelajaran berasaskan projek. Dengan cara ini, pelajar boleh menyesuaikan diri bagi menghadapi dugaan dan lebih berupaya untuk terus mencari jalan penyelesaian bagi sebarang kerumitan atau krisis yang dihadapi sama ada semasa menyiapkan latihan kerja sekolah atau mencari jalan untuk berhubung kembali dengan guru dan rakan sekelas.
Ini juga meringankan beban kita sebagai pendidik yang sentiasa bimbang dan terkesan oleh perubahan pantas yang berlaku akibat pandemik.
Apabila kita berbicara tentang usaha menyesuaikan pendidikan agar sedia untuk masa depan, kita tidak boleh mengabaikan keperluan yang semakin meningkat dari segi bantuan teknologi di sekolah-sekolah. Ini bermakna capaian kepada peranti fizikal, sambungan internet dan pengetahuan tentang cara penggunaannya. Apabila pandemik melanda, pelajar yang tiada peranti untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian tertinggal di belakang. Malah ada yang tidak dapat mengikuti kelas sepanjang tempoh pengajian. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan mereka dari segi perkembangan akademik tetapi juga mental.
Dengan bantuan teknologi, guru boleh mengajar murid bagaimana untuk mencari ilmu sambil memanfaatkan teknologi semasa yang boleh digunakan. Pada hari ini, maklumat sahih, kajian penyelidikan dan bahan pembelajaran boleh didapati secara meluas dan mudah menerusi pencarian Google.
Meneruskan perjalanan bersama-sama
Masa yang saya luangkan sebagai guru sekolah menengah berlalu dengan amat pantas.
Ada pepatah Inggeris berkata, ‘dunia memerlukan lebih banyak guru,’ dan saya bertekad untuk bersama-sama rakan-rakan seperjuangan lain untuk terus mengajar.
PENULIS ialah bekas guru sains yang ditaja oleh syarikat 3M di bawah program Teach For Malaysia Fellowship pada 2019. Beliau juga pernah mengajar di sebuah sekolah di Selangor selama dua tahun.










