Bukan setakat A,B,C - Utusan Malaysia

Bukan setakat A,B,C

KERAJAAN diminta membuat penilaian akhir sebelum sekolah dibuka pada 3 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei, saya sering mengetengahkan pantun yang sudah tersohor ini:

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Kandungan pantun ini antara lain berkait rapat dengan sumbangan guru, kepentingan ilmu dan persepsi kita terhadap golongan pendidik. Ilmu jika tidak dicari, dipelajari dan dihayati sesungguh hati, tidak akan sampai ke mana-mana. Ajaran guru dalam pelbagai aspek jika tidak diberi perhatian, tidak akan membawa seseorang ke mana-mana. Itulah antara sumbangan besar guru kepada pelajar. Peranan pelajar pula ialah menghargai sumbangan guru yang memandu arah tuju mereka memperoleh kejayaan.

Tahun ini, sambutan Hari Guru bertemakan Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu seolah-olah sepi sehingga ada yang tidak menyedari ketibaan tarikh tersebut. Situasi tersebut bukan hanya kerana Hari Raya Aidilfitri yang kebetulan sama dengan Hari Guru tetapi oleh sebab kali ini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan cuti sekolah, sambutannya tidak dilakukan seperti biasa.

Seperti juga tahun-tahun lepas, ini merupakan kali kedua sambutan Hari Guru berada dalam situasi yang berbeza kerana tidak ada acara-acara menarik untuk guru mahupun daripada guru untuk pelajar. Tidak ada nyanyian lagu Hari Guru di atas pentas, deklamasi puisi daripada pelajar memuji guru juga tidak kedengaran dan pelbagai acara lain hanya diadakan melalui video ataupun interaksinya dilakukan menerusi Google Meet.

COVID-19

Apapun situasinya, guru tetap guru. Peranan guru tetap sama walaupun kaedah pembelajaran dan pengajaran berbeza seperti lazimnya. Walaupun guru lebih banyak berada di rumah, janganlah kita menganggap tugas mereka sebagai guru terhenti di situ sahaja kerana pertalian mereka dengan pelajar dan sekolah tetap berterusan.

Bermula tahun lepas, iaitu sejak 18 Mac, sesi persekolahan terbantut beberapa kali kerana pandemik Covid-19. Pelbagai kaedah dilakukan oleh guru untuk terus mendidik anak-anak murid mereka terutamanya pembelajaran dan pengajaran dalam talian.

Walaupun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan 3 dibatalkan tahun lepas, termasuk pada tahun ini, tidak bermakna tugas guru menjadi lebih ringan. Usaha menaikkan imej pendidikan dan memastikan anak-anak murid mendapat pendidikan yang sempurna terus dilakukan dengan melakukan pelbagai penambahbaikan terutama masalah menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Tidak semua pelajar mendapat akses internet terutama di kawasan pedalaman termasuk kemudahan memiliki komputer seperti kebanyakan pelajar di bandar-bandar. Maka menjadi bebanan guru dan kementerian untuk memastikan pelajar-pelajar di pedalaman dan tidak mempunyai kemudahan itu dapat belajar seperti pelajar di kawasan bandar.

Pada tahun ini, sesi persekolahan secara bersemuka boleh dikatakan baharu sahaja bermula tetapi terpaksa dihentikan kerana pandemik Covid-19 menunjukkan peningkatan kes. Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diadakan 10 hari selepas cuti hari raya. Ini bermakna proses menerapkan ilmu kepada pelajar tetap berlangsung walaupun dalam keadaan yang tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka akan diadakan semula pertengahan Jun nanti dan sudah tentu semua ini bergantung kepada keadaan.

NEGATIF

Tugas guru yang sangat mencabar perlu difahami oleh semua pihak apatah lagi pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Guru bukan hanya mengajar mengenal 1, 2, 3 dan seterusnya ataupun A, B, C sehingga habis tetapi apa yang penting, pelbagai ilmu diterapkan dengan segala macam pengetahuan dan pengalaman agar anak-anak didik mereka menjadi insan yang mampu ke tepi dan ke tengah dalam pelbagai hal positif dan menolak hal-hal negatif.

Jasa guru bukanlah sedikit. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling mestilah memahami bahawa dengan adanya guru, negara mampu mengorak langkah menjadi negara maju, cemerlang dan terbilang. Maka menjadi tanggungjawab pelajar mengingati jasa guru mereka, mengucapkan terima kasih atas sumbangan guru kepada mereka.

Tidak kira sama ada pelajar itu berjaya atau tidak, sumbangan guru mesti dihargai. Rasa hormat kepada guru dan ilmu yang diberikan sebagai memandu arah dan masa depan tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Doakanlah kesejahteraan hidup mereka di mana sahaja mereka berada dan sedekahkanlah al-Fatihah kepada guru-guru yang sudah pergi menghadap Ilahi.

Ilmu guru mewangi setiap masa. Lantas saya teringat sekolah saya di Kodiang, Kedah di mana terdapat sepohon pokok bunga cempaka di belakang kantin. Salah seorang guru saya pernah mengulas di dalam kelas tentang bunga cempaka itu ketika sambutan Hari Guru.

Ketika itu kami masih di bangku sekolah rendah dan tidak faham sangat kepentingan ilmu. Tetapi apabila sudah menanjak usia begini, saya dan rakan-rakan lain tentu semakin memahami kepentingan ilmu dan guru. Saya menulis sebuah puisi bertajuk Cempaka dan Ilmu Oktober 1992 dan diterbitkan dalam sebuah akhbar. Antara lain berbunyi:

Seorang guru kita berkata: “Wangi cempaka ini samalah dengan ilmu, ia akan harum sepanjang musim.”

Penulis ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN