Pada 7 Mei lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, selepas lebih setahun berdepan Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional perlu terima hakikat bahawa mereka telah gagal memerangi pandemik ini.
Justeru, Zaid menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merombak semula Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada, supaya ahli-ahlinya yang baharu boleh menyusun strategi lebih berkesan bagi membanteras wabak ini.
Memandangkan ada negara di rantau ini yang ekonominya kurang maju berbanding Malaysia tetapi lebih berjaya menangani pandemik ini, ini jelas membuktikan Putrajaya sudah gagal, katanya lagi.
Zaid juga mahu MKN berterus-terang kepada rakyat mengenai jumlah dos vaksin yang dibeli, harga yang dibayar, serta isu sama ada negara ini sekarang punyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat. “Tidak guna kita ada iklan menggunakan selebriti menyeru rakyat mengambil suntikan vaksin kalau vaksin tidak cukup.”
Menggesa agar MKN bertindak secara ‘objektif dan saintifik,’ Zaid berkata, rakyat tidak faham kenapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membenarkan bazar Ramadan beroperasi, manakala restoran mamak ditutup.
ICU
Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sendiri mengakui unit rawatan rapi (ICU) hospital di seluruh negara kini sesak dan terlalu ramai bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Ada hospital mencatatkan kadar penggunaan katil ICU melebihi 90 peratus (satu tahap yang amat kritikal) yang menyebabkan sesetengah pesakit terpaksa diberikan bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa sahaja.
Beliau tidak menolak kemungkinan pada akhir Mei ini, angka jangkitan virus Covid-19 boleh mencecah 6,000 hingga 7,000 orang sekiranya kita gagal memutuskan rantaian jangkitan. Beliau juga memberi amaran, kini sudah ada varian virus Covid-19 yang lebih ‘ganas’ (berasal dari luar negara) di beberapa lokasi di negara kita.
Mengikut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, hampir kesemua pusat beli-belah di seluruh negara berisiko menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19. Fakta ini ditemui setelah kerajaan menganalisis data yang diperolehi di bawah sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang diperkenalkan baru-baru.
Tambah Khairy, perkongsian senarai lokasi ini diharap boleh membantu orang awam membuat perancangan perjalanan sebelum menuju ke sesebuah lokasi atau premis supaya dapat menghindari risiko jangkitan Covid-19.
Terdahulu, pada 5 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui tidak mustahil jangkitan kes Covid-19 boleh mencecah 10,000 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipatuhi rakyat.
“Kalau kita gagal menyekat penularan ini dan orang awam terus gagal mematuhi SOP, kes boleh jadi 10,000 sehari dan kita mungkin jadi macam India. Kita tidak mahu rakyat mati bergelimpangan di tepi jalan,” tambahnya.
Mengenai isu larangan makan di restoran di kawasan PKP, Ismail Sabri berkata, ia dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM). “Jika kita pergi ke pasar raya, walaupun ada yang tidak menjaga penjarakan fizikal, kita masih ada satu lagi perlindungan, iaitu memakai pelitup muka. Tetapi ketika berada di restoran, selain tiada penjarakan, pengunjung tidak memakai pelitup muka sewaktu makan, dan ini memungkinkan transmisi secara langsung. Sebab itulah apabila ada pihak meminta supaya dibenarkan makan di restoran, ia sukar dipertimbangkan oleh KKM,” jelasnya.
PERANG
Angka jangkitan sudah menurun seawal tahun lalu (sekitar April 2020). Noor Hisham pernah berkata, “‘perang Covid-19’ ini tidak akan berakhir selagi kita belum temui vaksin dan andainya vaksin nanti ditemui, kita masih lagi perlu masa sekurang-kurangnya 18 bulan sebelum kita boleh ‘menang’ menewaskannya.”
Tarikh April 2020 itu amat signifikan kerana pada ketika itulah angka jangkitan Covid-19 sudah dapat kita turunkan. Pada ketika itulah Noor Hisham memberitahu wartawan yang menghadiri taklimatnya, “kita belum menang, tapi kita juga belum kalah.”
Sambil mengesahkan angka jangkitan telah menurun, beliau masih lagi mahu angka itu terus menurun sehingga satu digit. Nampaknya harapan itu kini belum kesampaian. Sebaliknya pada 31 Januari lalu, jumlah jangkitan Covid-19 mencecah 5,728 kes.
Pada Sabtu lalu, jangkitan baharu yang direkod oleh KKM adalah 4.519 kes, manakala keseluruhan adalah 436,944 kes. Jumlah sembuh 398,723 kes, manakala kes ICU adalah 393 dan jumlah kematian hingga kini 1,657.
Yang amat mendukacitakan, nampaknya orang awam kini tidak lagi peduli dengan jangkitan Covid-19.
Jika kita sudah tidak bersemangat lagi menentang musuh dan mengalahkan mereka, lebih baik serah diri sahaja dan tunggu mati. Pastinya itu bukan suatu penghujung yang kita mahu.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










