Apa kena masyarakat kita? - Utusan Malaysia

Apa kena masyarakat kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU ikut perancangan seperti yang disusun pada 1998, tahun lepas, 2020 Malaysia sudah mencapai taraf negara maju. Walaupun daripada segi fizikal wawasan itu tidak mampu dicapai sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya minda rakyat Malaysia sekarang ini sudah bertaraf negara maju.
Sebabnya, sejak daripada awal Wawasan 2020 dilancarkan, pelbagai persediaan dibuat untuk memastikan apabila tahun 2020 sampai, Malaysia bukan sahaja maju daripada segi fizikal tetapi juga mental.
Maka sepatutnya, jika yang fizikal itu tidak terdaya untuk dicapai, mentaliti kita sepatutnya sudah jauh ke depan, bertaraf tamadun tinggi, mampu bertindak secara wajar dan mampu berfikir untuk maju ke depan menampilkan masyarakat yang dihormati yang mampu keluar daripada persekitaran dunia ketiga.
Apabila bersetuju untuk memastikan negara kita maju semestinya ia perlu disertai keinginan untuk melaksanakan perubahan. Walaupun kita gagal memperoleh kejayaan dalam bentuk fizikal, tetapi sekurangnya kita mencapainya melalui sikap, amalan dan tabiat dalam kehidupan seharian.
Untuk menjadikan sesebuah pekan, bandar, daerah, negeri malah negara itu lebih baik tidak semestinya perlu hadir bersama dengan fizikal yang hebat.
Sebaliknya, sikap masyarakat itu lebih penting dalam mengukur kemajuan sesebuah negara. Ini kerana perubahan minda itu merupakan prasyarat utama jika mahu merubah sesebuah wilayah atau negara.
Mentaliti dunia ketiga jelas dalam masyarakat kita ketika semua pihak bertungkus lumus untuk memerangi wabak Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua. Sikap tidak kisah, tidak ambil peduli dan suka ambil mudah menyebabkan pandemik itu yang sudah pun berada pada para 1,000 pada Februari lalu, kini kembali hampir mencecah 4,000 kes sehari.
Ketika sebelum Ramadan, kerajaan tidak bercadang untuk membuka bazar Ramadan dan Aidilfitri, namun, semua orang merayu supaya ia kembali diadakan selepas tahun lepas langsung tidak dibenarkan. Pelbagai alasan diberikan termasuk untuk mencari rezeki dan sebagainya. Malah semua pihak berjanji akan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pada hari pertama Ramadan bazar-bazar di seluruh negara diserbu seperti mahu lepas geram, SOP semua ke laut, hanya segelintir yang mematuhi. Pembeli mahupun peniaga, dua-dua sama naik, adakalanya mengabaikan SOP terutama penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Walaupun amaran, saman dan denda telah dikenakan, keadaan tetap tidak berubah hingga berlaku jangkitan kes Covid-19 ini di tapak-tapak bazar yang menjejaskan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.
Akibatnya, 22 bazar Ramadan termasuk yang terbesar, Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Kuala Lumpur terpaksa ditutup. Kemungkinan hampir 5,000 peniaga terjejas ekoran dengan penutupan itu. Tetapi apa lagi yang boleh dibuat? Daripada membiarkan bazar-bazar Ramadan ini muncul sebagai kluster maut adalah lebih baik ia ditutup sementara atau ditutup terus bagi mengelakkan kemudaratan.
Dengan kes Covid-19 yang terus menunjukkan paten peningkatan sudah tentu ia turut menjejaskan sambutan Hari Raya tahun ini. Maknanya, ini tahun kedua berturut-turut masyarakat Islam di negara ini terpaksa beraya hanya di rumah. Tidak boleh rentas negeri untuk balik kampung, malah di sesetengah tempat mahu rentas daerah pun tidak boleh.
Itu faedah yang perlu dibayar apabila masyarakat kita bersikap terlalu ambil mudah dan tidak peduli dengan peraturan dan SOP yang ditetapkan. Ini semua berlaku kerana mentaliti kita masih tidak maju dan masih dibelenggu dengan mentaliti dunia ketiga.

Rogol jadi
bahan jenaka
Sepatutnya, apabila negara berhadapan dengan krisis kesihatan seperti ini, kita secara automatik berfikir untuk sama-sama bertindak melakukan apa sahaja yang boleh memutuskan rantaian penularan wabak tersebut. Tetapi itu tidak berlaku kerana kita semua bersikap mementingkan diri sendiri.
Disebabkan majoriti kita masih lagi dibelenggu mentaliti dunia ketiga maka tidak hairanlah munculnya idea dan kenyataan yang pelik-pelik tanpa memikirkan sensitiviti pihak lain dan tanpa mengira ia wajar atau tidak.
Sebab itu, seorang guru boleh membuat lawak tentang hal yang berkaitan dengan rogol kerana dibelenggu pemikiran jumud dan jahil. Hanya orang yang mempunyai pemikiran jahiliah sahaja yang sanggup menjadikan jenayah rogol sebagai bahan jenaka dalam bilik darjah tanpa memikirkan kesannya kepada sesetengah pihak.
Begitu juga dengan pihak pentadbir sekolah yang tidak bertindak terhadap aduan pelajar terbabit dan pihak polis yang mengatakan itu hanyalah satu jenaka. Bolehkah jenayah dijenakakan?
Jika di negara Barat atau negara-negara Asia yang lebih maju sudah tentu tindakan telah diambil terhadap pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan seperti ini. Tetapi di Malaysia ia adalah satu jenaka.
Semua orang ketawa dan bertepuk tangan. Malah, mangsa pula dipersalahkan kerana didakwa membesar-besarkan isu ini.
Inilah yang menjadi punca kepada kejadian salah lalu seksual dan sumbang mahram berleluasa dalam masyarakat kita. Semua pihak ambil muda dan bersikap tidak kisah dan tidak apa.
Inilah yang dikatakan mentaliti jumud. Inilah keajaiban di Malaysia. Mentaliti ini dicerminkan melalui sikap kita terhadap keadilan sivil dan penghormatan terhadap martabat semua orang tanpa mengira bangsa, jantina dan agama.
Tidak tahu apa yang tidak kena dengan masyarakat kita. Di sebalik pelbagai pembangunan fizikal yang telah dicapai, mentaliti kita sebenarnya masih jauh ketinggalan dan hanya setaraf dengan negara-negara dunia ketiga lain atau mungkin jauh lebih mundur.
Maka tidak hairanlah jika SOP Covid-19 tidak diendahkan malah ada yang melanggarnya sesuka hati, selain tidak sensitif dengan hal-hal yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Sesebuah negara itu tidak akan maju jika minda rakyatnya masih di takuk lama. – Mingguan Malaysia

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×