Wanita, dadah, lacur bukan lagi tabu? - Utusan Malaysia

Wanita, dadah, lacur bukan lagi tabu?

Anak-anak kepada seorang penagih dadah yang ditemui Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah menjadi lumrah, penyalahgunaan dadah dan pelacuran seperti tidak boleh dipisahkan. Banyak kajian mendapati, kedua-duanya mempunyai hubung kait sangat rapat. Dalam kalangan pekerja seks, bahan terlarang itu digunakan sebagai satu bentuk kawalan oleh bapa atau ibu ayam ke atas pergerakan mereka. Atau memang digunakan sebagai gaya hidup mereka.

Pelacuran dan penagihan dadah dalam kalangan wanita ketika ini dilihat sudah menjadi masalah moral yang semakin melarat dalam komuniti. Bandar raya Alor Setar tidak ketinggalan dalam berdepan gejala ini.

Menurut Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar, Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid, pihaknya pernah mengendalikan kes sedemikian di bandar ini yang dianggap sangat serius. Serius kerana persekitaran yang tidak selamat ini turut melibatkan institusi kekeluargaan. Lebih-lebih lagi apabila wanita berkenaan merupakan ibu tunggal atau isteri yang menjadikan aktiviti pelacuran sebagai sumber bagi mendapatkan dadah. Perbuatan tidak bermoral itu sanggup diilakukan semata-mata untuk dadah.

Katanya, lebih 30 kes yang pernah dikendalikan pihaknya membabitkan wanita berusia 20-an dan 30-an terdiri daripada ibu tunggal, remaja malah suri rumah yang sanggup melacur semata-mata untuk mendapatkan bekalan dadah. Kelicikan tokan-tokan dadah mencari dan mempergunakan wanita yang terdesak tersebut hingga mereka terus tunduk dan bergelumang dengan penagihan dan pelacuran.

Realiti yang lebih membimbangkan MCPF apabila keruntuhan institusi kekeluargaan itu sekali gus menjerumuskan generasi muda ke kancah penagihan yang sama. Nasib anak-anak kepada wanita-wanita berkenaan yang bukan sahaja terbiar, malah turut terjebak dengan penagihan dadah pada usia serapuh 11 tahun.

Tentu sahaja kita harus menyedari bahawa wanita adalah srikandi dalam institusi keluarga malah tiang seri dalam rumahtangga. Andai wanita jadi rapuh, maka rosaklah institusi itu kerana dengan siapa anak-anak kecil tersebut mahu bergantung harap lagi?

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan Polis Diraja Malaysia yang juga Exco MCPF, Wan Su Haron memberitahu, sebagai penyelaras, pihaknya sering menemui remaja yang terjebak dengan penagihan dadah kerana mengikut jejak ibu bapa mereka. Terdapat kes di mana tujuh beradik menjadi penagih dadah berikutan ibu bapa mereka juga merupakan penagih. Ini sebahagian daripada cerita benar yang tumbuh daripada akar keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan.

Bagaimana cara untuk mengatasi permasalahan ini yang pastinya bukan mudah? Tiada cara lain yang lebih berkesan selain memperbaiki institusi keluarga itu sendiri.

Mungkin kita harus sedar, menghukum wanita yang terjebak dengan pelacuran dan penagihan dadah dengan menghantar mereka ke penjara atau pusat pemulihan bukan satu-satunya langkah terbaik untuk memastikan anak-anak mereka tidak terabai.

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, hak penjagaan boleh hilang sekiranya terbukti ibu bapa tidak berkemampuan menjaga anak mereka sama ada dari segi cara penjagaan (pengabaian) atau emosi yang tidak stabil.

Jika dikuatkuasakan ke atas keluarga ini, hakikatnya terpisahlah mereka daripada keluarga. Jadi, syor untuk mewujudkan sebuah pusat pemulihan dan rawatan bagi wanita yang terjebak dengan masalah ini termasuk yang hamil anak tidak sah taraf itu wajar dipercepatkan. Lagipun, berbanding negeri-negeri lain, Kedah masih ketinggalan dalam menyediakan kemudahan sebegini.

Memulih dan merawat wanita yang bermasalah berkenaan tanpa memisahkan mereka dengan anak masing-masing akan menjadi penawar terbaik sekurang-kurangnya naluri keibuan yang masih ada di hati mereka mampu juga menjadi semangat untuk berubah.

Usaha ini perlu disegerakan dengan masalah tersebut yang semakin bertambah setiap masa dengan mendahulukan perbincangan bahawa isu wanita yang terlibat dengan penagihan dan pelacuran ini bukan lagi sesuatu yang tabu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN