Ramadan, sepurnama keistimewaan diberikan Allah SWT kepada setiap Muslim yang tekun mengabdikan diri kepada Sang Pencipta. Dijanjikan ketakwaan dan keampunan bagi mereka yang ikhlas mengharungi kepayahan melaksanakan ibadah rohaniah dan jasadiah ini. Bulan terbaik untuk melakukan refleksi memahami hakikat pengabdian seorang hamba.
Terkenang saya akan salah satu sesi refleksi bersama ayahanda. Lebih suku abad lalu, beliau mengemukakan empat soalan keramat: Siapa aku? Dari mana aku? Di mana aku? Ke mana aku? Lima jawapan untuk setiap soalan mesti diberikan walaupun tiada rubrik, markah, jangka waktu menjawab mahupun maklum balas. Namun, dua syarat dikenakan, berkatalah benar pada diri sendiri dan berkatalah benar sekali pun pahit. Syarat kedua merupakan hadis sahih riwayat Imam Ibn Hibban (361).
Pada awalnya saya beranggapan tuntutan itu sebagai satu bentuk ujian. Namun, setelah ditakdirkan membina kehidupan di kota metropolitan Kuala Lumpur, saat tiada pilihan kecuali berdikari mendepani dunia serba baharu dan mencabar, saya sedar ia sebenarnya merupakan proses tarbiah dalam mempersiap diri menghadapi dunia yang serba asing dan sukar. Empat soalan yang kelihatan mudah, sebenarnya menuntut keikhlasan dan nilai integriti diri yang sangat tinggi dalam memberikan jawapan.
SIAPA AKU?
Mengenali siapakah diri kita adalah satu tuntutan kehidupan yang sangat penting. Kefahaman tentang hakikat keberadaan kita di dunia yang sementara serta hakikat kebesaran Sang Pencipta dengan melihat penciptaan diri yang serba kerdil, namun istimewa akan membuka ruang jawapan kepada tiga soalan yang lain.
Dalam konteks kehidupan seharian, persoalan ‘siapa aku?’ akan mengundang pelbagai jawapan. Bergantung kepada konteks kehidupan dan sudut pandang individu. Jika dilihat hanya dari sudut pandang peribadi, mungkin pilihan jawapannya terhad berbanding jika dia kita menilainya dari perspektif keberadaan diri dalam sebuah kehidupan bermasyarakat. Jika kemas susunannya dan diletakkan dalam konteks yang betul, soalan ringkas ini pasti mampu menjadi asas dan sandaran yang kuat dalam memimpin diri kita untuk memahami pelbagai isu serta cabaran. Misalnya, isu kesihatan mental yang semakin meruncing, kecelaruan identiti dan jantina yang semakin terbuka dan berleluasa hatta kesalahan-kesalahan integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.
Suka untuk dikongsikan di sini salah satu jawapan yang diberikan kepada ayah ialah ‘aku seorang penuntut ilmu.’ Dua sandaran naqli saya diberikan. Pertama, wahyu yang mula-mula diturunkan kepada Muhammad SAW ialah iqra yakni bacalah.
Tuntutan asas untuk kita mengenali Allah dan eksplorasi ilmu yang pelbagai. Betapa luasnya ilmu Allah itu digambarkan dengan jelas dalam surah Al-Kahfi:109, ertinya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, pasti akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahkan lagi dengan selautan yang sebanding dengannya.”
Kedua ialah hadis riwayat Ibnu Majjah yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin.”
Dek keluasan ilmu yang ada dan kewajipan yang disabdakan, maka sewajarnya peranan sebagai penuntut ilmu tidak akan pernah terhenti. Ia tanggungjawab sepanjang hayat. Lebih-lebih lagi jika kita menyedari kelebihan dan darjat yang tinggi dianugerahkan kepada golongan berilmu berbanding yang tidak berilmu (Al-Zumar:9)
Dalam memenuhi peranan ‘aku sebagai penuntut ilmu,’ pesanan bijak pandai Melayu wajar kita pegang. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk, semakin berilmu semakin merendah diri. Jangan terikut sifat lalang, makin lama makin tinggi, akarnya mencengkam bumi, meliuk lentuk menyakitkan hati.
AKU SEBAGAI PENUNTUT ILMU
Peranan ini tidak harus merujuk pada saat kita didaftarkan sebagai pelajar sebuah institusi pengajian semata-mata. Kesemua itu hanyalah sekadar bentuk dan format dalam zaman moden. Peranan sepanjang hayat ini perlu digalas walau dalam apa jua kapasiti atau tugas hakiki semasa. Apatah lagi jika kita bergelar siswa universiti, gelaran ini tidak datang secara percuma. Ia hadir dengan tanggungjawab bukan hanya memenuhi tuntutan akademik, malah sebagai duta institusi tersebut.
Bukankah adat dan adab seorang penuntut ilmu itu seharusnya merendah diri dan tinggi sifat hormat jua toleransi? Bijak membawa diri dan membuat pilihan. Memberi keutamaan kepada kebaikan bersama lebih daripada kehendak sendiri. Dan bukankah sebagai penuntut ilmu kita ini sedang berjihad, yang pastinya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit? Tidakkah kita mahu tergolong dalam kalangan ahli jihad yang dijanjikan syurga yang menjadi matlamat akhir, memenuhi maksud kehidupan (maqasid) kita selaku seorang Muslim lagi Mukmin?
Hari ini kita turut dituntut berjihad dalam ‘perang’ melawan halimunan Covid-19 yang masih tiada tanda akan reda. Kita tiada pilihan kecuali bertahan dengan segala kekuatan fizikal, emosi dan yang lebih utama, mental. Walaupun dalam perang, sebagai penuntut ilmu, kita harus mencari hikmah di sebalik segala kesukaran, bukan bingit dengan tohmah atau sarat dengan rungutan apatah lagi ketidakpuasan hati serta helah yang berulang-ulang.
Sebagai penuntut dan warga sebuah pusat ilmu yang bercita-cita memimpin langkah ke hadapan, memahami peranan dan tanggungjawab adalah prasyarat mencapai kejayaan dan kesejahteraan. Ingatlah pesan Rasulullah SAW bahawa orang Mukmin itu umpama sebuah binaan, saling melengkapi dan menguatkan (hadis riwayat al-Bukhari). Tanyakan diri kita, sebagai penuntut ilmu, apakah kita mahu menjadi si pembina atau sang pemusnah? Ayuh gunakan kesempatan Ramadan ini untuk mencari sejahtera mengenali diri sendiri . Jangan biarkan ia sekadar satu lagi Ramadan yang datang dan pergi tanpa meninggalkan kesan dalam diri dan jiwa.
Penulis ialah Pengarah Pusat Debat & Oratori Dunia (IWON), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










