Hidup dalam dunia tanpa sempadan mendedahkan kita kepada pelbagai cabaran termasuk gejala fitnah. Sememangnya fitnah bukanlah perkara baharu, namun kini penyebarannya lebih cepat dan meluas. Kemajuan teknologi maklumat menjadikan segalanya berada di hujung jari. Hasil ledakan maklumat bermakna fitnah boleh tersebar dalam hanya sekelip mata.
Fitnah bukan sahaja boleh menghancurkan kehidupan mangsa, malah boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan dalam sesetengah keadaan, ia boleh menjejaskan keamanan negara. Contohnya, satu berita palsu yang disebarkan untuk mengadudombakan dan memecah-belahkan hubungan masyarakat boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan bersengketa sesama sendiri.
Sebagai manusia, sering kali kita mudah percaya dan seronok mendengar berita negatif tentang pihak yang kurang kita senangi. Apalagi kalau ia adalah berita panas, maka ramai yang gatal tangan dan gatal mulut untuk terus menyebarkannya tanpa memikirkan sama ada berita itu betul atau tidak.
Arwah ayah selalu mengingatkan kami supaya sentiasa mengamalkan sikap tabayyun. Jangan terlalu mudah percaya apabila menerima berita panas tetapi selidik dahulu kebenarannya. Jangan sesekali pula menyebarkan berita tidak sahih hanya untuk mendapatkan perhatian dan sukaan (like) di Facebook, takut nanti kita pula menjadi penyambung fitnah.
Antara fitnah yang benar-benar menyedarkan saya ialah kisah Prebet Adam mengamuk di Jalan Chow Kit pada 1987. Jika pada zaman di mana rakyat tidak mempunyai akses kepada internet dan media sosial, satu fitnah besar boleh tersebar sedemikian rupa, bayangkan apa yang terjadi jika ia berlaku pada hari ini.
Selama kira-kira 30 tahun, orang ramai disogokkan dengan berita palsu bahawa Prebet Adam mengamuk kerana adiknya yang menjadi kedi mati dipukul dengan kayu golf selepas ketawa apabila bola seorang pemain golf tidak memasuki lubang.
Malangnya ramai yang tidak mengambil pengajaran daripada kisah ini. Malah fitnah semakin berleluasa menyebabkan kita kadang kala boleh terpedaya.
Banyak kali saya menerima mesej melalui WhatsApp yang akhirnya didapati berita palsu. Saya sendiri sering keliru kerana kadang kala amat sukar untuk membezakan antara berita benar dan palsu.
Lebih parah lagi apabila berita palsu yang disebarkan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa seperti yang telah berlaku di India. Lima orang dibunuh oleh orang awam akibat percayakan khabar angin yang tersebar melalui WhatsApp mendakwa mereka telah menculik seorang budak. Akhirnya, terbukti bahawa ia hanyalah berita palsu.
Perangi fitnah dan elakkan diri daripada menyambung fitnah. Amalkan sikap tabayyun dan manfaatkan kemajuan teknologi untuk tujuan yang baik.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










