Sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerajaan mula melonggarkan pelbagai sekatan yang dikenakan sebelum ini sebagai inisiatif pemulihan ekonomi. Ironinya, kelonggaran ini perlu disambut rakyat dengan komitmen dan tanggungjawab untuk terus mengamalkan norma baharu secara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Secara umumnya, segala kelonggaran yang diberikan bukanlah lesen untuk kita tinggalkan norma baharu serta abaikan SOP, sebaliknya masyarakat perlu membuktikan mampu menjaga diri dan membudayakan norma baharu. Pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta penjagaan kesihatan dan kebersihan diri perlu terus menjadi budaya yang kekal dalam diri masing-masing.
Jujurnya, kita risau masyarakat akan mula leka dan alpa untuk mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu bila kerajaan memberikan pelbagai kelonggaran. Memasuki April dan Mei ini, cabaran lebih memuncak kerana kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Kebenaran mengadakan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri menuntut komitmen tinggi seluruh rakyat. Baik peniaga mahupun pengguna perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengamalkan norma baharu sepanjang operasi kedua-dua bazar ini.
BUFET
Masyarakat juga perlu memberi perhatian serius kepada pematuhan SOP dan amalan norma baharu dalam majlis berbuka puasa dan moreh. Menurut pakar virologi, tradisi berkongsi dulang makanan, mengunjungi premis yang menyediakan bufet berbuka puasa boleh menjadi punca penularan dan jangkitan virus. Umumnya, jangkitan boleh berlaku apabila beberapa individu berada dalam jarak yang dekat.
Pembukaan semua sektor ekonomi dan kebenaran pekerja hadir ke pejabat secara sepenuhnya juga perlu disambut dengan komitmen dan tanggungjawab besar.
Walaupun majikan lega kerana dapat beroperasi dengan jumlah pekerja yang optimum sekali gus meningkatkan produktiviti, namun perlu dibalas dengan polisi pematuhan SOP yang tegas dan ketat.
Pada dasarnya, pelbagai kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa adalah demi manfaat semua pihak. Namun, masyarakat perlu sedar, kelonggaran itu hadir dengan tanggungjawab yang besar. Kelekaan dalam hal ini akan mengundang risiko penularan wabak yang lebih serius dan boleh menyebabkan kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Secara prinsipnya, walaupun ada program imunisasi serta sudah memperoleh suntikan vaksin, kita tetap tidak boleh lari daripada pembudayaan norma baharu dalam kehidupan seharian. Teruskanlah amalan norma baharu dan ingat, tanggungjawab kini terletak pada bahu kita sendiri.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










