Percutian yang menyeramkan - Utusan Malaysia

Percutian yang menyeramkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cerita ini berlaku lima tahun lalu. Ketika itu aku bersama keluarga pergi bercuti di kawasan peranginan pantai Port Dickson. Sebenarnya aku bukanlah berminat sangat hendak pergi, tetapi disebabkan suamiku dapat voucher penginapan percuma di majlis makan malam pejabatnya tempoh hari, aku ikutkan sahaja. Lagipun dari membazir tidak digunakan baiklah kami pergi. Sekurang-kurangnya dapatlah luangkan masa bersama keluarga. Lokasi pun bukannya jauh sangat dari rumah kami di Kuala Lumpur.
Sebaik sahaja sampai di lokasi apartment tempat kami menginap, aku berasa tidak sedap hati. Suasana di situ terasa begitu menyeramkan, seolah ada sesuatu tidak kena.
Persekitarannya langsung tidak terurus. Beberapa lot kedai di bahagian bawah kelihatan kosong tanpa penyewa.
Bangunannya juga kelihatan usang dan suram. Aku jeling di kawasan berhampiran parkir. Tanah terbiar bersebelahannya dipenuhi lalang dan semak samun. Kolam renang pula nampak tidak terjaga. Airnya keruh dan kepingan jubinnya juga banyak sudah tertanggal dan retak seperti tidak diselenggara dengan baik.
Tempat tersebut cukup sunyi seolah tiada penghuni lain yang datang kecuali kami. Sebaik melangkah masuk ke bilik, lain pula keadaannya. Bau udara cukup tidak menyenangkan. Karpet dan langsir nampak lusuh dan kusam. Begitu juga dengan kelengapan di bilik mandi seperti tuala dan sebagainya.
Awal-awal lagi mood aku dah ‘potong’.
Lokasi ini memang berbeza dengan lokasi yang pernah aku pergi sebelum ini. Rasa macam ada yang tidak kena, namun demi menjaga hati suami aku cuba berlakon dan buat seolah tiada apa-apa berlaku.
Petang itu selepas Asar kami ambil keputusan mandi laut sahaja. Hampir tiga jam juga kami habiskan masa di pantai. Hampir masuk waktu Maghrib barulah kami naik ke bilik.
Sebaik ingin masuk ke bilik, tiba-tiba aku perasan suamiku seakan tertinjau-tinjau ke arah tangga kecemasan bersebelahan bilik kami. Aku tanya kenapa, katanya seperti ada orang di situ.
“Ingatkan ada orang tadi, tapi kucing rupanya. Dah jom masuk, hari dah gelap ni..” katanya sambil mendukung anakku Aryan yang berusia empat tahun.
Sebaik masuk, suami lantas mengunci pintu. Aku lihat wajahnya lain dari kebiasaan. Seolah macam ada sesuatu yang disembunyikan.
Aku tinjau ke luar tingkap. Hari sudah bertukar gelap. Sebaik selesai mandi dan keluar dari tandas, tiba-tiba suamiku beritahu agar kemaskan barang.
Aku pelik dan tanya kenapa, katanya dia dah tukar fikiran dan ingin bermalam di rumah pakciknya yang terletak tidak jauh dari situ.
Aku tidak membantah. Sedang sibuk mengemas pakaian ke dalam beg, tiba-tiba anakku berdiri tegak sambil matanya memandang tepat ke arah tandas yang pintunya terbuka luas.
Sesekali dia bercakap sambil menggerakkan tangan seolah-olah sedang bersembang dengan seseorang.
Aku seperti ingin mengetahui apa yang ada di dalam tandas lantas bangun, namun ditegah oleh suamiku.
“Alah, tak ada apa-apa pun.. air di paip je yang terbuka tu. Dah, awak kemaskan barang cepat,” kata suami sambil menutup suis penghawa dingin.
Sebaik kami ingin melangkah keluar, tiba-tiba anakku berkata…
“Mama Iyan tak nak balik. Iyan nak main kat sini. Kat sini ada kawan…” katanya.
Berderau darahku dan suami ketika mendengar setiap patah perkataaan yang keluar dari mulutnya. Walaupun pertuturannya pelat, namun kami faham apa yang dicakapkan. Cepat-cepat aku tarik tangannya menuju ke arah lif.
Ketika aku dan suami sibuk masukkan beg ke dalam bonet kenderaan, sekali lagi aku perasan.
Anakku tercegat berdiri sambil matanya merenung ke arah laluan masuk ke apartment tersebut. Namun kali ini dia tidak seceria tadi. Jelas kelihatan mukanya pucat dan takut.
Sebaik kereta yang kami naiki beredar meninggalkan kawasan tersebut, barulah suamiku membuka mulut. Katanya sebaik melangkah masuk petang tadi dia sudah rasa ada kelainan.
Dia beritahu sewaktu di tangga tadi dia ternampak sosok seorang wanita berambut panjang dan berpakaian serba putih duduk di situ, tetapi bila dia intai terus hilang.
Selain itu katanya, ketika berada di pantai petang tadi dia secara tidak sengaja tertoleh ke arah apartment mereka, waktu itulah dia terkejut kerana ternampak seorang wanita dan seorang budak perempuan berdiri di balkoni.
Aku beristighfar beberapa kali. Waktu itu aku memang tidak dapat menyembunyikan rasa takutku lagi. Nasib baiklah suamiku membuat keputusan tepat untuk tidak bermalam di situ.
Sedang otak masih memikirkan kejadian tersebut, tiba-tiba anakku menyampuk dari tempat duduk di belakang.
“Mama masa dalam bilik tu budak perempuan itu panggil Iyan. Dia ajak Iyan main dalam bilik air dengan dia,”
“Tapi masa kita nak balik tu dia marah kat Iyan. Dia ikut sampai dekat kereta. Tapi muka dia dah seram mama. Mata dia dah tukar warna merah,” kata Aryan petah.
Aku dan suami beristighfar panjang. Terus aku angkat Aryan duduk di hadapan bersamaku. Suami lantas memasang ayat-ayat suci al-Quran di dalam kereta.
Sebaik sampai di rumah pakcik suamiku, kami mandi dan menceritakan apa yang berlaku.
Kata pakcik apartment yang kami tinggal itu memang ‘keras’. Sudah banyak cerita yang kurang enak berlaku di situ. Sehinggakan ada pengunjung yang kena rasuk dan tidak sedarkan diri.
Malam itu aku langsung tidak boleh melelapkan mata. Walaupun rasa bersyukur tidak menginap di situ, namun rasa takut dan seram itu tetap masih menghantuiku, tambah pula bila setiap kali melihat gelagat anakku yang ada ketikanya tertinjau-tinjau sambil bercakap ke arah sesuatu yang kami tidak tahu. Percutian kali ini cukup menyeramkan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN