Tanggal 12 April 2021 adalah tarikh sambutan ulang tahun ke-60 bagi meraikan penerbangan pertama manusia ke angkasa lepas. Enam dekad lalu, kapal angkasa lepas Vostok-1 dilancarkan dari Pelantar Lapangan Angkasa Baikonur bersama angkasawan pertama di dunia, Yuri Gagarin pada pukul 9:07 pagi waktu Moscow. Peristiwa ini merupakan titik permulaan yang telah mengubah dunia. Hal ini kerana pencapaian Gagarin telah membuka era eksplorasi ruang angkasa oleh manusia. Ekplorasi ini membuktikan tiada perkara yang mustahil dan setiap impian boleh dikecapi.
Sedikit maklumat kepada para pembaca. Kita sedia maklum, dalam bahasa Inggeris, angkasawan adalah astronaut dan ia digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuk Malaysia. Namun, Rusia lebih selesa menggunakan istilah cosmonaut yang datang daripada perkataan cosmos atau dalam bahasa Melayu, kosmos. Kedua-dua istilah ini mempunyai maksud yang sama, namun cosmonaut yang jarang atau tidak pernah didengar oleh masyarakat kita boleh diketengahkan sebagai salah satu ilmu baharu.
Gagarin merupakan seorang juruterbang ujian dan juruteknik industri berusia 27 tahun adalah manusia pertama yang mengorbit planet. Kapsul angkasanya meraih pencapaian ini dalam masa 89 minit. Selain itu, Vostok-1 mengorbit bumi pada ketinggian maksimum 187 batu (140 kilometer) dan dipandu sepenuhnya oleh sistem kawalan automatik. Penerbangan Gagarin selama satu jam 48 minit di ruang angkasa boleh disifatkan dengan satu-satunya pernyataan iaitu, “Penerbangan berjalan seperti biasa. Saya sihat.” Ekspedisi ke angkasa ini membuka lembaran baharu terhadap usaha manusia ke angkasa lepas.
TUGU
Kejayaan Gagarin ke angkasa lepas menjadikannya terkenal di seluruh dunia. Sebagai penghargaan, beliau dianugerahkan Order of Lenin dan mendapat gelaran sebagai Pahlawan Kesatuan Soviet. Banyak tugu dibina dan jalan-jalan ditukar kepada namanya sebagai satu bentuk penghargaan yang tertinggi.
Fakta-fakta lain tentang angkasawan Rusia termasuklah Valentina Tereshkova yang merupakan wanita pertama dan termuda di dunia ke angkasa lepas. Wanita yang berasal dari Bolshoye Maslennikovo, Kesatuan Soviet ini terpilih mengendalikan ekspedisi solo bersama kapal angkasa Vostok 6 pada 19 Jun 1963, seawal usia 26 tahun. Valentina dan seorang lagi angkasawan, Anton Shkaplerov pernah mengunjungi Malaysia.
Program Angkasawan Negara kita juga bersandarkan kerjasama dengan Rusia. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menaiki Soyuz TMA-11. Kejayaan ini merupakan kebanggaan negara dan menjadi pemangkin kepada usaha Malaysia dalam menerokai angkasa lepas. Salah satu usaha seperti dicadangkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin pada 2019 ialah pembukaan Universiti Aeroangkasa di Malaysia.
Sebagai menghormati ulang tahun ke-60 penerbangan ruang angkasa pertama, satu portal dalam talian, Angkasa Rusia, ini baharu permulaan. Projek ini merupakan usaha bersama Perbadanan Angkasa Negara (Roscosmos), Agensi Pelancongan Persekutuan (Rostourism) dan organisasi-organisasi lain.
ARKIB DIGITAL
Portal yang bakal dilancarkan ini merupakan sebahagian daripada rancangan persiapan sambutan ulang tahun ke-60 penerbangan angkasa Gagarin pada 2020 dan 2021.
Objektif projek ini ialah untuk membentuk sebuah arkib digital yang mengandungi maklumat-maklumat tentang perjalanan angkasawan-angkasawan Soviet dan Rusia ke luar negara atau dalam Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR). Ini kerana setelah penerbangan pertama Gagarin pada 1961, ramai angkasawan mengunjungi organisasi-organisasi di USSR dan seluruh dunia. Maka segala gambar dan video seperti mesyuarat dan acara awam yang dijalankan oleh mereka disimpan di kilang dan arkib.
Malangnya waktu itu, bahan-bahan tersebut hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu. Oleh itu, projek ini merupakan satu usaha dalam memudahkan usaha pencarian dan pembelajaran tentang angkasawan-angkasawan menerusi saluran internet. Anda juga boleh menghantar bahan-bahan ke pautan gagarinstart.ru/russianspace/. Namun, pemilihan bahan akan diselaraskan oleh jawatankuasa penganjur.
Kalau kita perhatikan juga, kini banyak negara yang sudah mula memfokuskan usaha ke arah menerokai dunia angkasa lepas. Oleh itu, kita berharap Malaysia juga bakal menuruti jejak yang sama.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










