Lelaki berkuasa, wanita dikuasai? - Utusan Malaysia

Lelaki berkuasa, wanita dikuasai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Allah SWT berfirman dalam surah Adz-Dzariyat (51) ayat 49 yang bermaksud: “Dan, segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah).” Penciptaan makhluk Allah secara berpasangan ini adalah supaya ia saling melengkapi antara satu sama lain.

Begitu juga dengan manusia. Hawa melengkapkan Adam. Lelaki pasangannya perempuan. Suami pasangannya isteri. Ibu pasangannya bapa. Yang satu melengkapkan yang satu lagi. Kehidupan tidak akan sempurna tanpa pasangannya dan kesempurnaan itulah yang menggerakkan kita untuk melaksanakan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan sebaik mungkin.

Dalam Islam, hubungan antara lelaki dan perempuan tidak dilihat dari sudut kuasa, yakni siapa yang berkuasa dan siapa yang dikuasai. Sebaliknya, kedua-dua jantina ini saling melengkapi dari segi peranannya dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing di muka bumi ini.

Dengan tujuan mencungkil potensi peranan saling melengkapi antara lelaki dan perempuan dalam memakmurkan negara, baik dalam ruang lingkup keluarga, tempat kerja, mahupun masyarakat, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan Muzakarah Pakar dengan tema Peranan Saling Melengkapi Antara Lelaki dan Wanita Menatijahkan Kemakmuran secara dalam talian pada 9 April lalu.

Dalam ucapannya, Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menyentuh tiga perkara iaitu konsep peranan saling melengkapi antara lelaki dan wanita dalam Islam, kedudukan lelaki dan wanita dari perspektif peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Keluarga Islam dan potensi peranan saling melengkapi antara lelaki dan wanita dalam meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

PIAGAM

Bagi membantu dan menyokong kaum lelaki dan wanita dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing yang saling melengkapi itu, di hujung ucapannya, Tun Ahmad Sarji mencadangkan mewujudkan Piagam Keharmonian Keluarga yang berfungsi untuk memandu pasangan suami-isteri dalam melayari bahtera rumah tangga mereka.

Cadangan ini mendapat sambutan baik daripada semua pembentang dan pengulas muzakarah tersebut. Selain bersetuju dengan cadangan ini, mereka juga memberikan input tambahan untuk memantapkannya.

Pembentang pertama, Dr. Khalif Muammar berpendapat, Piagam Keharmonian Keluarga wajar menjadi panduan untuk membina keluarga yang aman dan harmoni, seterusnya menatijahkan kemakmuran yang dihasratkan. Sehubungan itu, menurut beliau, piagam ini perlu memberi penegasan mengenai nilai-nilai keluarga yang utama.

Antaranya kerjasama antara suami dan isteri dalam menjayakan keluarga; persefahaman walaupun wujud perbezaan antara kedua-duanya; perbezaan itu perlu dihormati dan diraikan; amalan prinsip-prinsip agama seperti kebenaran, keadilan, musyawarah, budaya ilmu dan kemuliaan insan dalam kehidupan rumah tangga; dan penghayatan adab serta akhlak Islam dalam kehidupan.

Pembentang kedua, Profesor Dr. Najibah Mohd. Zin melihat piagam ini dari sudut berbeza. Selain menjadi panduan keluarga, beliau berpendapat, Piagam Keharmonian Keluarga wajar dijadikan rujukan oleh majikan, pembuat dasar dan penggubal undang-undang agar segala dasar dan undang-undang yang digubal, baik di peringkat organisasi, kementerian, mahupun negara supaya dasar dan undang-undang menyokong kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai ahli keluarga, warga kerja dan ahli masyarakat.

WALI

Pengulas ketiga, Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berharap Piagam Keharmonian Keluarga dirangka bagi menepati maqasid untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Beliau berharap piagam ini dibina dengan mengutamakan prinsip hak dan tanggungjawab yang adil dan saksama untuk setiap ahli keluarga. Beliau juga mahu piagam ini mampu mengembalikan fungsi wali (ketua keluarga) dalam sesebuah rumah tangga sebagai objektif utama. Ini kerana pemerkasaan wali (ketua keluarga) perlu menjadi agenda kebangsaan yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

Muzakarah Pakar yang berlangsung selama dua jam itu mengetengahkan konsep peranan saling melengkapi antara lelaki dan wanita dalam Islam yang berbeza dengan apa yang difahami oleh Barat. Barat sering kali melihat hubungan lelaki dan wanita dari sudut kuasa – lelaki menguasai dan wanita dikuasai. Begitu juga mereka melihat yang berkuasa (lelaki) akan menindas yang lemah (wanita) lalu mereka percaya satu-satunya langkah ke hadapan ialah kesetaraan gender. Sebaliknya, Islam menekankan kepada keadilan gender. Bak kata Khalif (pembentang pertama), menyamakan dua perkara yang berbeza ialah satu kezaliman. Begitu juga membezakan dua perkara yang sama.

Dari aspek undang-undang, masih ada yang boleh diperbaiki untuk memastikan lelaki dan wanita ini disokong sewajarnya oleh dasar dan undang-undang dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka yang saling melengkapi itu.

Di tempat kerja pula, selain dasar dan undang-undang yang seimbang untuk lelaki dan perempuan, bagi melancarkan peranan saling melengkapi ini ke arah peningkatan produktiviti, undang-undang berkaitan gangguan seksual juga perlu ada untuk memastikan wujudnya saling hormat antara lelaki dan wanita agar sama-sama dapat fokus kepada matlamat organisasi.

Pada akhirnya, sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini, lelaki dan wanita ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang saling melengkapi dalam memakmurkan alam ini. Perbezaan fitrah antara kedua-duanya ialah kehendak Allah SWT yang perlu difahami dan diraikan sebagai tanda kebesaran-Nya.

PENULIS ialah Felow Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN