Pada 5 Januari lalu, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev menandatangani satu perintah bagi menyatakan 2021 sebagai Tahun Nizami Ganjavi di negara tersebut. Sambutan ke-880 penyair dan pemikir agung itu akan diraikan pada tahun ini. Namun, tahukah anda siapa Nizami Ganjavi? Saya yakin ramai yang tidak pernah mendengar atau mengenalinya sedangkan karya-karyanya begitu terkenal di seluruh dunia.
Sekilas tentang Nizami, beliau dilahirkan di kota Ganja, Azerbaijan pada 1141. Ganja merupakan salah satu pusat budaya kuno Azerbaijan dan ibu kota Atabey. Hasil karya beliau menjadi contoh kepada bidang sastera dan falsafah dunia. Nama Nizami selamanya diingati dalam dunia seni menerusi karya-karyanya iaitu Khamsa (lima puisi) – Khazanah Rahsia (1175), Khosrow dan Shirin (1180), Laila dan Majnun (1188), Tujuh Keindahan (1197) dan Iskander-Nameh (1203).
Karya-karya tersebut menjadi asas kuat untuk penubuhan sebuah sekolah sastera yang dipandang hebat dan berpengaruh sehingga ke hari ini. Karya-karya beliau yang memaparkan inovasi puitis unik dan bertema universal berjaya melepasi sempadan banyak negara.
Karyanya berjudul Laila dan Majnun dikenali di serata dunia. Secara literalnya, Laila dan Majnun bermaksud Laila dan lelaki gila. Ia merupakan sebuah kisah cinta klasik antara seorang lelaki bernama Qays ibn al-Mulawwah yang hidup di era empayar Bani Umaiyah pada abad ketujuh. Berdasarkan kisah ini, pemuda yang bernama Qays menjadi gila setelah ayahnya tidak membenarkannya menikahi gadis pujaan hatinya, Laila. Faktor inilah telah menyebabkan beliau menjadi gila dan digelar sebagai Majnun.
TANAH MELAYU
Namun, terdapat beberapa versi berbeza tentang jalan ceritanya. Apa yang lebih menarik dan perlu diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia adalah Laila Majnun merupakan filem Melayu pertama ditayangkan di Tanah Melayu pada 1933 dengan sinematografi hitam putih.
Nizami atau nama sebenarnya Abu Muhammad Ilyas ternyata tidak berpuas hati dengan bakat intelektualnya. Beliau menghabiskan masa hidupnya dengan menuntut ilmu dan menambahkan pengalamannya dengan syair yang puitis. Dua sikap hebat ini membolehkan beliau menyumbang kepada kajian ilmiah dan kefalsafahan dalam meneliti kebahagiaan hidup umat manusia. Puisi romantisnya sangat kompleks seperti mengungkapkan segala kerumitan jiwa manusia sementara jiwa manusia pula dipenuhi dengan kecintaan dan kesyukuran.
Karya-karya Nizami diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa selain manuskrip-manuskrip asalnya disimpan dan dilindungi bak mutiara yang sangat berharga di pelbagai perpustakaan, muzium dan yayasan sastera yang terletak di kota-kota besar seperti Moscow, St. Petersburg, Baku, Tashkent, Tabriz, Tehran, Kaherah, Istanbul, New Delhi, London dan Paris.
MAKAM
Penyair agung ini meninggal dunia pada 1209 di kota kelahirannya, Ganja. Bagi menghargai jasa-jasanya, sebuah makam besar dibina khas untuknya. Tugu-tugu Nizami juga didirikan di banyak bandar di Azerbaijan juga di Moscow, Rome, St. Petersburg, Kyiv, Beijing, Tashkent dan Chisinau.
Pada 30 september 2012, Pusat Antarabangsa Nizami Ganjavi ditubuhkan di Azerbaijan di bawah naungan lembaga antarabangsa merangkumi sejumlah tokoh antarabangsa yang sangat dihormati dan diiktiraf yang sanggup menawarkan masa dan pengalaman mereka bagi pembangunan organisasi dan gerak kerjanya. Misi utama mereka ialah mempromosi pendidikan, toleransi, dialog dan persefahaman di seluruh dunia. Mengikut rekod, organisasi ini telah menyertai lebih 25 program antarabangsa dan mempunyai lebih 100 ahli lembaga terdiri daripada bekas ketua negara dan kerajaan di seluruh dunia.
Sebenarnya terdapat begitu banyak penyair dan sasterawan agung di Azerbaijan seperti Nasimi dan Fuzuli yang tidak digali dengan mendalam di negara kita. Maka, saya merasakan inilah saatnya untuk kita bergerak lebih aktif dalam mengkaji pemikiran dan kerja-kerja penyair dan sasterawan di seluruh dunia kerana setiap daripada mereka mempunyai sumbangan tersendiri kepada pembangunan adab, budaya dan sastera.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










