Islam mekar di Ukraine - Utusan Malaysia

Islam mekar di Ukraine

Sekumpulan aktivis wanita Islam Ukraine mengedarkan bunga kepada orang ramai sempena sambutan Hari Hijab Dunia pada 1 Februarui lalu. – Gambar hiasan/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kosovo, Albania dan Bosnia-Herzegovina merupakan tiga negara di Eropah yang majoriti penduduknya beragama Islam. Selain itu, Perancis dan Jerman juga mencatatkan sejumlah minoriti Muslim terbesar di Eropah. Sekalipun Islam dan umatnya terus ditekan di beberapa negara di Eropah, namun ia masih tidak mampu menghalang syiar ajaran itu daripada terus berkembang mekar di benua tersebut.

Kali ini saya bawakan pembaca menerokai Islam di salah sebuah negara di Eropah Timur, iaitu Ukraine yang jarang atau mungkin sama sekali tidak pernah didedahkan kepada kita.

Islam merupakan agama tradisi yang wujud di Ukraine sejak abad kesembilan lagi. Hal ini turut diperkatakan oleh pengembara-pengembara Muslim terkenal seperti Al Granati, Ibn Fadlan dan Evliya Chelebi. Ketika pensejarahan baharu Ukraine dibentuk setelah seabad berada di bawah penaklukan rejim Kesatuan Soviet yang mempraktikkan polisi dan undang-undang agresif dan zalim, kini sejarahwan Ukraine mengungkapkan aspek baharu sejarah Ukraine dengan hubungannya bersama Islam dan orang Muslim.

“Islam adalah agama minoriti di Ukraine. Mengikut kepada anggaran, terdapat kira-kira sejuta umat Islam di Ukraine. Bahagian utama ialah Tatar Krimea yang mana lebih dari separuh adalah pewaris Kekhanatan Krimea (serpihan Golden Horde), yang terletak di semenanjung Krimea dan seluruh wilayah Laut Hitam utara. Kumpulan terbesar yang kedua ialah Tatar Volga, iaitu Muslim dari wilayah Volga-Ural di wilayah Rusia,” jelas Pegawai Perhubungan Awam, Pusat Kebudayaan Islam di Kyiv, Khalid Oleg Guzik ketika saya hubungi, baru-baru ini.

TRADISI

Menurut Khalid, terdapat beberapa lagi kumpulan Islam di Ukraine yang wujud seperti warga tempatan Ukraine diikuti Arab, Pakistan, Afghan, Uzbek dan Kaukasus.

Sementara itu, institusi utama yang mewakili umat Islam di Ukraine ialah Pentadbiran Agama Islam Ukraine atau disebut sebagai Umma, Direktorat Spiritual Muslim Krimea dan Direktorat Spiritual Muslim Ukraine.

“Umat Islam di Ukraine mempunyai tradisi kehidupan bersama selama berabad dan menjaga hubungan tetangga di Ukraine. Namun, kemusnahan dahsyat telah dilakukan oleh rejim Kesatuan Soviet dengan menghalau penduduk Muslim Krimea ke Asia Tengah dan Siberia. Setelah kejatuhan Kesatuan Soviet, warga Tatar Krimea kembali pulang ke tanah air mereka di Krimea. Setelah 30 tahun Ukraine merdeka, umat Islam kembali menghidupkan budaya, agama dan identiti mereka,” ujar Khalid.

Umat Islam serta wakilan agama lain memainkan peranan penting dalam memelihara maruah tanah air ketika penaklukan haram Rusia ke atas Krimea pada 2014.

“Mereka menganggap tindakan itu sebagai tugas agama dalam melindungi tanah air, keluarga dan harta benda. Selain itu, umat Islam di Ukraine juga mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan seperti memelihara alam sekitar dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

PEMBANGKANG

Terdapat beberapa nama tokoh Muslim Ukraine yang perlu diketahui selain menggali segala khazanah ilmu mereka yang tidak ternilai. Pertama, Ismail Gaspirali (1851-1914), merupakan intelektual Tatar Krimea, pendidik, penerbit, ahli politik yang menginspirasi gerakan pembaharuan di Asia Tengah. Kedua, Noman Chelebicihan (1885-1918), seorang ahli politik Tatar Krimea yang turut merupakan seorang peguam, mufti dan penulis. Muhammad Asad atau namanya sebelum Islam, Leopold Weiss, (1900-1992) pula ialah salah seorang Muslim Eropah asal Lviv, yang paling berpengaruh pada abad ke-20. Terjemahan al-Qurannya dalam bahasa Inggeris, Pesanan Quran merupakan salah satu karyanya yang terkenal.

Mustafa Dzhemilev pula ialah bekas pemimpin Majlis Tatar Krimea dan ahli Parlimen Ukraine sejak 1998. Beliau juga seorang pemimpin Gerakan Kebangsaan Tatar Krimea yang diiktiraf selain merupakan bekas pembangkang Soviet. Said Ismagilov, seorang ulama dan mufti ini dilihat sebagai pemimpin Muslim di Ukraine yang aktif. Yang terakhir, Mykhaylo Yakubovych merupakan sosok ulama Ukraine yang terkenal dan berjaya menghabiskan terjemahan penuh al-Quran ke dalam bahasa Ukraine serta mendapat kelulusan penerbitan Al-Quran King Fahd yang sangat mulia.

Sememangnya masih terdapat begitu banyak penerangan yang perlu dicatatkan tentang Islam di Ukraine. Pengkajian yang menyeluruh perlu dibuat supaya kita peka dengan isu semasa dan sentiasa mempertahankan maruah agama kita daripada terus dirobek.

Di Malaysia juga saya bertemu dengan beberapa warga Ukraine beragama Islam yang mempraktikkan ajaran suci itu dalam segenap aspek kehidupan mereka. Saya berharap suatu hari nanti kita dapat melihat hubungan antara umat Islam di Malaysia dan Ukraine terjalin sekali gus memenuhi saranan Islam untuk berkenalan di antara satu sama lain.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN