PEPATAH Melayu berbunyi:
Koyak-koyak ditampal,
Retak-retak dikimpal.
Penyokong berserta ahli parti-parti politik Melayu yang saya tidak pasti bilangannya sekarang, ada yang kata enam, tujuh, lapan parti – sudah pun retak soal perpaduannya.
Maka, mesti ada bahan pengimpalnya. Bahan pengimpal itulah syaratnya. Yang telah koyak itu perlu ditumbab atau ditampal segera dengan kain perca atau kain guntingan yang lain. Kain yang sedia ada pada pakaian yang koyak itu tidak boleh dijadikan penampalnya.
Sosek-sosek menyatakan jika pejuang-pejuang Melayu (dalam semua parti Melayu) enggan kembali bersama pucuk pimpinan dan parti induk, kehancuran Melayu akan pupus. Paling sinis adalah dakwaan pejuang-pejuang inilah yang menyebabkan ini semua. Masakan. Gertak sebegini harus diperiksa motifnya.
Hari ini, mana-mana parti politikpun tidak harus mendabik dada parti mereka lah yang menjadi penentu kepada ramuan atau resipi penguasaan itu. Lihat! dalam konteks parti-parti Melayu sekalipun digabungkan hanya berupaya mewakili 51 peratus dari suara sebenar. Yang 49 peratus lagi orang lain sudah empunya. Itu belum kita cakap lagi peratus yang pecahan kecil enam, tujuh, lapan parti-parti Melayu yang berteraburan hari ini. Suara 49 peratus ini jangan diketepikan sikap ‘tunggu, lihat dan pangkah’ mereka.
Jika diamati dengan harus, hujah bahawa kuasa politik Melayu akan jatuh ke tangan orang lain jika pelawaan berunding 12, 14, 16 mata atau `imbuhan serta tawaran menarik’ itu tidak diterima, tentu meleset sama sekali. Bukankah di dalam Perlembagaan Persekutuan hak-hak istimewa orang Melayu itu merupakan perpaduan yang terjamin? Bukankah di negeri-negeri Melayu, bakal menteri besar itu haruslah terdiri dari orang Melayu? Cuma yang tidak dikatakan dalam gara-gara menakut-nakutkan itu daripada pihak yang berkuasa mungkin kehilangan kuasa mereka.
Sebenarnya ini adalah kuasa rakyat yang memilih pemimpin dan wakil mereka lima tahun sekali. Nyatalah soal perpaduan dalam kalangan orang Melayu, yang kemudian berkait rapat dengan kestabilan negara merangkumi penduduk berbilang bangsa dan agama ini perlu diterima dalam konteks yang lebih luas. Tidak dalam genggaman politik kuasa yang sempit.
Begitu juga halnya dengan penghormatan dalam mentadbir dan menyempurnakan politik kuasa. Ia tidak boleh dilakukan melalui paksaan atau budaya tipu helah. Ia mesti diwarisi melalui proses yang telah wujud dan diteraskan melalui perjuangan asal.
Cukuplah berdendam
ISU dendam, asam garam dalam politik. Lawan boleh jadi kawan, kawan pula bertukar lawan perkara biasa.
Pada suatu hari Nelson Mandela yang sudah menjadi Presiden Afrika Selatan bersama dengan pengawal-pengawal peribadi dan askarnya makan tengah hari di sebuah restoran. Mereka duduk di satu penjuru dan memesan makanan.
Selepas seketika, pekerja restoran menghidangkan makanan. Mandela ternampak seorang lelaki duduk di depan mejanya sedang menunggu makanan yang dipesan.
Beliau kemudian mengarahkan askar untuk pergi menjemput lelaki itu makan bersama beliau. Askar pun pergi menjemput lelaki tersebut. Lelaki itu membawa makanannya dan duduk berhampiran dengan Mandela.Tangannya menggeletar sepanjang masa ketika makan dan selepas selesai dia beredar dari situ. Lalu askar berkata kepada Mandela “lelaki itu kelihatan sakit, tangannya menggeletar semasa makan”.
“Bukan, dia tidak sakit sama sekali,” jawab Mandela.
Sambungnya lagi:
“Lelaki tadi adalah pengawal penjara semasa aku di penjara.
“Seringkali selepas aku didera, aku akan menjerit dan meminta sedikit air untuk diminum.
“Inilah orang sama yang datang kepada aku dan kencing di atas kepala aku apabila aku minta air minum.
“Jadi, dia kelihatan menggeletar kerana takut aku membalas dendam, sama seperti mana dia lakukan kepada aku dahulu kerana sekarang ini aku adalah presiden Afrika Selatan.
“Tetapi itu bukan sifat aku dan tidak sekali-kali etika aku.”
Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit hasad dengki Melayu sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.
Ini diwakili dengki dan dendam – disingkatkan kepada 2Ds. Bagi beliau, penyakit ini tidak lain ialah:
‘The basic philosophy in the Malay heart has been this; that everybody should be equal inpoverty and misery, and that no one should be better off either in prosperity or social standing.’
Hasad dengki adalah ‘penyakit keramat’ yang menyelubungi orang Melayu sejak sekian lama.
Mentaliti membalas dendam akan menghancurkan negara manakala mentaliti bertolak ansur akan membina negara.
(The mentality of retaliation destroys states, while the mentality of tolerance builds nations).
Berbuat baiklah kepada orang lain kerana tidak ada sesiapa tahu apa yang mendatang hari esok. – Mingguan Malaysia










