KETIKA Ramadan edisi terdahulu, nama kuba guling dari Kelantan pernah tular di seluruh negara. Dalam tempoh sebulan umat Islam berpuasa, hampir setiap hari kisah kuih itu melintas di ‘dinding’ dan menjadi sohor kini di media sosial.
Khabarnya, peniaga kuih tersebut terpaksa menggunakan sistem nombor giliran bagi mengendalikan ribuan pengunjung yang menyerbu gerainya di depan sebuah stesen minyak di pekan Rantau Panjang setiap hari.
Bagi anda yang tidak tahu, kuih itu asalnya dipanggil koleh hitam. Ia dijenamakan semula sebagai kuba guling kerana gumpalan tepung beras yang hitam legam digolek dalam kelapa parut dilihat persis sang kerbau sedang berkubang.
Pada Ramadan kali ini, nama kuba rabik pula timbul, menjadi sensasi dan disebut-sebut orang. Istilah ini bagaimanapun bukanlah nama kuih terkini. Malah ia tidak ada kena mengena langsung dengan juadah tradisi.
Kuba rabik sebaliknya merupakan kata sifat perlambangan yang sering digunakan dalam percakapan dialek negeri ini bagi menggambarkan betapa hodohnya rupa paras seseorang pada sesuatu ketika.
Ia muncul secara spontan dalam manifestasi rasa terkilan seorang petugas barisan hadapan terhadap kes Covid-19 di Kelantan yang naik mencanak sepanjang Ramadan ini, sekali gus melunturkan moral dan semangat juang beliau dan rakan-rakan.
“Covid-19 ini ibarat minggu orientasi zaman belajar apabila hampir setiap malam, kita didenda kerana seorang buat silap, semua kena.
“Jika kita sahaja yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP), orang lain tidak apa gunanya?
“Maaf cakap, kami warga kesihatan sudah letih mental dan fizikal. Kerja macam kuba rabik,” demikian curahan hati pegawai terbabit yang berkhidmat di sebuah klinik kesihatan awam di Kota Bharu kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
HAMPA
Luahan ikhlas tidak bertapis beliau itu disiarkan akhbar ini pada 22 April lalu sebelum tersebar luas di media sosial sebagai topik yang sohor kini dan menjadi bualan hangat warganet bersama tanda pagar #kubarabik.
Rasanya bukan para frontliners sahaja. Ramai yang geleng kepala tidak percaya. Hampa dan kecewa pula bukan sedikit. Banyak kekesalan tidak terluah apabila bercakap tentang situasi pandemik Covid-19 di negeri ini.
Kurang lebih sebulan lalu, kami di Kelantan ceria apabila Gua Musang bertukar menjadi zon hijau setelah sekian lama negeri ini tidak ada wilayah yang bebas Covid-19 selepas tercetusnya gelombang kedua pandemik itu hujung tahun lepas. Tambah menceriakan apabila tiba musim cuti sekolah dan diberi kebenaran pula untuk kenduri-kendara. Maka berpusu-pusulah rakyat keluar dari segenap pelosok tempat untuk berpesta dan berziarah saudara-mara.
Angka positif Covid-19 terus melonjak tinggi sejak ‘pesta himpunan sosial’ tersebut mengakibatkan seluruh negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 29 April ini. Malah pada 22 April lalu, Kelantan berjaya memecah rekod sendiri dengan mencatat 662 kes positif Covid-19, iaitu tertinggi di Malaysia mengatasi Selangor dan Sarawak.
Pada masa sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin mendedahkan, hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sedia ada kebanyakannya sudah hampir mencapai 100 peratus penggunaan katil pesakit. Kadar penggunaan katil di Hospital Tumpat misalnya kata beliau, sudah melebihi 113.4 peratus manakala Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, 100 peratus.
PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan pula mencapai 97.5 peratus, PKRC Jubli Perak (96.7 peratus), Hospital Jeli (95.8 peratus), Hospital Machang (87.5 peratus), Asrama Hospital Pasir Mas (85.7 peratus), Hospital Raja Perempuan Zainab II (81.0 peratus) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (83.3).
Ketika ini, Kelantan kekal sebagai tiga negeri kes Covid-19 tertinggi bersama Selangor serta Sarawak, dan ironinya, Kelantan juga salah satu negeri yang merekodkan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terendah bersama Terengganu dan Sabah.
Pandemik Covid-19 sudah setahun umurnya di negara ini, namun apa sahaja perancangan kerajaan setakat ini bagaikan sia-sia selagi mana ia dikuatkuasakan dengan lemah dan ‘memilih-milih,’ diputuskan secara flip flop serta tidak menggerunkan sesiapa.
Daripada bersusah-susah kemudian mengulangi kitaran PKP-PKPD-PKPB-PKPP sehingga makin ramai menjadi kuba rabik, kenapa tidak kita bersakit-sakit dahulu dengan memilih melaksanakan pendekatan paling drastik – total lockdown?
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










