Apabila ‘datang bulan’... - Utusan Malaysia

Apabila ‘datang bulan’…

Dalam lingkungan usia pelajar yang sering bergolak, apa sahaja tindakan tidak bertimbang rasa boleh mencacatkan lagi emosi dan perasaan tidak menentu dialami masing-masing. – Gambar hiasan/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa yang dilaporkan berlaku di sebuah institusi pendidikan berkaitan ‘pemeriksaan datang bulan’ ke atas para pelajar baru-baru ini membangkitkan pelbagai persoalan.

Antaranya, betapa apa yang dikenali sebagai ‘pendidikan’ telah berputar belit sehingga ini menjadi seolah-olah satu bentuk ‘penghinaan’, bukan ‘kemuliaan.’

Mengapa tidak? ‘Datang bulan’ difahami umum adalah suatu proses naluri yang dialami oleh semua golongan wanita apabila tiba usianya. Ada yang awal, ada yang sedikit lewat, namun ia akan berlaku jua sebagaimana difitrahkan. Hal ini merupakan satu petanda yang mereka sudah masuk usia ‘matang’ dan boleh dianggap dewasa serta dapat dipertanggungjawabkan atas segala tindak-tanduk yang diambil mereka.

Dari segi pendidikan, ini membawa makna dan perubahan yang besar. Mereka bukan lagi kanak-kanak kerana sudah menjangkau usia remaja. Dan beransur-ansur belajar bertindak serta berfikir seperti dewasa yang bertanggungjawab, bukan sahaja sebagai seorang individu terpelajar tetapi juga warganegara yang bermaruah serta beramanah. Di sini, peranan pendidikan menjadi amat penting sebagai satu panduan hidup hari muka untuk menjadi insan seimbang lagi harmonis seperti yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan, lebih 30 tahun lalu.

Namun, keseimbangan serta harmonis ini perlu diharungi dengan penuh pancaroba diganding pelbagai pengalaman berikutan pergolakan emosi serta perasaan secara semula jadi. Semuanya sebahagian daripada proses membesar dari segi rohani dan jasmani termasuk ‘datang bulan’ pada masa dan ketika tertentu. Ini bermakna pergolakan tersebut mungkin lebih mencabar. Tidak kurang berasa murung dan keletihan. Apalagi kesakitan segala macam yang dialami. Sesetengahnya memerlukan simpati, kalau tidak pun rawatan.

Agama membenarkan mereka tidak bersolat malah menangguhkan berpuasa. Dan menegah daripada menahannya berlaku dengan menggunakan ubat-ubatan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Agama lebih memahami keadaan yang didatangi mereka atas kehendak Ilahi jua dan tidak terhad kepada pelajar semata-mata tetapi juga guru serta pentadbir wanita keseluruhannya.

DUNIA PEKERJAAN

Jadi, mengapa pelajar terpaksa ‘diperiksa’ apabila ‘datang bulan’ dan bukan sejantina yang lain? Jawapan yang kedengaran adalah pelajar tidak boleh dipercayai dan membuat helah untuk tidak bersolat dan tidak berpuasa. Mungkin! Tetapi di sinilah terletaknya ‘kegagalan’ pendidikan yang sewajarnya membantu memupuk suatu keperibadian serta akhlak yang beramanah serta berpekerti mulia.

Dengan kata lain, ia cerminan pendidikan yang diberikan selama itu, mencakupi pendidik tidak kira wanita atau lelaki. Maksudnya, mereka mempelajari apa yang diasuh oleh guru-guru mereka bertahun-tahun lamanya sehinggalah usia ‘datang bulan’ dan sewajarnya sudah memberi kesan pertanggungjawaban menunaikan amanah dan pekerti tinggi. Hatta, soal tipu helah khususnya dalam bab agama sepatutnya sudah terurus dengan baik. Kalau tidak pun hanya saki-baki yang dapat ditangani melalui tegur sapa tanpa apa-apa bentuk penderaan yang mengaibkan secara langsung atau tidak.

Dalam lingkungan usia pelajar yang sering bergolak itu, apa sahaja tindakan yang tidak bertimbang rasa boleh mencacatkan lagi emosi dan perasaan yang tidak menentu dialami masing-masing, bulan demi bulan hampirlah ke penghujung hayat. Kadangkala ia menjadi beban tambahan dalam perjalanan hidup yang agak berliku-liku bagi pelajar yang emosi dan perasaan agak rapuh apa lagi dalam keadaan pandemik masa kini.

Pun begitu, laluan mereka pasti jauh merentasi dunia pekerjaan, berumah tangga apa lagi beranak-cucu. Sebab itu agaknya agama lebih memahami dan bersimpati. Jika tidak, apa kata kalau pelajar pula meminta guru dan pentadbir ‘diperiksa’ seperti apa yang mereka alami. Mungkin mereka juga inginkan kepastian! Siapa yang boleh menidakkan mereka? Beserta pula ibu bapa serta waris yang berasa sedemikian, sebagaimana mereka tidak merestui anak-anak ‘diperiksa’ sebegitu rupa.

MODAL INSAN

Maksudnya apa? Perlu kita melangkah ke belakang, sebelum istilah ‘penuntut’ digantikan dengan istilah ‘pelajar’, dan ‘insan seimbang’ dengan ‘modal insan.’ Dewasa itu, guru dan pentadbir institusi pendidikan menjadi contoh teladan penuntut mereka, bahkan ibu bapa serta waris juga. Mereka terhormat bukan sahaja kerana ilmu pengetahunannya tetapi segala-gala hal lain – perwatakan, keperibadiaan, akhlak, adab, sopan dan santunnya.

Panggilan ‘cikgu’ terpahat sehingga dibawa terus ke liang lahat sebagai tanda kemuliaannya. Tidak ramai penjawat awam atau pun swasta mendapat pengiktirafan sedemikian rupa. Dewasa itu, soal ‘datang bulan’ terlerai secara berhemat walaupun lebih mencabar lagi semasa berkembang teknologi tidak secanggih kini. Namun, guru bijak menyantuni penuntut mereka atas amanah yang tinggi letaknya berlandas fahaman agama mendalam. Inilah yang diertikan dengan penggunaan istilah ‘cerminan’ tadi.

Apapun ini tidak bermakna apa yang terlanjur menggambarkan kedudukan keseluruhan institusi terbabit. Malah sebaliknya kerana institusi tersebut juga terkenal dengan program ulul albab yang dianggap berjaya. Dan terkini terdapat laporan dua pelajar dari rantaian institusi berkenaan menjadi antara pelajar terbaik di Malaysia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) global dan antara kesepuluh terbaik di dunia.

Dengan lain perkataan, mendidik dengan berhemah dan ikhlas beramanah tanpa sebarang penderaan yang mengaibkan agar nila setitik tidak merosakkan susu sebelanga. Maka berwaspadalah.

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN