Kolum Seram
Kisah ini bermula apabila Zilan diarahkan bertugas di tempat baru yang terletak di Utara tanah air. Tempat baru itu adalah sebuah kilang elektronik. Nasib baiklah dia masih bujang dan belum berkeluarga, jadi bila majikan arahkan bertugas di luar daerah dia tidak punya sebarang masalah. Baginya seronok juga bila sesekali bertukar angin.
Walau hanya berjawatan sebagai penyelia di sebuah kilang elektronik, namun dia tetap gembira kerana punya ramai rakan yang ‘satu kepala’. Tambah pula geng-geng kilang ini majoritinya bujang, jadi bila ada kelapangan macam-macamlah yang mereka rancang.
Antara rakan sekerja di situ, Amar ialah teman rapatnya. Selain bekerja satu jabatan, usia mereka juga sebaya. Jadi selalulah mereka habiskan masa bersama terutamanya di waktu rehat.
Selain sifat ramah, Amar juga suka berjenaka. Kalau melepak dengannya pasti ada sahaja topik yang membuatkan rakan-rakan di situ sakit perut geli hati. Jadi tidak hairanlah bila dia antara pekerja yang cukup disenangi di kilang itu.
Petang itu selepas menamatkan syifnya, Zilan rasa tak sedap badan. Seluruh tubuhnya terasa panas berbahang. Sebelum pulang ke rumah sewa, dia singgah di klinik, risau pula kalau sakitnya melarat nanti. Setelah diperiksa, dia tarik nafas lega. Doktor beritahu dia hanya demam biasa. Dapatlah dia cuti sakit selama tiga hari.
Keesokannya ketika sedang berehat di rumah, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Rupa-rupanya Amar menghubunginya bertanya khabar. Zilan menceritakan apa yang berlaku padanya. Setelah hampir lima minit berbual, akhirnya Amar minta diri untuk sambung bertugas.
“Okeylah beb, aku nak gerak masuk kerja ini. Nak sembang lama-lama pun aku tak cukup syiling ini. Kau lainlah ada handphone. Aku pakai public phone saja. Kau jangan lupa makan ubat. Nanti lepas kau masuk kerja kita jumpa,” katanya sebelum talian terputus.
Zilan tersengih sambil mematikan telefon bimbitnya. Tak sangka Amar menghubunginya untuk bertanya khabar. Maklumlah kebanyakan rakan sekerjanya tidak punya telefon bimbit. Kalau nak berhubung pun kena guna telefon awam yang ada di parkir kilang.
Harga telefon bimbit ketika itu bukannya murah. Paling lekeh seperti yang dia guna pun kurang-kurang dekat RM2,000. Maklumlah awal 90-an penggunaan telefon bimbit belum meluas lagi. Harga pun masih cekik darah.
Setelah tiga hari berehat akhirnya demam Zilan sembuh. Sebaik selesai solat Isyak dia sudah bersiap walaupun syifnya akan bermula pukul 11 malam. Dia rasa tak sabar untuk kembali berjumpa rakan-rakan di kilang.
Sebaik sampai di kilang dia mencari-cari Amar, namun tak nampak kelibatnya. Motosikalnya yang biasa di parkir berhampiran surau pun tidak kelihatan.
Terdetik juga hatinya untuk bertanya rakan-rakan lain yang berada di situ, namun fikirnya pastilah mereka juga tidak tahu kerana masing-masing berlainan syif. Lagipun rakan yang sama syif dengannya ramai yang belum sampai.
Zilan toleh jam di tangan. Sudah hampir 11 malam, Dia mengatur langkah menuju ke belakang kilang. Begitulah kebiasaannya setiap hari sebelum mulakan tugas dia akan merokok terlebih dahulu. Sebaik sahaja mengeluarkan pemetik api dari poket seluarnya, tiba-tiba bahunya ditepuk. Serta merta dia melatah.
“Hampeh kau Amar, aku ingat siapa tadi,” kata Zilan sambil mengurut dada.
Amar hanya tersengih tanpa menjawab pertanyaan rakannya itu. Dia turut mengeluarkan sebatang rokok dari kotak yang dipegangnya.
“Kau okey ke ni beb?” tanya Zilan apabila melihat rakannya tidak banyak bercakap sedari tadi.
Amar menolehnya sambil tersenyum. Sesekali dia menghembus asap rokoknya ke udara.
“Aku okey je beb, cuma malam ni rasa letih sikit,” katanya perlahan.
Zilan hanya memandang Amar sambil tersenyum. Mungkin benar kata Amar. Sebelum ini dia jarang bersikap begitu. Pasti ada sahaja lawak jenakanya.
“Okey nanti masa rehat kita sambung lagi. Aku jumpa kau dekat bawah nanti,” kata Zilan sambil membuang sisa rokok di tangannya ke longkang berdekatan. Amar tidak menjawab. Dia sekadar memandang Zilan dengan senyuman.
Sebaik Zilan melangkah masuk ke dalam kilang, tiba tiba dia terpandang rakannya, Budin yang sedang sibuk memunggah barang-barang di kawasan lokar pekerja.
“Eh, Budin, sibuk sangat kau ni. Barang siapa pula yang kau kemas ni?” tanya Zilan menghampirinya.
“Budin menoleh ke arah Zilan sambil mengerutkan dahi.
“Nak kosongkan lokar Amar. Supervisor suruh tadi,” kata Budin sambil merapatkan baldi yang penuh berisi barang itu di kakinya.
“Kenapa nak kosongkan lokar Amar pula?” Zilan kehairanan.
“Laaa… kau tak tahu cerita ke?” tanya Budin kembali.
“Cerita apa pula? Dia nak berhenti kerja ke? Aku baru lepak hisap rokok di belakang dengan dia tadi. Tak ada pula dia cerita apa-apa kat aku,” tegas Zilan panjang lebar.
Budin tergamam. Wajahnya serta-merta bertukar pucat.
“Kau ini biar betul beb. Kau jangan main-main. Ada perkara kita boleh buat lawak, ada perkara kena serius beb,” jawab Budin sambil merenung Zilan dengan perasaan sangsi.
“Laaa.. nak buat lawak apanya? Aku baru jumpa dia kejap tadi. Kalau tak percaya jom kita pergi belakang. Rasanya dia belum masuk lagi,” tegas Zilan serius.
“Amar dah meninggal dunia tiga hari lepas. Waktu pulang kerja syif petang dengan kau tu. Dia kemalangan dengan lori di depan simpang hala ke bandar,” kata Budin.
Zilan tergamam. Kakinya seolah terpasak ke bumi. Tubuhnya serta-merta menggeletar.
Budin seterusnya menceritakan kejadian yang menimpa Amar.
Zilan masih terpaku. Dia seakan tidak percaya dengan berita yang disampaikan Budin ke telinganya ketika itu. Pelbagai perasaan bercampur baur di benaknya.
Dia tahu apa yang disampaikan oleh Budin itu adalah benar. Takkanlah Budin sanggup membuat cerita dongeng kepadanya. Lagipun bab-bab kematian ini bukanlah perkara main-main yang boleh dijadikan bahan jenaka.
Namun yang menjadi persoalan dibenaknya sekarang ialah jika benar Amar sudah meninggal dunia tiga hari lepas, jadi siapa pula yang menghubungi telefon bimbitnya dua hari lepas? Dan siapa pula ‘Amar’ yang baru sahaja menghisap rokok bersama dengannya tadi?
Tiba-tiba Zilan rasa bulu romanya berdiri tegak. Serta-merta dia kecut perut dan badannya terasa panas seperti hendak demam. – Mingguan Malaysia










