Kita berasa lega apabila akhirnya dapat memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan harapan dapat meningkatkan imuniti dan daya tahan rakyat sekali gus keluar dengan segera daripada ancaman pandemik Covid-19. Tatkala program imunisasi mula berjalan, tercetus sedikit kebimbangan dalam kalangan rakyat apabila timbul dakwaan ada golongan kenamaan (VVIP) yang cuba memotong giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin pada fasa pertama ini.
Pada dasarnya, tidak wajar ada mana-mana pihak memotong giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin baik di peringkat fasa mana sekalipun, apatah lagi pada peringkat permulaan ini yang dikhususkan untuk petugas barisan hadapan. Justeru, jika benar terbukti dakwaan ada VVIP cuba untuk memotong giliran, itu satu perbuatan yang mementingkan diri sendiri dan tidak boleh dimaafkan.
Harus diingat, pihak berkuasa menetapkan pelaksanaan suntikan vaksin mengikut tiga fasa, iaitu Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk petugas barisan hadapan membabitkan kira-kira 500,000 orang. Fasa 2 dari April hingga Ogos ini membabitkan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) kira-kira 9.4 juta orang. Fasa 3 pula dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk berumur 18 tahun ke atas baik warganegara mahupun bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. Ringkasnya, kita menjangkakan program imunisasi yang sudah bermula ini boleh memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa menerima vaksin menjelang Februari 2022.
GELARAN
Jadi, agak mengecewakan jika ada yang mengambil kesempatan atas gelaran dan kedudukan sebagai VVIP untuk memotong giliran baik untuk diri sendiri mahupun ahli keluarga. Ini satu tindakan yang tidak berintegriti, tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab. Justeru, kita tidak boleh membiarkan ia berlaku sehingga meletakkan para petugas barisan hadapan dalam risiko tinggi.
Ingat, petugas barisan hadapan adalah golongan yang cukup berisiko tinggi dan sekian lama terdedah kepada jangkitan wabak ini kerana mereka sentiasa bersama dalam menguruskan pesakit Covid-19. Jadi, selayaknya mereka menjadi kelompok pertama menerima suntikan vaksin agar dapat melindungi diri sekali gus boleh meneruskan perkhidmatan sama ada dalam melaksanakan proses saringan mahupun merawat pesakit yang positif. Jadi, kenapa ada VVIP yang sanggup menzalimi kelompok ini? Apakah VVIP ini masih tidak sedar atau sukar memahami sumbangan para petugas barisan hadapan?
Justeru, kita berharap golongan kenamaan ini boleh memahami situasi dan keperluan semasa, siapa yang lebih layak menerima suntikan vaksin terutama pada fasa pertama ini. Ikut sahajalah jadual giliran mengikut fasa yang ditetapkan oleh kerajaan. Tiada keperluan untuk kita menyalahguna kedudukan dan memotong giliran.
PENALTI
Dalam konteks ini, kita menyambut baik keputusan kerajaan menguatkuasakan penalti denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada mana-mana individu yang memotong giliran. Penguatkuasaan ini dibuat mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Pada masa sama, kita juga berharap agar pihak pengurusan fasiliti kesihatan yang akan menjalankan proses suntikan ini akan lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tipu helah atau ugutan mana-mana golongan kenamaan yang mahu nama mereka disenaraikan untuk suntikan. Jangan kita takut untuk mengatakan tidak kepada mereka kerana ia membabitkan kebajikan dan nyawa para petugas barisan hadapan. Justeru, saring betul-betul senarai nama yang layak menerima suntikan supaya lebih telus, bertanggungjawab dan adil kepada petugas barisan hadapan.
Dalam hal ini, kita juga menyambut baik saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan meminta mana-mana individu yang ada maklumat supaya tampil menyalurkan terus aduan kepada beliau untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan. Semoga mana-mana individu yang ada maklumat akan berani tampil untuk membuat aduan dengan segera.
Apa pun, demi memastikan program ini berjalan lancar, kita memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis memantau keseluruhan proses pemberian vaksin di seluruh negara. Biar pihak berkuasa membantu petugas kesihatan memelihara integriti program imunisasi ini. Kita tidak mahu golongan kenamaan menggunakan kedudukan dan pangkat untuk ‘memaksa’ mana-mana pihak menuruti permintaan mereka bagi mendapatkan suntikan dengan memotong giliran.
INTEGRITI
Hal ini penting kerana program imunisasi baru bermula dan akan berlaku di seluruh pelosok negara. Justeru, ada kemungkinan agak sukar untuk dikawal dengan teliti. Oleh itu, SPRM dan polis di peringkat negeri dan daerah perlu memantau secara serius proses pemberian vaksin ini sehingga selesai kesemua fasa yang ditetapkan.
Ironinya, defisit integriti boleh berlaku di mana-mana dan dalam semua proses kehidupan selagi mana ada individu yang cuba menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri. Jadi, pihak berkuasa perlu segera memantau agar tidak terpesong daripada matlamat ditetapkan sekali gus memelihara integriti program ini. Semoga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar seperti dirancang berpaksikan amalan integriti yang tinggi, matang dan profesional.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










