BUKIT JALIL: Pengarah, Helmi Yusof, menyifatkan naskhah terbaharunya, Bayangan Dendam, sebagai bentuk ‘dakwah seni’ dalam memberi kesedaran mengenai isu pembunuhan wanita atau femisid.
Helmi berkata, plot yang memaparkan elemen pengkhianatan dan keganasan terhadap wanita dalam drama tersebut adalah cerminan kepada realiti pahit yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini.
“Sebagai pengkarya, kita ada cara tersendiri untuk menyampaikan mesej. Saya anggap naskhah ini sebagai satu cara berdakwah.
“Perkara yang baik kita tunjukkan baik, dan yang buruk kita paparkan impaknya agar penonton sedar. Kebetulan atau tidak, isu jenayah melibatkan pembunuhan wanita memang sedang rancak diperkatakan.
“Jadi, ini adalah waktu yang tepat untuk kita keluarkan cerita ini supaya pengajaran di penghujung cerita dapat meresap ke jiwa penonton,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Bayangan Dendam cuba mengupas psikologi di sebalik tindakan agresif menyebabkan wanita sering menjadi mangsa dalam kitaran dendam.
“Memang zaman sekarang kita kerap dengar kes teman lelaki bunuh teman wanita hanya kerana cinta. Ia sesuatu yang sangat serius.
“Mesej yang kami cuba sampaikan adalah untuk membela hak wanita. Dalam kehidupan, kita tidak boleh terlalu ekstrem mencintai seseorang sehingga hilang pertimbangan rasional. Perlu ada batas dan limitasi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Helmi berharap penonton dapat melihat melampaui babak misteri dan pembunuhan yang dipaparkan, sebaliknya mengambil iktibar mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dalam sesebuah perhubungan.
“Pengajaran dan mesej di penghujung cerita ini sangat kuat.
“Saya mahu setiap orang yang menonton akan berfikir dua kali sebelum bertindak mengikut emosi,” katanya.
Drama Ada Bayangan Dendam yang menampilkan barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Nadhir Nasar dan Erysha Emyra kini sedang ditayangkan di platform penstriman Viu. -UTUSAN











