“Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa” menggambarkan betapa halus budaya dan adab bangsa Melayu Nusantara. Berlandaskan ‘budi’, mereka membangunkan tamadun yang dibanggakan dari zaman ke zaman walaupun budi tidak mudah dibalas. Bak kata pantun:
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
Sekalung bunga dihadiahkan dengan ikhlas oleh ketua negara, diiringi lagu negara dikemundangkan berserta air mata berlenang mengenang semula budi yang telah ditaburkan setulus hati.
Amalan seperti ini lazim dilakukan setiap kali berhadapan ulang tahun memperingati gugurnya perajurit tanah air di pelosok dunia saban tahun.
Tidak bezanya dengan wabak Covid-19 dalam memperingati para pejuang di barisan hadapan pada 18 Mac lalu, genap setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka juga telah meletakkan nyawa di hujung tanduk apabila berhadapan musuh tidak dijangka.
Bagaimanapun, bezanya tarikh 18 Mac agak dingin dalam mengimbau pengalaman ngeri serangan Covid-19. Baik bagi perseorangan atau keluarga mahupun masyarakat, apalagi negara serta dunia. Begitu juga bagi institusi tidak kira awam atau swasta, besar atau kecil, mahupun setempat atau bertapak dunia. Umumnya, tidak sesesiapa pun yang tidak terkesan secara mendalam menusuk serba-serbi berkaitan perjalanan hidup sehingga terwujud ungkapan norma baharu, seolah-olah yang lama tidak lagi sesuai atau berkenaan. Jika peperangan melibatkan musuh-musuh ‘biasa’ dan norma baharu agak terhad dan tidak berkekalan, bagi Covid-19 kedudukannya berlainan sekali. Ringkasnya, pengalaman berdepan Covid-19 tidak boleh diambil ringan atau ditolak ke tepi begitu sahaja atas apa juga sebab atau tujuan, sedar atau tidak. Oleh itu, kedinginan 18 Mac tidak dapat difahami, apa lagi untuk diceritakan.
Orang yang telah banyak berbudi sehingga ada yang menggadai nyawa tidak mendapat perhatian sewajarnya. Mengapa? Ini menjadi persoalan ramai khasnya yang kehilangan insan disayangi.
Namun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak teragak-agak untuk memperingati apa yang telah dilaluinya, baik atau buruk walaupun umumnya agak terkawal dan membina.
Atas dasar ini, UIAM bersungguh-sungguh untuk berbuat sesuatu biar sebesar hama sekali pun, kerana berdiam diri, berpeluk tubuh tidak langsung menggambarkan kehalusan budaya Melayu, apa lagi disaluti nilai-nilai Islam bagi mewarnai jiwa membalas budi para barisan hadapan. Antara langkah yang diambil adalah anugerah tertinggi universiti kepada perancangan dan percaturan yang dilakukan berdasar fakta dan ilmu khususnya melibatkan para profesional diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan sendiri. Berserta bala tentera barisan hadapan yang tidak kurang profesionalnya, termasuk anggota polis dan tentera, masing-masing memberi sepenuh perhatian terhadap tindakan menabur budi. Itu pun tanpa ada had masa dan ketika dalam menghadapi musuh tidak berupa.
MURAL
Maka UIAM menghargai jasa mereka dengan Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial peringkat global, tepat pada hari ulang tahun pertama PKP, 18 Mac lalu. Ini diserikan lagi dengan keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong selaku Ketua Perlembagaan UIAM yang berkenan untuk berangkat mencemar duli menyampaikan anugerah tersebut dalam satu majlis penuh bererti.
Selain itu, UIAM tidak melupakan juga para barisan hadapan Kementerian Pengajian Tinggi diketuai oleh menteri sendiri yang turut diiktiraf pada hari tersebut. Sedangkan bagi para barisan hadapan di UIAM sendiri, sebuah mural gergasi dilukis oleh para pelajar yang menceriterakan adegan penting dalam menangani wabak Covid-19 selama setahun sehinggalah hari ini. Setiap satu adegan mengimbau apa yang berlaku bagi membantu sesiapa sahaja selaras dengan #kitajagakita. Natijahnya adalah untuk mewujudkan rasa muafakat ke arah rahmatan lil alamin.
SAKURA
Semoga mural tersebut menjadi bayangan minda setiap warga kampus jauh dan dekat dalam mendampingi masyarakat yang memerlukan. Ini diperingatkan lagi dengan sebuah ‘gubahan seni’ berbentuk Covid-19 diperbuat daripada besi waja oleh warga UIAM sebagai simbol ketabahan serta kecekalan yang suci dalam memenuhi amanah untuk menegakkan sebuah masyarakat kental, bertanggungjawab lagi bermaruah tinggi bak sanjungan budaya Melayu serta nilai-nilai Islam. Terletaknya gubahan itu di hadapan bangunan Wadi Budi menyatakan hasrat sealiran dengan maksud, orang berbudi, kita berbahasa yang tidak putus-putus sehingga sepanjang hayat.
Semua ini berlangsung serentak dengan Minggu Sejahtera untuk memberi ketenangan jiwa raga dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang khususnya isu-isu kesihatan mental. Juga mencetuskan harapan bagaikan kembangnya bunga pepohon Tekoma (bunga Sakura) yang menyerikan lagi suasana kampus pada waktu sama.
Rangkaian kesemua peristiwa ini mengabadikan lagi makna dan maksud sejahtera sebagai satu benteng semula jadi seorang budiman yang celik hati dan juga akal. Yakni sebagai seorang insan sejahtera umpama tumbuhnya sebuah pohon yang dikiaskan dalam al-Quran, surah Ibrahim, ayat 24 hingga 27.
Pendek kata, wabak Covid-19 memberi seribu satu keinsafan kepada UIAM khasnya dan Malaysia amnya yang wajar diangkat untuk lebih mara ke hadapan tetapi mesti pandai mengenang budi.
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










