Pada 16 Mac lalu, Bank Dunia mengeluarkan laporan bertajuk Aiming High: Navigating the next stage of Malaysia’s Development. Inti pati laporan ini adalah berkaitan unjuran Bank Dunia bahawa Malaysia akan melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi antara 2024 hingga 2028.
Menurut laporan tersebut, nilai ambang pendapatan negara kasar (PNK) per kapita yang diperlukan bagi membolehkan sesebuah negara itu dianggap sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi ialah AS$12,535 (RM51,958). Buat masa sekarang, PNK Malaysia berada pada tahap AS$11,200 (RM46,424). Ini bermakna negara hanya perlu mencapai tambahan sebanyak AS$1,335 (RM5,533) lagi kepada PNK yang ada sekarang bagi membolehkannya melepasi nilai ambang tersebut.
Analisis dalam laporan Bank Dunia ini juga turut menyatakan, bagi membolehkan Malaysia beralih dengan jayanya kepada sebuah negara berstatus berpendapatan tinggi dan maju, reformasi atau perubahan ke atas enam sektor saling berkaitan yang dikenal pasti perlu dilakukan—menggiatkan semula pertumbuhan jangka panjang, meningkatkan daya saing, mewujudkan peluang pekerjaan, memodenkan institusi, mempromosikan inklusi dan membiayai kemakmuran bersama.
Secara idealnya, pendapatan yang tinggi membantu isi rumah untuk menjalani satu gaya hidup berkualiti dan bermaruah. Namun, jika kita melihat kepada negara-negara berpendapatan tinggi yang ada sekarang terutama di Barat, status diperoleh belum dapat menjamin setiap ahli masyarakat mendapat keadilan sosial daripada kemajuan ekonomi dicapai negara-negara tersebut. Ini kerana PNK adalah berdasarkan kepada pendapatan purata penduduk.
Di kebanyakan negara, ketaksamaan kekayaan dalam kalangan penduduk meningkat dengan pesat. Secara teorinya, ini akan menyebabkan nilai kekayaan purata individu dalam negara tadi juga akan meningkat walaupun secara realitinya ramai yang langsung tidak mendapat kenaikan upah atau hanya mendapat kenaikan gaji yang sedikit sahaja. Sebagai contoh, menurut Biro Banci Amerika Syarikat (AS), pada 2019, walaupun purata pendapatan per kapita penduduknya ialah AS$34,103 (RM141,356), namun hampir 33 juta penduduk AS hidup di bawah paras kemiskinan, manakala 567,715 penduduknya hidup secara bergelandangan dengan New York, Hawaii dan California mempunyai kadar golongan gelandangan kepada bilangan penduduk yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di AS. Contoh ekstrem lain ialah Bermuda – sebuah negara ‘syurga’ cukai bagi jutawan yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita antara yang tertinggi di dunia tetapi sebahagian besar penduduknya bekerja dalam industri perikanan yang hanya menerima upah kecil.
ADIL
Malaysia sudah tentunya tidak mahu menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi pada masa sama, kekayaan tadi tidak dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh semua warganegara seperti contoh-contoh yang dinyatakan sebelum ini. Namun, kita perlu menerima hakikat bahawa Allah SWT tidak menjadikan manusia ini sama, baik dari segi kekayaan mahupun keupayaan akal. Perkara ini dijelaskan menerusi surah al-Zukhruf ayat ke-32. Keadaan ini merupakan satu hikmah Allah SWT dalam penciptaan makhluk. Jadi, walaupun negara akan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada suatu ketika nanti, isu kemiskinan dalam kalangan penduduk dan ketaksetaraan pembangunan wilayah sedikit sebanyak tetap akan wujud. Bagaimanapun, ini bukanlah satu halangan untuk kita tidak berusaha menjadi sebuah negara maju (dan berpendapatan tinggi) mengikut acuan sendiri.
Dalam hal ini, enam cadangan yang dikemukakan oleh Bank Dunia dalam laporan tersebut juga wajar diberi pertimbangan oleh pihak berwajib terutama yang berkaitan dengan aspek mempromosi inklusi dan (membiayai) kemakmuran bersama.
Sebenarnya Malaysia sudah mempunyai satu wawasan pembangunan holistik yang bukan sahaja dapat menjurus ke arah pencapaian status negara maju tetapi juga melangkaui konsep negara berpendapatan tinggi yang dianjurkan dunia Barat.
Pada 5 Oktober 2019, kerajaan melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Mungkin disebabkan perubahan tampuk kepimpinan negara dan isu pandemik Covid-19 yang berlaku selepas pelancarannya, WKB 2030 kurang diberi perhatian. Wawasan ini merupakan satu iltizam pemerintah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Di samping itu, WKB 2030 menyasarkan penyatuan negara, bangsa menerusi perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum tanpa ada rasa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya.
JURANG
Dengan menjadikan unsur keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman sebagai prinsip kepada pengagihan ekonomi, jika dilaksana dengan penuh iltizam, WKB 2030 mampu mengurangkan jurang pendapatan dalam komuniti.
Pembangunan yang mampan tidak boleh dicapai tanpa kestabilan sosial. Pengukuhan perpaduan dalam kalangan kaum akan menjadi pemangkin kepada proses pembangunan yang dilakukan ini kerana setiap individu tanpa mengira latar belakang etnik mahupun keturunan akan mengetepikan perbezaan yang ada, bahkan berusaha secara kolektif dan harmoni ke arah merealisasikan wawasan bersama.
Tidak seperti matlamat pembangunan biasa yang memfokuskan kepada aspek pertumbuhan yang dinilai menerusi peningkatan pendapatan, WKB 2030 bermatlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat pada 2030.
Taraf hidup wajar merujuk kepada satu konsep yang memenuhi tiga elemen dalam kehidupan masyarakat iaitu kewangan mencukupi bagi memenuhi keperluan asas, kemampuan menyertai aktiviti komuniti, kekeluargaan dan riadah sosial, dan keupayaan menjalani kehidupan bermakna dan bermaruah.
Sesungguhnya kecukupan kewangan bagi memenuhi keperluan asas dilihat lebih sesuai berbanding menyasarkan pendapatan yang tinggi. Ini kerana unsur-unsur seperti inflasi atau kegagalan mengurus kewangan dengan baik boleh mengakibatkan invididu berpendapatan tinggi gagal menikmati satu kehidupan berkualiti. Begitu juga aspek mobiliti dan interaksi sosial. Tanpa kedua-duanya, sukar untuk masyarakat mengubah taraf hidup dan mendapat sokongan serta dorongan yang membolehkan mereka menikmati satu kehidupan lebih bermakna dan mempertahankan nilai identiti masing-masing.
Sememangnya, sesuatu dasar atau perancangan pembangunan perlu mengambil kira faktor-faktor setempat. WKB 2030 merupakan satu contoh yang dimaksudkan di sini. Dengan tidak menyasarkan pendapatan yang tinggi seperti kelaziman pelan-pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadikan kehidupan wajar sebagai matlamat yang ingin dicapai, WKB dilihat lebih holistik dan mampu memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.
PENULIS ialah Felow, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










