Jerebu: Pengalaman lalu memeritkan - Utusan Malaysia

Jerebu: Pengalaman lalu memeritkan

Walaupun kesan jerebu tidaklah sehebat Covid-19, kita mesti berusaha mengurangkan risiko daripada menjadi lebih serius. – Utusan/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa minggu lalu, jerebu melanda beberapa tempat di negara kita. Walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak begitu tinggi, kewaspadaan kita terhadap jerebu tidak boleh diambil ringan. Pengalaman-pengalaman lepas sangat memeritkan. Kita pernah mengisytiharkan darurat. Sekolah di beberapa negeri ditutup. Perniagaan turut terjejas kerana orang ramai tidak digalakkan berada di luar rumah.

Walaupun kesannya tidaklah sehebat Covid-19, kita mesti berusaha mengurangkan risiko jerebu daripada menjadi lebih serius. Dengan cuaca panas sekarang yang diramal sehingga pertengahan bulan ini, jerebu mudah berlaku dan makin merebak sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Beberapa hari lalu, kebakaran berlaku di Johan Setia, Banting, Petaling Jaya, Cheras dan Rompin. Kebakaran ini menghasilkan kualiti udara tidak sihat dan menjejaskan kesihatan dan pelbagai aktiviti orang ramai.

Menangani jerebu yang bersifat domestik lebih mudah berbanding jerebu yang berpunca dari negara jiran. Kawalan jerebu domestik hanya di dalam negara dan memerlukan kerjasama pihak berkuasa dan penyebab jerebu.

GAMBUT

Apa pun, kerjasama orang ramai dan pemilik tanah sangat penting. Jerebu tidak akan terhasil jika kebun atau ladang tidak dibakar untuk tujuan pembersihan sebelum ditanam semula.

Bagi pemilik kebun tanah gambut, mereka memang memahami bahawa kebakaran di tanah tersebut sukar dikawal, senang merebak dalam keadaan cuaca panas dan susah pula dipadamkan. Jika semua ini merupakan rentetan pengalaman, apa salahnya tindakan ini tidak diulang lagi demi kebaikan bersama?

Ketika kita sibuk dengan kemungkinan jerebu, pesawah tetap membakar jerami kerana kesan bakar bukan hanya menjadi baja tetapi sebagai kaedah memusnahkan makhluk perosak padi. Itulah yang petani percaya walaupun ditawarkan menjual jerami untuk dijadikan makanan haiwan atau diproses untuk tujuan-tujuan lain.

Kita juga percaya, disebabkan kos racun sangat tinggi, tidak kira petani atau pekebun, mereka hanya menggunakan sebatang mancis untuk memperoleh baja bagi tanaman.

Oleh itu kita nampak bahawa membakar hutan, kebun dan sisa di sawah merupakan satu keperluan juga. Namun, ia bertentangan dengan mereka yang tidak memahami kepentingannya malah menerima pula kesan akibat tindakan pembakaran tersebut.

Jerebu turut berpunca daripada kebakaran hutan yang sangat luas di negara jiran di samping faktor domestik sehingga akta mengenai jerebu diwujudkan pada 2002.

Maka untuk menangani masalah jerebu, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mesti kerap mengadakan rondaan agar pembakaran terbuka tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Denda tinggi bagi kesalahan pertama dan seterusnya juga mesti dikenakan supaya masalah ini tidak menjadi lebih serius.

Penulis ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN