Enakmen syariah dicabar, dihina - Utusan Malaysia

Enakmen syariah dicabar, dihina

Umat Islam tidak boleh lagi berdiam diri apabila Enakmen Syariah Negeri semakin kerap dicabar oleh pertubuhan atau individu berkepentingan. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lwn. Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657, Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Hamid Mohammad menyebut: “Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada badan perundangan negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan hukum syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.” Peruntukan sedia ada ini secara jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menentukan hala tuju masyarakat rabbani dalam sesebuah negeri.

Namun, langit tidak selalunya cerah buat segelintir kelompok yang mengaku diri mereka Muslim tetapi sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan lunas agama kerana fatwa di Malaysia boleh dikeluarkan untuk mencengkam penularan ideologi sesat dalam kalangan penduduk beragama Islam. Masakan tidak, sebahagian umum terutamanya saudara seakidah dapat menarik nafas lega apabila pada Julai 2014, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengisytiharkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS) sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Berikutan ‘pengharaman’ tersebut, SIS terus dikenali sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang memperjuangkan hak-hak kesamarataan gender termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), membantah hukuman sebat syariah dan mempromosikan fahaman liberalisme secara agresif melalui penulisan ahlinya dan kenyataan rasmi di media arus perdana. Rata-rata masyarakat Muslim menyokong keputusan MAIS dan menganggap perkataan ‘Islam’ dalam akronim SIS perlu dibuang kerana tindakan mereka dilihat sering kali bertentangan dengan hukum-hakam yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah.

Saya berpendapat, keputusan Hakim Nordin Hassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa MAIS pada 27 Ogos lalu adalah tepat kerana mengikut peruntukan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Mahkamah Syariah Selangor boleh menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri demi kepentingan keadilan. Hakim yang bijaksana tersebut turut memutuskan mahkamah sivil tiada kuasa mendengar semakan kehakiman berkenaan perkara itu bertepatan dengan semangat pemisahan kuasa mahkamah sivil dan syariah dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan negara.

Orang awam termasuk bukan Muslim perlu diingatkan, semua Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri (kecuali Kelantan) memperuntukkan fatwa hendaklah diiktiraf oleh mahkamah syariah sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya.

Cabaran SIS terhadap keabsahan Seksyen 66A Enakmen Negeri Selangor di mahkamah tinggi sivil pada tahun lalu dan kini di peringkat Mahkamah Persekutuan hanya bertujuan menyerang hak mutlak badan perundangan negeri dalam Senarai II Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang berkaitan orang Islam.

Hujah SIS bahawa kuasa semakan kehakiman adalah secara eksklusif terletak hak kepada mahkamah tinggi sivil melalui suatu litigasi strategik menunjukkan usaha berterusan mereka dalam mengetepikan kepentingan fatwa yang bermaksud memberi penjelasan kepada orang awam tentang sebarang kemusykilan, termasuk penyelewengan agama yang dibawa oleh SIS.

Ketika ini, satu demi satu cabaran terhadap Enakmen Syariah Negeri dilaungkan oleh pertubuhan atau individu berkepentingan menunjukkan kita tidak boleh lagi berdakap tubuh ibarat menunggu padi masak. Asasnya perlu difahami bahawa amalan merujuk kepada prinsip Islam atau fatwa dalam perundangan syariah dan di mahkamah sivil telah wujud sejak sebelum merdeka lagi kerana yang pakar soal Islam itu bukan Hakim Persekutuan tetapi mufti negeri-negeri. Ia tidak boleh dalam apa-apa keadaan dipandang hina dan dicampak merata atau dikutip secara bias hanya apabila kena dengan nafsu. Justeru, pihak yang ingin memenangkan agama tertinggi ini perlu kuat mempertahankan fatwa sebagai sumber undang-undang Islam agar penipuan demi penipuan oleh mana-mana NGO yang menunggang agama dapat dibongkarkan dan bukti kesesatan mereka dipateri demi kesejahteraan umat sejagat.

Penulis ialah pengamal undang-undang, Ketua Biro Media WAFIQ, aktivis hak asasi manusia dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN