Di mana saudara Sajjad? - Utusan Malaysia

Di mana saudara Sajjad?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Insan bernama Sajjad ataupun dengan apa nama sekalipun, pada hakikatnya tidak beza dengan semua makhluk manusia ciptaan Ilahi. Rata-rata semua mempunyai sekurang-kurangnya empat dimensi menyokong kehidupan, iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek (atau JERI). Malah, kumpulan yang digelar OKU (orang kurang upaya) juga mempunyai ciri-ciri yang sama. Yang berlainan (tidak semestinya ‘kurang’) adalah upaya. Maka tidak menghairankan jika ramai OKU mempunyai keupayaan yang melebihi walaupun mengalami beberapa kecacatan tertentu. Misalnya melukis dengan mulut!

Jelas, JERI tidak meliputi dunia haiwan dan tumbuh-tumbuhan terutama sekali melibatkan bab ‘rohani.’ Sebab itu jugalah manusia yang kontang ‘rohaninya’ disamakan ‘haiwan’ dan tidak berhati perut. Tindakan mereka seakan-akan ‘haiwan’ khususnya dari aspek enggan bertolak ansur, kebuasan, gelojoh, tiada segan silu dan hal berkaitan kehalusan berbudi bahasa, berbudi pekerti hatta berbudi bicara. Mereka bukan ‘budiman’ dan lebih mirip sifat kebinatangan.

Dalam dunia sedemikian, ‘kuasa’ adalah segala-gala mengikut hukum rimba yang tidak mengenal budi, adab dan nilai berkaitan rapat aspek dalaman (rohani, emosi dan intelek) berbanding aspek luaran (jasmani). Ringkasnya, walaupun jasmani atau aspek luaran hanya satu antara empat yang lain, ia sering menjadi raja – yakni ia lebih berkuasa sekali gus yang berkuasa itu benar belaka.

Rohani, emosi dan intelek hanya menjadi alat perhambaan dalam mengekalkan kuasa dari pelbagai segi. Soal adil, budi, halal, sah atau tidak, tidak lagi penting. Pendek kata, soal keseimbangan dan kesaksamaan mahupun kewarasan dan keadilan, tidak dititik beratkan. Maka hukum-hakam rimba turut dijadikan asas ukuran atau norma baharu alam manusiawi lagi serba moden bagi menelusuri ‘modal insan’ sekadar penggerak luaran melalui KPI (petunjuk prestasi utama).

Jadi, di mana kita apabila hidup seharian seluruhnya hanya dikenali dan diukur dari aspek luaran (KPI) semata-mata? Walaupun jasmani adalah satu per empat daripada JERI, namun hampir semua hal berlegar di sekelilingnya. Oleh itu, apa yang terpandang mata kasar (jasad) dan bukan mata hati (halus) mendapat keutamaan. Begitu juga yang terdengar telinga kasar (bukan telinga hati), apatah lagi pertuturan kesat luahan mulut serta lidah (bukan bisikan naluri hati).

Bukan setakat itu sahaja. Apa yang diperdengarkan selalunya yang kurang manis amnya dan mampu menghiris perasaan dan mengguris hati sanubari. Emosi turut tergugat tatkala ia disasar untuk diaibkan, dihina serta dimaki hamun tanpa rasa bertanggungjawab atas apa yang dihamburkan melalui pelbagai media tanpa batasannya. Seolah-olah tidak juga berdosa apabila baling batu, sembunyi tangan.

Inilah umumnya yang sering berlaku kepada sesiapa sahaja hasil budaya rimba yang tidak mengenal siapa jua. Kepada yang terkesan sebagai mangsa, seberat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kerana yang dipikul turut menusuk aspek dalaman – rohani, emosi serta intelek (akal) yang selalunya tidak pun diperkisahkan. Kadang kala tidak pun masuk akal apabila aspek emosi dan rohani seseorang itu tidak dipedulikan sebelum membuat sesesuatu keputusan ataupun melempar sebarang komentar. Tanpa berlatarkan sebab musabab yang mendorong kepada berlakunya sesuatu hal, keadaan terus kekal keruh, tidak seimbang dan tempang dalam mencari kebenaran. Yakni tidak kurang bagaikan haiwan dan hukum rimba yang menilai semua dari aspek luaran (jasmani) sahaja, lantas mengandaikan semuanya berita benar walau dari sudut yang sempit. Maka dikumandangkan dengan suara angkuh lagi lantang tanpa berfikir panjang.

Begitulah agaknya kedudukan insan Sajjad selama ini. Tidak ramai yang ingin faham perasaan serta emosinya, apa lagi aspek rohani yang ditanggung selama ini demi mengharungi cabaran hidup.

Apa lagi terperangkap oleh hukum-hakam rimba dunia media sosial yang tidak berkesudahan. Peranan intelek ataupun akal turut tersisih sebagaimana juga dunia haiwan tertumpu hanya kepada bentuk dan paras rupa (aspek jasmani) asalkan ‘berjaya’ dengan apa cara jua pun sama ada zalim atau tidak, bukan hal.

Sekarang dia dikatakan memilih untuk meninggalkan dunia yang tidak lagi dapat memberinya jalan keluar bagi kehidupannya. Mungkin digamit belai kasihan pihak lain yang lebih memadai.

Sudah tentu ada pihak berpuas hati dengan keputusan ini kerana Sajjad tidak lagi relevan kepada mereka. Maksudnya, satu sengketa sudah berjaya ‘diselesaikan’ yang selama ini menjadi duri dalam daging. Pun begitu, ini belum tentu lagi akan memberi penyelesaian mutlak. Sama ada ‘kemenangan’ yang dicapai akan membuahkan ketenteraman dan kesejahteraan hakiki masih samar-samar. Selagi mana-mana insan tidak mengecapi keseimbangan, kesaksamaan serta keadilan maka apa juga dianggap sebagai ‘kemenangan’ hanyalah suatu kepura-puraan yang sinis. Oleh itu, pada akhirnya bukan sahaja penting bertanya di mana Sajjad, tetapi lebih-lebih lagi di mana pula kita semua?

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN