Berbaloikah tanam harumanis? - Utusan Malaysia

Berbaloikah tanam harumanis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH kurang sekitar pertengahan bulan depan, musim harumanis di Perlis akan kembali. Pastinya ramai ternanti-nanti untuk menikmati keenakan buah ikonik Perlis itu.
Harumanis menjadi antara kebanggaan rakyat negeri ini kerana apa yang istimewa, ia hanya terdapat di Perlis meskipun sejak akhir-akhir ini mempelam tersebut dikatakan berbuah di negeri-negeri lain.

Apa yang pasti, sifat dan rasa harumanis Perlis cukup berbeza kerana faktor tanah dan cuaca mendorong kepada penghasilan yang berkualiti di negeri ini.

Malah, sekumpulan pensyarah Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang pernah melakukan kajian ke atas harumanis Perlis pada 2015 turut menemukan banyak khasiat selain kaya dengan vitamin dalam buah berkenaan.

Kajian tersebut men­dapati, harumanis Perlis mengandungi khasiat seperti zat besi, selenium, I-glutathione dan beta carotene selain diperkayakan dengan vitamin A, C, B6, B9 dan E.

Semua khasiat dalam buah tersebut didorong daripada persekitaran, cuaca dan keadaan tanah di negeri ini, selain penjagaan tanaman seperti proses pembajaan serta pengairan yang baik.

Ramai tidak kisah mengeluarkan belanja lebih bagi merasai kenikmatan harumanis, namun ada juga yang sering merungut kononnya harga mempelam itu yang boleh mencecah sehingga RM40 sekilogram terlalu mahal atau harga cekik darah.

Apa jua rungutan dan polemik berkaitan harga harumanis langsung tidak menjejaskan permintaan buah berkenaan pada setiap tahun.

Ironinya, ramai yang tidak tahu, proses penjagaan dan penyelenggaraan pokok harumanis sebenarnya bukan mudah selain menelan kos cukup tinggi bagi menghasilkan buah berkualiti seterusnya menjamin kepuasan para pembeli.

BERULAT

Untuk pengetahuan, harumanis dikatakan memerlukan penjagaan sepanjang tahun dengan kos ladang dikatakan sangat tinggi iaitu bagi sekilogram buah tersebut dianggarkan menelan belanja sekitar RM10 hingga RM12.

Bagi setiap penjagaan 100 pokok harumanis yang dianggarkan boleh menghasilkan 1,000 kilogram buah pula boleh menelan kos sehingga RM12,000.

Apa yang jelas, penjagaan harumanis bukan mudah kerana memerlukan ketelitian dan pemantauan sepanjang tahun.

Tersilap langkah, hanya membuka ruang kepada serangan serangga perosak terutama lalat buah atau nama saintifiknya Bactrocera yang menyebabkan buah menjadi buruk dan berulat.

Tidak cukup dengan itu, faktor cuaca juga memainkan peranan penting dengan taburan hujan yang berlebihan juga akan menyebabkan pengeluaran bunga terbantut sekali gus menjejaskan kualiti termasuk pengurangan kepada hasil buah berkenaan.

RANCAK

Jadi, dengan harga pasaran sekitar RM35 hingga RM40 sekilogram itu adalah berbaloi jika hendak dibandingkan dengan setiap peluh dan keringat kira-kira 3,000 pengusaha di negeri ini sepanjang tahun bagi memastikan harumanis yang dihasilkan itu benar-benar berkualiti.

Para pengusaha sentiasa menitik beratkan kualiti mempelam harumanis kerana mereka secara tidak langsung membawa imej negeri ini di mata luar.

Jika pembeli merungut, sudah pastinya negeri ini sebagai satu-satunya pengeluar harumanis turut terkena tempiasnya.

Apatah lagi, apabila terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menggunakan nama harumanis pada mangga lain dengan harga jauh lebih murah sehingga menyebabkan ada pembeli yang sering kali tertipu.

Perkara itu juga perlu diberikan perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab dalam mengekang perbuatan tidak baik pada musim harumanis ini.

Tahun ini, dijangka lebih 3,000 tan metrik harumanis bakal dihasilkan melibatkan keluasan kawasan tanaman seluas 1,338 hektar.

Pastinya, ramai peminat mempelam berkenaan dari seluruh negara sudah tidak sabar menanti ketibaan musim harumanis ini dan Perlis juga bakal kembali ‘rancak’ pada musim tersebut.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN