Untung bukan lagi fokus UDA saat pandemik - Utusan Malaysia

Untung bukan lagi fokus UDA saat pandemik

JALALUDDIN Alias (kiri) ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Badrul Hafizan Mat Isa di pejabatnya di Kompleks UMNO Simpang Pertang dekat Jelebu baru-baru ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SEBAGAI sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), UDA Holdings Berhad (UDA) sudah pastinya perlu memainkan fungsi dan peranan seiring hasrat kerajaan. Pada masa sama, fungsi sebagai sebuah syarikat juga tentunya mencari keuntungan menerusi pelbagai cabang perniagaan.

Bagaimanapun bagi Pengerusi UDA, DATUK SERI JALALUDDIN ALIAS, membantu rakyat dan usahawan bumiputera yang terjejas akibat Covid-19 kini menjadi perkara nombor satu pihaknya.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan jurugambar MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE, beliau berkongsi perancangan dan hala tuju UDA.
Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Jelebu turut bercerita tentang isu-isu politik semasa.

Ikuti temu bual di pejabatnya di Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Penularan Covid-19 menjejaskan banyak pihak terutama sektor ekonomi. Apa cabaran UDA dalam membantu rakyat terutama golongan usahawan khususnya di bandar?
JALALUDDIN: UDA tidak gagal dalam melaksanakan tugasnya sebagai sebuah GLC untuk memenuhi aspirasi nasional dan memastikan agenda utamanya tidak ketinggalan. Sebagai sebuah syarikat, semestinya kami mempunyai matlamat berorientasikan keuntungan. Namun, ingin saya tegaskan, UDA bukan sahaja sebuah syarikat keuntungan semata-mata tapi social-oriented yang perlu juga diberikan tumpuan.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, tentunya banyak peniaga Melayu yang terkesan terutama di bandar. Bagaimana UDA membantu mereka?
Untuk makluman, tahun lepas sahaja kami membelanjakan sebanyak RM18 juta untuk membantu semua peniaga yang menyewa di premis-premis UDA di seluruh negara.

UDA melaksanakan pengecualian sewa premis bermula Mac sehingga Jun tahun lalu malah diteruskan sehingga Disember. Itu langkah pertama kami.

Pada jangkaan UDA, penularan Covid-19 akan berkurangan, namun kita lihat sekarang berlaku sebaliknya. Jadi, peranan UDA untuk bantu golongan peniaga tidak terhenti setakat itu sahaja dan kami buat pendekatan. Moratorium penyewaan premis diteruskan sehingga suku tahun pertama tahun ini.

UDA ada banyak premis perniagaan yang disewa oleh peniaga-peniaga ini di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur; Angsana Mall, Seremban; Angsana Ipoh Mall dan Angsana Johor Bahru Mall.

Ada juga program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti asnaf. Baru-baru ini, UDA membelanjakan hampir RM20 juta untuk membantu golongan tersebut termasuk program Kembali Ke Sekolah. Seramai 700 murid dan pelajar asnaf dapat manfaat.

Adakah perniagaan UDA terganggu ketika penularan Covid-19?
Semua terkesan terutama peniaga. Apabila terjejas, pendapatan tidak seperti dahulu. Ini kesan yang kita hadapi. Tekanan ekonomi berlaku di setiap peringkat masyarakat. Tentunya perniagaan memerlukan keuntungan tapi itu bukan lagi hala tuju UDA ketika ini.

Sekarang adalah masa UDA menjalankan tanggungjawab dan memainkan peranan membantu kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat terutama golongan usahawan.

Dalam soal menampung golongan yang hilang pekerjaan, saya sudah minta pengurusan UDA mengambil inisiatif dengan mewujudkan pengambilan kerja terutama melibatkan golongan graduan yang tiada kerja ini. Setakat ini, kami kenal pasti pasti kira-kira 500 penganggur dan graduan yang telah dipanggil untuk menjalani latihan dan pekerjaan dalam UDA dan subsidiari kami.

Sebagai sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, apa lagi perancangan UDA selepas ini?
Dalam soal merancakkan lagi penglibatan peniaga terutama golongan pertengahan termasuk anak-anak muda, UDA akan melancarkan satu konsep pusat perniagaan yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur iaitu Jalan Sultan Ismail. Ia merupakan satu interim pembangunan yang akan menggalakkan anak-anak muda untuk beroperasi dan berniaga.

Juga, satu pembangunan serupa akan dilancarkan di Melaka iaitu di Kampung Morten dan beberapa tempat lain yang telah dikenal pasti. Itu peranan kami bagi menyahut aspirasi nasional untuk kukuhkan dan jadikan peniaga, usahawan bumiputera Melayu di kawasan bandar dan pinggir bandar terus relevan.

Kemudian, bagaimana mahu pastikan pegangan hartanah bumiputera terus kekal relevan dalam apa juga keadaan. Untuk itu, UDA akan teruskan pembangunan hartanah dan teruskan pembinaan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Di Kuala Lumpur kini dalam pembinaan sebanyak 480 unit rumah mampu milik di Jalan Cochrane dan rumah mampu milik 340 unit di Kampung Baru. UDA juga sudah kenal pasti beberapa tempat untuk diteruskan pembinaan perumahan mampu milik yang berharga tidak lebih RM300,000.

Namun begitu, sebenarnya bank tanah (land bank) UDA semakin hari semakin berkurangan. Oleh kerana itu, kami tubuhkan jawatan kuasa khas mengenal pasti untuk tambah lagi pegangan hartanah terutama tanah-tanah kerajaan negeri.

Saya jumpa beberapa menteri besar dan ketua menteri untuk dapatkan kerjasama kerajaan negeri bagi membantu UDA menambahkan land bank yang dengan itu dapat kami teruskan pembinaan rumah mampu milik di negeri-negeri berkenaan.

Ini peranan UDA untuk bantu masyarakat. Yang penting, UDA terus relevan dalam kukuhkan pegangan hartanah bumiputera di kawasan bandar.

Selain itu, tidak hanya di bandar tapi kawasan di pinggir bandar juga perlukan penumpuan dan UDA akan teruskan pembinaan premis-premis perniagaan yang akan diberikan penjenamaan semula, mungkin seperti UDA Niaga.

Sebagai contoh di Parlimen Jelebu, kami akan bina enam unit premis sebegini. Ia akan diserahkan kepada pihak koperasi untuk menjalankannya bagi membantu peniaga-perniaga memulakan perniagaan mereka.

 

Bukan masanya suruh Presiden letak jawatan

Pemimpin-pemimpin UMNO kebelakangan ini dilihat mengeluarkan kenyataan yang bertentangan antara satu sama lain. Komen Datuk Seri?
Dalam UMNO memang mempunyai pandangan yang pelbagai tapi akhirnya matlamat kesemua mereka adalah untuk perkukuhkan parti supaya terus relevan. Ini yang penting bagi saya, jaga kepentingan UMNO supaya dapat teruskan khidmat kepada rakyat dan masyarakat.

Apa juga kumpulan yang wujud dalam UMNO, itu tidak penting. Mereka boleh keluarkan pandangan, pendapat dan pendekatan tapi mesti menjurus untuk menambah kekuatan parti bagi menghadapi apa juga pertandingan sama ada pilihan raya umum, pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri selain strategi untuk tingkatkan khidmat kepada rakyat.

Percanggahan sebegini boleh beri kesan buruk kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
Percanggahan pendapat itu biasa, bukan perkara baharu. UMNO ada cara sendiri bagaimana untuk mengatasinya dan juga menguruskan krisis dalam kepemimpinan. Sekarang saya lihat walaupun ada perbezaan pendapat termasuk kepemimpinan tertinggi tetapi itu tidak membawa kepada perpecahan dalam kalangan mereka seperti yang berlaku sebelum ini.

Itu jelas menunjukkan UMNO semakin matang, semakin kukuh dan kuat dalam uruskan pelbagai pandangan dan pemikiran pemimpin yang ada sehingga tidak membawa perpecahan dalam UMNO itu sendiri.

Kekalahan UMNO pada 2018 mengajar kita di semua peringkat untuk terus bersuara demi kepentingan parti. Setiap individu bebas menyuarakan pandangan serta pendapat dan akhirnya kita buat satu keputusan yang harus diguna pakai dengan satu tekad. Ini adalah keputusan parti.

Ada gesaan supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ‘berehat’ dan mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO. Pandangan Datuk Seri?

Sekarang bukan masa untuk minta Presiden letak jawatan. Kenapa perlu wujudkan polemik perbalahan yang lebih besar dalam parti, pada masa sama rakyat sedang hadapi tekanan Covid-19 dan ekonomi? Fokus kita jangan ubah, UMNO mesti tumpu bantu rakyat, itu yang penting. Kalau suruh Presiden letak jawatan, kita kena ingat, ada pihak yang sokong Presiden. Jadi, sudah berlaku perbalahan baharu, bila kita nak fokus kepada rakyat?

UMNO telah amalkan sekian lama iaitu pemilihan dalam UMNO termasuk menentukan Presiden, biar proses itu berjalan. Presiden juga sudah beritahu, pemilihan UMNO tetap berjalan pada 2021.

Jadi, tunggu waktu sesuai dan buatlah pilihan siapa mengepalai parti pada masa hadapan.

Komen Datuk Seri persefahaman dalam Perikatan Nasional (PN)?
Saya lihat dua perkara penting. Pertama, soal kerjasama UMNO dengan kerajaan. Kedua, kerjasama dengan parti-parti yang menubuhkan kerajaan. Dua perkara ini tidak boleh dicampur aduk, ini sangat penting. Itu sebabnya wujud suara-suara nakal untuk pastikan kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang dijatuhkan dan seterusnya diadakan PRU-15.

Itu hak yang ada pada mana-mana pemimpin tapi harus diingat, keadaan dan suasana tidak bolehkan kita guna kuasa itu.

Ketiga-tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah bersepakat untuk tubuhkan dan memberikan sokongan kepada kerajaan PN apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh. Semua parti ini telah bersetuju untuk menyelamatkan negara dan ambil alih kepemimpinan negara.

Setiap parti harus memainkan peranan memperkukuh dan menjaga parti masing-masing, dan kerajaan diuruskan oleh kepemimpinan yang telah diberikan kepercayaan. Itu sudah berjalan, cuma akhir-akhir ini adalah kata-kata sumbang dari semua parti, bukan UMNO sahaja. Seolah-olah ketiga-tiga parti ini ada syak wasangka yang boleh pecah belahkan perpaduan ini.

Kita harus ingat, perkara syak wasangka mungkin berlaku disebabkan beberapa perkara termasuk faktor luar iaitu mungkin daripada pihak yang tidak senang dengan gabungan dalam PN dan melihat gabungan ini mesti dipecahkan.

Ini harus diingat pimpinan dalam UMNO, Bersatu dan Pas supaya tidak melatah. PH runtuh kerana perbalahan dalam kalangan mereka, itu pengajaran paling besar bagi parti kita. Kalau kita berbalah, PN akan runtuh, ini mesti jadi batu sempadan.

Sebagai ahli Parlimen, saya masih ingat lagi bagaimana Pas dan UMNO menyerahkan kepada Muhyiddin untuk memilih dalam kalangan ahli Parlimen kedua-dua parti itu yang layak sebagai menteri Kabinet kerana matlamat pada waktu itu adalah untuk menyelamatkan negara dan teruskan khidmat kepada rakyat. Kenapa itu itu tidak boleh berlaku sekarang?

Pada pandangan saya, Muafakat Nasional (MN) harus terus kekal dan bekerjasama dengan Bersatu menerusi PN. Jika itu boleh berlaku, saya rasa itu berita baik kepada parti-parti Melayu yang ada dalam negara untuk memenangi pilihan raya.

Jika tidak boleh capai persefahaman sekurang-kurangnya ada kerjasama untuk hadapi PRU-15. Maknanya Bersatu bertanding atas kapasiti PN dan UMNO bertanding atas kapasiti Barisan Nasional (BN) tetapi persefahaman mesti diiwujudkan. Jika berpecah, saya fikir tidak mudah untuk hadapi PRU-15. Saya rasa persefahaman ini boleh dilaksana. Kita pernah lakukan sebelum ini, semasa kita nak tubuhkan kerajaan PN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN